Sebagai panduan bagi kita semua antara cara untuk melakukan hijrah diri.
Pertama:
NIAT. Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas semata-mata mengharap keredhaan Allah. Sesungguhnya niat merupakan elemen penting dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana niat kita mempengaruhi hasil daripada usaha yang kita lakukan.
“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a.beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dianiatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya.Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya kearah perkara yang ditujuinya itu.
Tips kedua:
TETAPKAN MATLAMAT. Matlamat hijrah kita yang utama pastilah untuk mendapat keredhaan Allah. Matlamat yang disasarkan harus realistic dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Mulakan dengan perubahan yang kecil dan mudah tetapi harus konsisten. Matlamat amat penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada usaha yang bakal kita laksanakan.
Tips ketiga:
HINDARI PERSEPSI DAN PERKATAAN YANG NEGATIF. Sentiasa berfikiran positif atas usaha yang kita lakukan. Ketahuilah bahawa setiap manusia diberikan peluang oleh Allah untuk berubah selagi mana ajalnya belum tiba dan belum berlakunya hari kiamat. Berlaku adillah pada diri anda. Elakkan perkataan yang negative keluar dari mulut anda. Perdengarkan pula kata-kata positif dan latihlah diri untuk menuturkan kata-kata tersebut agar diri anda seperti menjadi orang yang baru.Tukarlah kata- kata kegagalan kepada nota-nota kejayaan.Lafazkanlah kata-kata “aku ingin berhijrah”, “aku ingin berubah”, “aku pasti boleh berubah” , agar diharapkan ia menjadi suatu doa yang baik.
Tips keempat:
KUATKAN TEKAD DAN SEMANGAT. Untuk berhijrah pengorbanan amat diperlukan. Kerana hijrah itu terjadi atas landasan pengorbanan. Apabila orang melihat sebarang perubahan yang kita lakukan pasti ada yang memuji malah tidak kurang ada yang mengeji. Apa yang penting jangan goyah sebaliknya kuatkan semangat dan tekad anda untuk mencapai matlamat yang dilakar. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang irihati dengan perubahan positif anda.
Tips kelima:
BERDOALAH. Sesungguhnya Allah telah berfirman:
Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina."
(Al-Mu’min 40: 60)
Iringilah setiap usahamu dalam hijrah yang kamu lakukan dengan doa yang tulus dan ikhlas. Yakinlah bahawa Allah pasti membantumu selagi mana kamu berusaha untuk mencapai redhaNYA dan selagimana kamu berada di jalanNYA. Percayalah bahawa kamu tidak akan pernah berseorangan dalam hijrah tersebut kerana DIA sentiasa ada disisimu.
Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka merubah keadaan diri mereka sendiri..." (Surah Ar-Ra'dayat 11).
Disediakan oleh
UMMAHATUL HAMIMAH
Penulis merupakan pelajar Tahun Asas Fakulti Sains & Bioteknologi di Universiti Selangor. Di dalam Grup Penkaji Tamadun Dunia Unisel, penulis adalah Exco Unit Pembina serta Editor Risalah Madani. Penulis juga terlibat sebagai sukarelawan Jejak Pattani yang akan menjalankan khidmat sosio-budaya pada bulan Januari.
No comments:
Post a Comment