Wednesday, July 8, 2009

Dari Istanbul ke Legasi Meiji

“Pesawat MH88 ke Tokyo Narita sudah bersedia untuk berlepas dari pintu C27″, saya mendengar pengumuman dibuat dari corong suara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam itu.

Kaki melangkah perlahan.

Antara letih, bersemangat, gementar, dan pelbagai perasaan yang bercampur aduk ketika itu.

JEMPUTAN

Jimi dan ‘Boss’ menghulurkan jemputan kepada saya untuk datang ke Jepun, lebih setahun lalu. Pertemuan kami di Masjid al-Syakirin, menghasilkan keputusan bahawa saya akan ke Jepun pada Ogos 2008.

Jemputan yang diterima ini, mengingatkan saya kepada apa yang pernah dibaca dari buku Modernist Islam, 1840 – 1940: A Sourcebook oleh Charles Kurzman. Di dalam buku tersebut, ada dicatatkan sesuatu yang menarik… sesuatu yang entah bagaimana, boleh berkait dengan saya.

MUTSUHITO MEIJI

Lebih 100 tahun yang lalu, tatkala Jepun diperintah di bawah kepimpinan Maharaja Mutsuhito Meiji (1867 – 1912), beliau pernah menghantar surat kepada ‘khalifah terakhir umat Islam’, Sultan Othmaniyyah iaitu Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1909) di Istanbul. Surat itu merupakan perutusan dari seorang Maharaja ‘Timur’ kepada seorang Maharaja ‘Timur’ yang lain, menyatakan keinginan Maharaja Mutsuhito untuk mengangkat persamaan ketimuran itu ke tahap yang lebih tinggi.


Maharaja Meiji

“Kita berdua adalah Maharaja Timur, dan sudah tentu menjadi tuntutan keperluan sesama kita dan rakyat kita, untuk bersahabat dan saling berhubung, sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat sesama mereka, tatkala Barat itu juga melihat kita sebagai ’satu’ iaitu ‘orang Timur’. Beta melihat orang Barat menghantar misionari mereka ke negara ini untuk menyebarkan agama mereka kerana kebebasan beragama yang ada di sini…

Beta melihat tuan tidak melakukan perkara yang sama. Beta mahu tuan menghantar pendakwah-pendakwah ke negeri ini untuk mengajar dan menyebarkan agama tuan, yang boleh menjadi asas ikatan moral antara kita!”, titah Maharaja Mutsuhito Meiji di dalam perutusannya kepada Sultan Abdul Hamid II di ibu kota Ummah, Istanbul.

REAKSI KHALIFAH

Kapal terbang Boeing 777-200 meluncur laju meninggalkan landasan. Jauh di bawah kelihatan kerlipan-kerlipan lampu Lembah Kelang. Semoga Allah melapangkan jiwa isteri dan anak-anak saya yang terpaksa ditinggalkan seketika demi suatu misi.

Fikiran saya terbang mencari fakta-fakta yang pernah dibaca itu…

Tatkala tamadun Islam di ambang keruntuhan dek serangan luar dan dalam, ketika itulah suatu negeri baru ditawarkan sebagai tapak menyuburkan Islam… bumi Jepun.


Sultan Abdul Hamid II

Surat Maharaja Meiji itu sangat menarik perhatian Sultan Abdul Hamid II. Di Istana Yildiz, sebuah komiti telah ditubuhkan untuk mengkaji akan hal ini. Komiti itu dibentuk bersama Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan, kedua-duanya sangat mengambil berat akan pelawaan luar biasa ini. Ketika itu, kedua orang penting Istana ini telah berpakat bersama Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, reformis Muslim terkemuka di zaman itu yang bermastautin di Istanbul, untuk menyediakan perancangan berkaitan hal ini. Mereka pergi mengadap Sultan dan diskusi bermula.

“Kami mencadangkan agar sebuah rombongan deligasi dibentuk dari kalangan ilmuan Madrasah Istanbul untuk dihantar ke Jepun”, kata Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan.

Sayyid Jamal al-Din al-Afghani hanya mendiamkan diri.

Sultan Abdul Hamid II merenung ke arahnya dan meminta pandangan al-Afghani.


Sayyid Jamal al-Din al-Afghani

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”, tegas Sayyid Jamal al-Din al-Afghani.

Sultan terdiam.

“Buat masa ini, cukuplah dihantar surat perutusan bersama hadiah-hadiah yang sesuai untuk memaklumkan kepada Maharaja Meiji bahawa jemputannya sudah diterima dan diberikan perhatian yang serius. Nyatakan yang tuanku akan menunaikan jemputan itu dengan sebaik mungkin”, simpul Sayyid Jamal al-Din al-Afghani kepada Sultan Abdul Hamid II.

Cadangan itu diterima.

Perutusan dihantar, namun agenda pendidikan khas untuk pendakwah Islam ke Jepun itu tidak terlaksana. Jemputan itu ditelan masa dan hilang dari ingatan…

PAN ISLAMISMA

Malam semakin larut.

Di dalam kepekatan malam, pesawat terus menyeberangi Laut China Selatan menuju ke negeri Matahari Terbit. Saya terus melayan fikiran, meraba-raba ingatan terhadap kehidupan ummah yang pernah gemilang ini. Catatan yang hilang dari keutamaan, kerana apa yang didambakan arus perdana hanya nilai material yang tidak berkesudahan tatkala semuanya tidak kekal.

Sultan Abdul Hamid II menggerakkan Agenda Pan Islamisma beliau dengan begitu agresif. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani yang sering berkonflik bersama beliau, adalah ideologue yang tidak boleh dikesampingkan. Pan Islamisma adalah ibarat Islam sebagai ideologi politik, bertujuan membina ikatan emosi dan rasa antara umat Islam seantero dunia, agar bersatu padu mendepani imperialisma Barat yang semakin dominan.

Perutusan Pan Islamisma dihantar ke seluruh dunia.

Dan saya merenung ke luar, melihat pekat malam yang menyelubungi Laut Cina Selatan, menjejaki perjalanan kapal Ertugrul yang belajar atas titah Sultan Abdul Hamid II menuju Jepun.

PELAYARAN ERTUGRUL

607 anak kapal bersama 57 pegawai telah memulakan pelayaran jauh menuju Jepun pada 14 Julai 1889, bersama Kapten Ali Bey sebagai ketuanya. Perjalanan membelah lautan itu sungguh dramatik. Persinggahannya ke India, dan Semenanjung Tanah Melayu sarat dengan pelbagai catatan yang berharga. Masakan tidak, kapal utusan khalifah bangsa Islam itu belayar dengan misi besar, mengajak kaum Muslimin bersatu dari Istanbul ke hujung terbitnya mentari harapan.

Selepas 11 bulan belayar, Ertugrul tiba di Yokohama pada 7 Jun 1890.


Krew kapal Ertugrul disambut meriah

Rombongan yang dipimpin oleh Kapten Ali Bey itu disambut meriah oleh Maharaja Meiji dan penduduk Jepun. Mereka saling bertukar hadiah dan meriam ditembak ke udara sebagai mengalu-alukan ketibaan rombongan yang dinanti-nanti ini. Masyarakat Jepun keluar beramai-ramai berpesta dan berebut-rebut melihat bendera dan kapal Othmaniyyah.

Selama beberapa hari, pelbagai majlis diadakan. Ketibaan kaum Muslimin Othmaniyyah itu amat dialu-alukan.

TRAGEDI


Kapal Ertugrul sebelum pelayaran akhirnya pada tahun 1890

“Tangguhkan sebentar. Ini musim taufan!”, pesan watan kepada tetamu.

Namun Ertugrul tidak bertangguh. 15 September 1890, Ertugrul berlayar meninggalkan Yokohama.

Hari pertama cerah menyinar. Kapal itu ceria dengan 1001 berita yang ingin disampaikan kepada Sultan di Istanbul. Namun segala-galanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila taufan 16 September datang seperti yang dipesan. Ertugrul terperangkap di dalam bencana.

Sehingga lewat malam, kapal dan kira-kira 600 anak buahnya dalam keadaan genting. Pelbagai kerosakan berlaku dan tatkala pekat malam mengundang pagi, Ertugrul terhempas berkecai merempuh terumbu di Pulau Oshima, tidak jauh dari pantai Wakayama yang berbatu.

Dalam jerit pekik warga utusan khalifah, Ertugrul tenggelam ditelan ombak. Lebih 500 anak kapal terbunuh. Maharaja Meiji menyambut berita itu dengan kesedihan.


Tugu peringatan Tragedi Kapal Ertugrul di Pulau Oshima hari ini

Terasa basah air mata saya mengenangkan kemalangan itu. Ia bukan sekadar kemalangan yang menenggelamkan kapal utusan Khalifah, ia juga menenggelamkan harapan ramai umat Islam di Kepulauan Melayu yang turut sama mengirimkan mesej ke kapal Ertugrul agar Khalifah mengusahakan bantuan membebaskan tanah air kita dari penjajahan Britain dan Belanda.

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Bukan itu sahaja, ia turut sama menjadi siri bencana yang akhirnya menyaksikan tenggelamnya legasi Ummah apabila Sultan Abdul Hamid II sendiri digulingkan oleh Parti Ittihad ve Terakki pada 1909 dan Khilafah Othmaniyyah dengan rasminya dikebumikan pada tahun 1924… tiada lagi Islam dan Ummah sebagai satu. Turki menjadi Turki, Jepun sebagai Jepun, Tanah Melayu bergelar Malaysia, dan semangat persaudaraan Islam hilang ditelan masa.

MENDARAT

Di dalam pekat malam, saya menunaikan Solat Subuh di dalam pesawat. Boeing 777-200 yang semakin hampir mencecah kepulauan Okinawa di selatan Jepun dinyalakan lampu untuk sarapan pagi.

Maharaja Meiji telah menjemput Islam dan Muslim… seakan semangat penduduk Madinah yang membuka ruang baru selepas kesempitan Mekah yang menekan dakwah.

Namun kelemahan umat, menjadikan jemputan itu tidak terisi. Biar pun Muslim sudah sekian lama bertapak di Bumi Sakura, namun peranan mereka masih berada di dalam tandatanya. Saya teringat kepada komentar Sayyid Jamal al-Din al-Afghani:

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”

Tersebarkah Islam, jika Muslim yang bertindak melumpuhkannya?

Sesungguhnya telah ada sekumpulan bijak pandai yang dihantar dari watanku Malaysia ke bumi Jepun. Apa yang diperlukan adalah untuk mereka itu diberikan sentuhan khas bagi melayakkan diri memikul tugas yang besar dan mulia ini. Jepun di tahun 2008 tidak mungkin memandang Islam retorik dan idea basi. Ia harus datang sebagai Islam sebenar yang penuh kualiti dan nilai tinggi.

Di atas misi itulah, saya terbang ke bumi Jepun.

Semoga Summer Camp 2008 mampu mencetuskan kualiti yang dicari, agar anak Ummah di bumi Sakura itu mampu menyampaikan mesej Islam yang telah dipelawa lebih sekurun lalu. Itu cita-citaku.

Pesawat MH88 mendarat sempurna di Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo-Narita tepat jam 7:40 pagi. Saya menarik nafas sambil menggenggam erat kedua tangan.

Urusan imigresen berjalan lancar. Tatkala menjalani pemeriksaan kastam, pegawai bertugas memberikan tanda sokongan, memuji saya kerana menulis buku. 40 buah buku Aku Terima Nikahnya saya bawa, sebagai memenuhi permintaan sebahagian peserta yang berhubung sebelum ini. Terkenang kepada sebuah pepatah Cina yang menyebut bahawa, “belumlah seorang itu menjadi lelaki sehingga dia menulis sebuah buku!”.

Ketibaan saya disambut oleh saudara Norhuzaimi dengan penuh kemesraan… Nihon e Youkoso!

Tatkala kaki melangkah naik ke bas menuju ke Mito untuk Summer Camp 2008, fikiran saya melayang melihat kehijauan bumi Jepun yang buat pertama kalinya dijejak diri.

Think big, act small“, slogan saya kali ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Tokyo, Jepun

Sumber : http://saifulislam.com/?p=2556

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails