Wednesday, July 1, 2009

Kisah Adham yang zuhud

Diceritakan bahawa pada suatu hari, Adham berjalan di kebun-kebun kota Bukhara dan mengambil wuduk di sungai yang merentas kebun-kebun tersebut. Tiba-tiba sebiji buah epal yang hanyut dibawa oleh arus sungai. Adham pun berkata, “Buah ini tiada nilainya!” Beliau pun memakannya. Kemudian timbul pula rasa was-was di hatinya dan beliau nekad untuk memohon agar tuan kebun menghalalkannya. Adham mengetuk pintu pagar kebun dan seorang jariah keluar lalu beliau berkata kepadanya, “Tolong panggilkan tuan rumah.” Jariah itu menjawab, “Dia seorang wanita.” Adham menjawab, “Mohonkan keizinannya agar aku dapat berjumpa dengannya.” Jariah tersebut pun melakukan apa yang dipinta. Adham memberitahu tuan rumah itu tentang kidah buah epal tadi. Wanita tersebut berkata, “Sesungguhnya kebun ini separuh milikku dan separuh lagi milik sultan.” Pada waktu itu sultan pula berada di Balkh24 iaitu dalam jarak sejauh perjalan sepuluh hari dari Bukhara. Wanita tersebut menghalalkan separuh epal yang dimakan itu dan kemudian Adham pergi ke Balkh. Dalam perjalanannya, Adham bertemu dengan sultan. Beliau pun menceritakan kisah epal itu kepada baginda dan meminta agar ia dihalalkan. Walau bagaimanapun, sultan menitahkan Adham supaya menghadap baginda pada keesokan harinya.

Pada waktu itu, sultan mempunyai seorang puteri yang sangat cantik dan banyak putera raja yang melamarnya. Puteri ini menolak dan lebih mencintai ibadah serta kasih kepada golongan salihin. Beliau hanya mahu berkahwin dengan seorang yang warak dan zuhud di dunia. Apabila sultan pulang ke kediamannya, baginda pun memberitahu puterinya tentang Adham. Sultan berkata, “Beta tidak pernah melihat orang yang lebih warak daripadanya. Dia datang dari Bukhara ke Balkh semata-mata kerana setengah biji epal.” Puteri baginda lantas mahu berkahwin dengan Adham.

Apabila Adham datang pada keesokan harinya, baginda berkata, “Beta tidak menghalalkan epal itu kecuali kamu berkahwin dengan puteri beta.” Adham memenuhi permintaan tersebut setelah menyatakan keengganan dan penolakannya. Apabila beliau memasuki menemui isterinya. Adham mendapati isterinya telah pun berhias diri dan biliknya pula dihiasi permaidani serta barang-barang perhiasan yang lain. Beliau pun pergi ke satu ruang di sudut bilik dan terus menunaikan solat hingga menjelang pagi. Adham terus berada dalam keadaan sedemikian selama tujuh malam.

Akan tetapi sultan belum lagi menghalalkan epal tersebut. Apabila Adham maminta baginda menghalalkannya, baginda berkata, “Beta tidak akan menghalalkannya untukmu kecuali setelah kamu bersatu dengan isterimu.” Maka apabila malam tiba, Adham pun bersatu dengan isterinya. Kemudian setelah mandi dan berdiri untuk menunaikan solat, Adham menangis lalu sujud di atas sejadahnya. Tiba-tiba beliau didapati telah meninggal dunia. Semoga Allah merahmatinya. Walau bagaimanapun, isterinya telah hamil dan melahirkan Ibrahim.25 Oleh sebab datuk Ibrahim tidak mempunyai anak lelaki, maka beliau mewariskan kerajaan kepada Ibrahim. Ibrahim pun masyhur dengan kisahnya meninggalkan kerajaan pemerintahannya.

Berhampiran dengan makam Ibrahim ibn Adham, terdapat sebuah zawiyah yang cantik dan zawiyah ini ada sebuah kolam. Makanan diberikan kepada semua pengunjung yang datang dan pergi dari zawiyah ini. Khadam zawiyah ini, Ibrahim al-Jumahi ialah seorang yang sangat salih. Orang ramai mengunjungi zawiyah ini pada malam Nisf Sya’ban. Mereka datang dari segenap penjuru negeri Syam dan tinggal di zawiyah ini selama tiga hari. Pada waktu yang sama, sebuah pasar turut diadakan di tempat ini iaitu di luar kota. Di pasar ini, terdapat segala jenis barang. Fuqara’ yang menolak kepentingan dunia datang dari segenap pelosok dunia untuk menghadiri perhimpunan ini. Setiap pengunjung yang datang ke makam ini akan memberikan sebatang lilin kepada khadamnya sehingga terlalu banyak lilin terkumpul. Mejoriti penduduk kawasan pantai ini ialah satu golongan bermazhab Nusairiyyah. Mereka mempercayai bahawa ‘Ali ibn Abi Talib ialah Tuhan. Golongan ini tidak menunaikan solat, tidak berkhatan dan tidak berpuasa. Al-Malik al-Zahir menggesa mereka supaya membina masjid di kampung mereka. Mereka membina sebuah masjid yang jauh dari kawasan penduduk di setiap kampung. Mereka tidak pula memasuki dan memakmurkan masjid itu. Barangkali ia menjadi tempat tinggal binatang ternakan dan tunggangan mereka atau mungkin juga seorang asing datang ke sini lalu singgah di masjid dan melaungkan azan untuk solat. Walau bagaimanapun, mereka akan berkata kepadanya, “Berhentilah memekik seperti keldai, makanan rumput akan dibawa kepadamu!” Jumlah golongan bermazhab Nusairiyyah ini juga besar.

* Kisah ini dipetik daripada karya agung Rihlah Ibn Battutah

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails