Tuesday, August 4, 2009

Pengembaraan & Pengubatan Muhammad Umar

SETELAH kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 Masihi, ramai pembesar Melaka bertempiaran ke pelbagai tempat di seluruh pelosok dunia Melayu. Yang diriwayatkan ini adalah salah seorang daripada keturunan pembesar Melaka yang nama lengkapnya ialah Muhammad Umar bin Encik Harun bin Malim Bungsu.

Ibunya bernama Ruqaiyah binti Haji Abdul Qadir bin Haji Abdul Ghani bin Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jermat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato' Kaya Megat Patan Pahang) bin Tuan Kadi Haji Ahmad. Tuan Kadi Haji Ahmad inilah yang berasal dari Melaka.

Beliau melalui penderitaan yang panjang sebagai orang buruan Portugis. Mula-mula beliau berhijrah dari Melaka ke Johor, dan terus ke Bintan. Selanjutnya ke Minangkabau dan terakhir di Kampar. Setelah itu keturunan beliau bertebaran di mana-mana. Selain kembali ke Semenanjung, ada juga yang sampai ke Champa.

Daripada waris keluarga ini telah muncul berbagai-bagai keilmuan dan penulisan. Ada yang muncul sebagai pembesar dalam pemerintahan, pentadbir, dan lain-lain sejenisnya. Ada yang menjadi ulama.

Ada yang muncul sebagai saudagar, pengusaha, perkebunan, dan banyak lagi. Muhammad Umar bin Encik Harun yang dibicarakan ini adalah salah seorang daripada keturunan keluarga di atas yang muncul sebagai 'Nakhoda Pelayaran' dan 'Pakar Perubatan Tradisional'.

Muhammad Umar bin Encik Harun lahir di Kampung Tambelan, Pontianak, pada malam Khamis 3 Jumadilawal 1275 H/9 Disember 1858 M. Wafat pada usia 73 tahun pada malam Ahad, jam 12.00 lebih sedikit, 28 Safar 1348 H/4 Ogos 1929 M. Mendapat pendidikan asas daripada lingkungan keluarga sendiri di Kampung Tambelan, Pontianak.

Selain itu, Muhammad Umar bin Encik Harun juga belajar daripada beberapa orang ulama yang datang ke Pontianak pada zaman itu.

Ulama bangsa Arab pada zaman itu sangat ramai, di antara mereka ialah Saiyid Shalih az-Zawawi dan anaknya, Saiyid Abdullah az-Zawawi. Muhammad Umar bin Encik Harun sempat belajar dengan kedua-dua ulama Arab itu. Selain itu, ulama juga datang dari Banjar, Bugis, Patani, Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat lain. Daripada pelbagai sumber yang dikumpulkan dapat dipercayai bahawa Muhammad Umar bin Encik Harun telah menguasai banyak bidang ilmu, terutama sekali ilmu tauhid dan tasawuf. Kemudian Muhammad Umar bin Encik Harun, mempraktikkan pelayaran dan perubatan iaitu hasil daripada usaha yang gigih melalui pengembaraan di beberapa negeri di seluruh dunia Melayu.

Jika kita menoleh ke belakang dan membandingkan dengan masa sekarang, ia mencerminkan Muhammad Umar bin Encik Harun adalah seorang yang benar-benar hebat dalam dunia pelayaran. Pengembaraannya semuanya ditempuh dengan perahu layar, sedangkan dunia Melayu yang dilayari cukup luas.

ILMU PELAYARAN

Tidak ramai tokoh ulama dunia Melayu menulis tentang ilmu pelayaran, oleh itu sangat menarik sebuah manuskrip karya Muhammad Umar bin Encik Harun diperkenalkan dalam artikel ini.

Manuskrip tersebut diberi judul Jurnal Pelayaran dan Petua Melayu, diselesaikan antara tahun 1291 H/1874 M hingga 1293 H/1876 M. Kandungannya dicatatkan hadiah daripada Muhammad Umar bin Harun kepada Haji Muhammad Arsat yang dinyatakan pada halaman akhir, "Bahawa ini surat daripada kekanda Muhammad Umar bin Harun datang ke hadapan adinda al-Haji Muhammad Arsat bin al-Marhum Tuan al-Haji Mahmut... di dalam negeri Kotaringin (nama sekarang Kotawaringin, pen:) adanya.

Antara topik penting yang ditulisnya ialah:

1. Perkara Jurnal Pelayaran Dari Pontianak Mau Pergi Di Tanah Jawa Dan Kotaringin.

2. Perkara Jurnal Pelayaran Dari Kuala Sambas Mau Pergi Singapura Hendak Tahu Duduknya Pulau-Pulau Di Sebelah Barat Adanya.

3. Perkara Jurnal Menyusul Dari Tanah Jawa Sampai Di Tanah Barat Maka Tersebut Satu-Satu Pelayaran Adanya.

Selanjutnya tentang pelayaran dinyatakan juga ukuran-ukuran perahu.

Dalam 'Jurnal Pelayaran dan Petua Melayu, disebut juga tentang pelangkahan. Dapat dipastikan Muhammad Umar bin Encik Harun adalah seorang yang sangat berpengalaman dalam pelayaran, oleh itu ilmu pelangkahan yang beliau sebut dipraktikkannya.

Di antara tulisan beliau tentang pelangkahan berbunyi, "Fasal ini pelangkahan manca lima sahaya terima kepada Haji Muhammad Ali bin Nakhoda Mu'alim Kecil di Pontianak kepada sanah 1293, dan kepada 15 hari bulan Rabiulawal hari Isnin (15 Rabiulawal 1293 H/10 April 1876 M, pen:), adanya."

Khazanah

Dalam khazanah peninggalan Muhammad Umar bin Encik Harun juga dapat kita ketahui bahawa dalam dunia pelayaran yang menggunakan perahu layar pada zaman dulu juga sangat diperlukan ilmu tentang taqwim.

Mengenai taqwim beliau menyebut, "Fasal ini taqwim Arab di Pontianak tarikh sanah 1291, dan kepada 14 hari bulan Rabiulawal (14 Rabiulawal 1291 H/1 Mei 1874 M, pen: ), hari Jumaat sahaya terima kepada Haji Umar bin Samsudin adanya."

Beliau sebut pula tentang taqwim Jawa, "Fasal ini taqwim Jawa sahaya terima kepada Haji Ali bin Nakhoda Mu'alim Kecil di Pontianak kepada tarikh sanah 1293, dan kepada 15 Rabiulawal hari Isnin (15 Rabiulawal 1293 H/10 April 1876 M, pen: ), adanya." Memperhatikan tarikh dan nama guru, bererti serentak dengan ilmu pelangkahan.

PENULISAN

Salah satu karyanya yang lain ialah Sya'ir Negeri Tambelan, selesai penulisan tercatat pada halaman akhir, "Tamatlah syair hari Ahad, bulan Muharam tahun lebih empat" (hari Ahad, Muharam 1304 H). Kandungannya membicarakan asal usul keturunan Dato' Kaya Tambelan yang ditulis dalam bentuk puisi/syair. Kedua-dua manuskrip di atas diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak adalah sebuah lagi karya beliau. Kandungannya secara garis besar ialah catatan bermacam-macam jenis penyakit yang beliau kenal pasti dan cara menangani pengubatannya. Setiap penyakit ada ubatnya, oleh itu dicatatnya pula cara-cara mengubati pelbagai penyakit.

Catatan ini rasanya kurang sempurna, oleh itu setiap sesuatu ubat Muhammad Umar bin Harun mencatat pula nama seseorang yang mengajarnya sesuatu ubat, tarikh penerimaan dan lengkap nama tempat atau negeri yang dirantauinya. Di antara kandungan Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak saya senaraikan sebagai berikut:

1. Ubat Sakit Cacar, mengenai penyakit ini ada catatan beliau bahawa di Pontianak dan sekitarnya pernah ditimpa bala dan wabak sakit cacar, ramai orang mati akibat penyakit tersebut.

Oleh itu, Muhammad Umar bin Harun telah belajar mengubati penyakit cacar itu daripada beberapa orang guru, di antaranya ialah Encik Muhammad Ali, Kampung Sampit, Pontianak.

Selain itu beliau terima ilmu ini pada 7 Muharam 1313 H daripada Haji Abdus Shamad di Pontianak. Juga daripada Saiyid Husein bin Saiyid Syaikh yang berasal dari Riau, Pulau Penyengat.

2. Ubat Kudis Gatal, 6 halaman, pada bahagian ini Muhammad Umar bin Harun menyatakan bahawa beliau belajar mengubati penyakit tersebut daripada orang yang beliau panggil 'ayahanda Encik Unus', tahun 1293 H.

3. Ketumbuhan Dalam Mata Atau Sakit Mata.

4. Pelbagai Doa. Banyak doa yang nadir dibicarakan pada bahagian ini, dibicarakan juga tentang sembahyang sunat kifayah al-baul yang sering dipercakapkan oleh ahli sufi.

Amalan sembahyang sunat kifayah al-baul, Muhammad Umar bin Harun menyatakan beliau menerima daripada Haji Khathib Razi Palembang, Kampung Tabing Garinting diperhuluan Palembang, Sumatera Selatan. Menurutnya, beliau bersusah payah mudik (menyusuri sungai hingga jauh ke perhuluan), satu hari dari Marugan.

5. Penyakit Buruk ialah satu bala yang pernah terjadi di Pontianak. Penyakit tersebut berbau sangat busuk, seluruh badan tumbuh seperti kudis yang disebut pekung yang mengandungi nanah.

Belajar

Untuk mengubat penyakit tersebut Muhammad Umar bin Harun menyebut bahawa beliau telah belajar daripada Haji Ali bin Haji Abdur Rahman Tok Kaya, Encik Wan Muhammad Juling. Tahun 1305 H/1888 M, Muhammad Umar bin Harun mengambil ilmu yang dibicarakan daripada Wa'na Rasa Wan Muhammad.

Di sini juga terdapat catatan bahawa beliau berada di Siantan, Midai, Tambelan dan Pulau Bunguran kerana mengubati orang sakit biri-biri, puru dan lain-lain.

Penyakit biri-biri oleh masyarakat Melayu disebut juga 'penyakit kebas', iaitu sejenis penyakit pada tubuh kita, terutama pada bahagian tangan ataupun kaki, ditekan mula-mula cekung ke dalam, secara beransur-ansur cekung akan hilang dengan agak lambat kembali seperti sebelum ditekan.

Ketika itu sangat ramai orang sakit. Dicatatkan pula bahawa ilmu perubatan ini diterima daripada Encik Aji bin Yusuf Siak di Kotaringin, yang menerimanya daripada Saiyid Muhammad, menantu Sultan Abdul Jalil Sukudana.

Catatan

Mengenai penyakit yang tersebut juga, terdapat dalam catatan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, bahawa beliau akan ke Siantan, tetapi manakala sampai di Jemaja beliau dapat satu khabar dan beliau terpaksa kembali ke Singapura.

Selain membicarakan perubatan seperti tersebut di atas, Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak juga membicarakan tentang melihat rasi jodoh yang baik ataupun sebaliknya. Petua ini diterima daripada Haji Husein Kotaringin tahun 1304 H/1887 M.

Untuk menghadapi permusuhan atau perkelahian, sihir dan lain-lain, Muhammad Umar bin Harun juga mengamal dua ayat akhir surah at-Taubah seperti yang pernah disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa buah kitabnya.

Selain menghasilkan karangan, Muhammad Umar bin Encik Harun juga pernah menyalin sebuah karya Raja Ali Haji yang berjudul Sya'ir Bab an-Nikah, selesai penyalinan tercatat pada halaman akhir, "Tersurat di negeri Tambelan pada 24 hari bulan Zulkaedah, malam Khamis pukul dua belas kepada tahun sanah 1313 (24 Zulkaedah 1313 H, pen:). Dan menyalin surat Bab an-Nikah Dato' Petinggi Tambelan, dan dia menyalin surat Raja Ali Riau, Pulau Penyengat. Ada pun yang empunya surat ini hamba, Muhammad Umar orang Pontianak, Kampung Tambelan, itulah adanya."

PENUTUP

Daripada semua yang telah dipaparkan di atas saya berkesimpulan dari segi pengubatan dan berhadapan dengan pelbagai penyakit yang sangat berbahaya, Muhammad Umar bin Harun berani bertarung dengan penyakit-penyakit itu.

Sebaliknya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sungguhpun beliau sangat terkenal dalam bidang falak, tidak sanggup menempuh cabaran penyakit-penyakit yang berbahaya itu.


Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

Sumber : http://ulama-nusantara.blogspot.com/

Monday, August 3, 2009

Di Sebalik Kehebatan HAMKA Berdirinya Seorang Wanita (Siti Raham)

Menyingkap kisah-kisah lelaki yang hebat pasti disebaliknya seorang yang bergelar wanita, samaada dia adalah ibu, isteri, teman, saudara-saudara perempuan dan berkemungkinan juga seorang musuh yang bergelar wanita. Bak kata pepatah ‘belakang seorang lelaki ( samada kejayaan atau kegagalan ) ada seorang wanita’.Membongkar sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang diiringi kehidupannya bersama 2 orang wanita yang cukup hebat pada waktu itu. Saidatina Khadijah dan Saidatina Aisyah ra, namun kali ini penulis akan membongkar kisah kehidupan Hamka yang diuruskan oleh seorang wanita yang bernama isteri.

Bermula kisah kehidupan Hamka yang berkahwin sejurus selepas dia kembali dari Mekah. Setelah mengadap bapanya, Hamka diminta oleh datuk saudaranya untuk berkahwin bagi mengubati hati ayahnya yang sedang berduka dan dia telah ditunangkan dengan seorang gadis pilihan keluarganya. Setelah bergelar suami kepada Siti Raham, perjalanan pasangan muda ini diiringi kesusahan namun keduanya hidup bahagia sebagai suami isteri.Pada awal perkahwinan tidaklah menjanjikan kewewahan buat mereka hatta sembahyang pun berganti-ganti kerana hanya mempunyai sehelai kain sarung, tapi wanita yang bernama Siti Raham ini mempunyai hati yang mulia dan rendah diri, dia tidak akan meminta apa- apa diluar kemampuan suaminya.Sewaktu dalam kemiskinan, dia telah mengadaikan barang kemas, pakaian terpilih miliknya untuk membeli beras bagi memberi sesuap nasi kepada anak dan suami, teladannya agak dekat dengan Siti Khadijah ra yang mengunakan hartanya membantu perjuangan Rasulullah. Dialah yang sering membakar semangat Hamka untuk berjuang di jalan dakwah tanpa menuntut gaji bulanan yang tinggi tapi dia berjaya mengurus hidup keluarganya. Melahirkan dan mendidik sepuluh orang anak bukanlah satu perkara yang mudah, belum dikira lagi dengan anak-anak angkat yang dipanggil anak kesebelas yang juga tinggal bersama untuk menumpang kasih.

Kekuatan Siti Raham atau Ummi yang dibahasakan kepada anak-anaknya dalam menyokong pekerjaan suaminya mungkin tiada tandingnya.Kesibukan Hamka dalam berdakwah dan menulis menuntut beliau menguruskan segala keperluan suami dan anak-anak disamping memberi didikan yang sempurna kepada mereka dalam menuntut ilmu. Tembok kekuatan hatinya telah diuji bilamana Hamka dipenjarakan selama dua tahun setengah oleh pemerintah, melalui hidup bersama anak-anak tanpa suami disisi pasti mengundang pelbagai cabaran dan tomahan. Namun dikuatkan hatinya demi anak-anak tersayang, ketika itulah gelaran seorang bapa dijunjungnya dengan penuh amanah. Besar amanah yang dipikul namun itulah pengorbanan yang sekiranya niat untuk mencapai keredhaanNya menjadi satu ibadah, seperti yang telah difirmankan didalam Al-Quran yang bermaksud,

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendidirkan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sepanjang penahanan Hamka, segala buku dan artikelnya telah diberhentikan pengedaran dan penerbitanya tetapi untuk menjaga hati suami, Siti Raham tidak sesekali menceritakan perkara tersebut kerana ditakuti menjadi satu kesedihan buat suami. Semestinya Hamka mempunyai anugerah yang paling bernilai sepanjang hidupnya. Dan menghargai anugerah itu menjadi amanah dengan menjaga kebajikan dan kehormatan isterinya. Hamka seorang bapa yang tegas serta penyayang dan suami yang disanjung tinggi oleh si isteri. Pada suatu masa setelah Hamka dibebaskan, beliau dijemput untuk mengadakan pengajian agama di Makasar dan kehadiran ibunya menyebabkan masyarakat meminta untuk mendengar pidato darinya. Hadirin menunggu dan Hamka berdebar-debar dengan apa yang bakal diucapkan.

“Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,” katanya dengan lancar dan tetap tersenyum. “Saya diminta berpidato, tapi sebenarnya ibu-ibu dan bapa-bapa sendiri memaklumi bahawa saya tak pandai berpidato. Saya bukan tukang pidato seperti Buya Hamka. Pekerjaan saya adalah menguruskan tukang pidato, sejak dari memasakkan makanan hingga menjaga kesihatannya. Oleh kerana itu maafkan saya tidak boleh bicara lebih panjang. Wassalamu’alaikum warahmatullah,” katanya dan dia turun dari mimbar.

Diluar dugaan, hadirin yang ribuan jumlahnya bertepuk tangan riuh sekali. “Hidup ummi, hidup ummi!”. Ketika itulah gugurnya airmata seorang lelaki juga suami kerana sangat terharu dengan kehebatan isterinya.

Dalam kebudayaan Minangkabau sejak lama yang kemudian berkembang menjadi “adat bersendi syara’, syara’ bersendi kitabullah” menempatkan wanita sebagai ‘orang rumah’ dan ‘pemimpin’ masyarakatnya dengan sebutan “bundo kandung”, menyiratkan kukuhnya kedudukan perempuan Minangkabau pada posisi sentral. Dalam budaya Minangkabau perempuanlah pemilik seluruh kekayaan, rumah, anak, suku bahkan kaumnya. Begitulah Siti Raham sebagai tokoh wanita dalam rumpun melayu, inilah wanita yang berketurunan Minangkabau menyempurnakan generasinya

Dari zaman Rasulullah SAW lagi sudah berdiri wanita-wanita yang hebat dan menjadi rentetan tauladan buat ummat selepasnya, antara wanita-wanita yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT ialah penghulu wanita di Syurga Fatimah Az-Zahra, Siti Khadijah, Siti Aisyah, Mashitah, Maryam, dan ramai lagi telah diriwayatkan di dalam Al-Quran. Tidak ada alasan bagi wanita zaman ini untuk mengelakkan dari tugas-tugas seorang wanita, sudah termaktub dalam Kitab Allah, walaupun kita mengetahui tanggungjawab suamilah yang menyediakan, makan, pakaian dan tempat tinggal kepada isteri namun dengan anugerah rahim kepada seorang wanita yang membawa kepada sifat pengasih dan penyayang, menuntut insan bernama wanita membantu tugas-tugas suami. Itu sebagai tandaan kasih dan sayang dari jiwa yang luhur.

“Orang-orang penyayang akan disayangi oleh Yang Maha Penyayang, maka sayangilah penduduk bumi agar yang di langit ikut pula menyayangimu.” (HR.Abu Daud)

Indah kehidupan berkeluarga dengan terbinanya persekitaran yang baik(biah solehah), maka dengan itulah Allah telah menciptakan setiap pasangan itu dari jenisnya sendiri, agar rumahtangga yang diharungi lebih mudah dimudiki laksana sampan berpendayung sama. Ini telah di firmankan di dalam kitabNya :

"dan di antara tanda tanda kekuasanNya ialah dia menciptakan untukmu isteri isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan Nya di antaramu rasa mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian benar benar terdapat tanda tanda bagi kaum yang berfikir.“ (Surah ar-Rum :21)

Jika dibandingkan dengan wanita zaman sekarang, tidak banyak bezanya. Sekitar 70an wanita mula menonjol dalam bidang akademik dan menjelajah ke tempat-tempat pengajian tinggi diserata tanah air dan tidak kurang juga perempuan-perempuan yang tidak menyambung pelajaran namun bertungkus lumus membantu ibubapa menyekolahkan adik-adik untuk meringankan beban keluarga. Kehebatan perempuan –perempuan ini bercambah dalam jiwa yang halus, tak nampak secara zahir dek tertutup dengan ketabahan yang tinggi.

Begitulah kata-kata orang tua “seorang ibu boleh menjadi bapa tapi seorang ayah belum tentu boleh menjadi seorang ibu”. Pepatah keramat ini terbukti bilamana ibu-ibu tunggal mampu melahirkan dan membesarkan anak-anak yang berguna tanpa seorang bapa iaitu suami disisi.

Bagi seorang surirumah, pasti kerja-kerja rumahtangga menjadi rutin hariannya dan terikat dengan jadual menguruskan suami, anak-anak dan rumah sepanjang hari. Ketelitian hasil tangan wanita teserlah dari kebersihan bilik air, dapur hinggalah ke bilik tidur, dari makan minum anak-anak dan suami hinggalah ke pakaian mereka, semua itu dikendalikan dengan tangan yang penuh kasih sayang beserta tadahan doa buat kesejahteraan keluarganya. Selain itu tidak kurang juga yang mengambil tugas-tugas suami seperti membayar bil air, elektrik, telefon, menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah, menghadiri temu murni dengan guru disekolah hatta bersama dalam mesyuarat PIBG. Itulah peranan seorang isteri dan ibu dalam meringankan beban suami dek kesibukan kerja seharian.

Wanita bukan sahaja mampu melahirlah anak-anak yang hebat tapi mampu melahirkan suami yang hebat, jika diperhatikan kisah-kisah orang yang berjaya, kebanyakanya bermula setelah berumahtangga, perkongsian hidup dengan isteri memandu mereka kearah kejayaan. Di sinilah keampuhan jiwa seorang wanita dalam menjaga dan mendidik hati suami. Bertindak sebagai seorang ahli psikologi kepada suami mahupun anak-anak, malah menjaga maruah dan kehormatan diri sebagai cerminan peribadi suami.

Mungkin dalam era ini, kebanyakan wanita beruntung kerana mendapat suami yang bergaji tinggi ditambah lagi mempunyai kerjaya sendiri tetapi bagaimana pula dengan yang memiliki kehidupan yang sederhada juga yang daif? Di sinilah wanita diuji sama ada dari aspek fizikal mahupun lahiriah.

Wanita yang menjaga dirinya dengan berpandukan A-Quran dan As-Sunnah telah dijamin Syurga oleh Allah seperti yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW:

Dari Anas bin Malik ra bahwa Rasulullah bersabda :

"Jika perempuan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga

kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga."

(HR. Al-Bazaar).

Kala sendiri kita pasti tertanya-tanya dan berkira-kira adakah kita mampu menjadi seperti mereka ini di saat kita sudah bergelar isteri dan ibu dan mampukah kita memainkan peranan itu dengan sebaiknya?

Seorang wanita yang kuat dan hebat mengharungi arus kehidupan. Di bawah dititipkan kata-kata pedoman buat yang bergelar WANITA.

Nukilan : Hasneza Atan (Mantan Hewi PKPIM)

Sumber : http://annisaalhuda.blogspot.com/

Thursday, July 30, 2009

Apresiasi Tranformasi Pemikiran Hamka

Petikan puisi yang dituliskannya secara khusus untuk Pak Natsir, Puisi yang ditulis Buya Hamka pada tanggal 13 November 1957 setelah mendengar Pidato Natsir yang dengan tegas menawarkan kepada Sidang Konstituante agar menjadikan Islam sebagai dasar negara Republik Indonesia.

Kepada Saudaraku M. Natsir
Meskipun bersilang keris di leher
Berkilat pedang di hadapan matamu
Namun yang benar kau sebut juga benar
Cita Muhammad biarlah lahir
Bongkar apinya sampai bertemu
Hidangkan di atas persada nusa
Jibril berdiri sebelah kananmu
Mikail berdiri sebelah kiri
Lindungan Ilahi memberimu tenaga
Suka dan duka kita hadapiSuaramu wahai Natsir, suara kaum-mu
Kemana lagi, Natsir kemana kita lagi
Ini berjuta kawan sepaham
Hidup dan mati bersama-sama
Untuk menuntut Ridha IlahiDan aku pun masukkan
Dalam daftarmu …….!

Dalam catatan En. Ahmad Azam Abdul Rahman bertajuk Bapak Mohammad Natsir Apresiasi Generasi Kedua Aktivis Islam Malaysia berkongsi wasiat Pak Natsir. Pada awal tahun 2000, iaitu setelah tujuh tahun Pak Natsir kembali bertemu Sang Penciptanya, beliau dikunjungi oleh Pak Basyir Gani, pimpinan Buya Hamka di tebing Danau Maninjau, Sumatera Barat. Pak Basyir adalah 'orang kuat' Pak Natsir di Danau Maninjau. Sebelum melibat diri dalam pesantren, Pak Basyir telah terlebih dahulu mengendalikan kursus mubaligh selama satu tahun atas arahan Pak Natsir.

Pak Basyir menyatakan kepada Ahmad Azam bahawa beliau sedang membangunkan sebuah pesantren di Batu Nanggai, Danau Maninjau sebagai peringatan dan juga penghormatan kepada Buya Hamka. Katanya banyak pesantren yang wujud menggunakan nama Hamka, tetapi di kampung kelahiran Hamka sendiri tidak ada satu pun. Pak Natsir mewasiatkan kepada Pak Basyir supaya mendirikan sebuah pesantren dengan cita-cita melahirkan sekian banyak Hamka-Hamka baru untuk abad mendatang.

Itulah persahabatan sejati saling berapresiasi atas ukhwah fillah. Oleh itu XPDC HAMKA hadir mengisi ruang generasi muda yang akan mengkaji transformasi pemikiran Hamka. Dalam masa yang sama menyaksikan apresiasi umat kepada pemikiran beliau. Insya Allah projek atau misi XPDC HAMKA adalah salah satu bentuk apresiasi kepada Hamka dan cita-cita Pak Natsir untuk melihat generasi pemikiran Hamka pada abad baru.

Wednesday, July 29, 2009

Catatan Buat Sukarelawan XPDC HAMKA


HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Ia adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di alam Nusantara. Ia lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.

Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Hamka kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majelis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi).

Hamka adalah seorang otodidiak dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

Hamka juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Ia mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Ia menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.

Pada tahun 1953, Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.

Kegiatan politik Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, Hamka diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Ia menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Hamka dipenjarakan oleh Presiden Sukarno karena dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah maka beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, Hamka diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majelis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.

Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.

Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.

Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Juli 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Ia bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai.
  1. Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab.
  2. Si Sabariah. (1928)
  3. Pembela Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar Shiddiq),1929.
  4. Adat Minangkabau dan agama Islam (1929).
  5. Ringkasan tarikh Ummat Islam (1929).
  6. Kepentingan melakukan tabligh (1929).
  7. Hikmat Isra' dan Mikraj.
  8. Arkanul Islam (1932) di Makassar.
  9. Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.
  10. Majallah 'Tentera' (4 nomor) 1932, di Makassar.
  11. Majallah Al-Mahdi (9 nomor) 1932 di Makassar.
  12. Mati mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi) 1934.
  13. Di Bawah Lindungan Ka'bah (1936) Pedoman Masyarakat,Balai Pustaka.
  14. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
  15. Di Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
  16. Merantau ke Deli (1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.
  17. Margaretta Gauthier (terjemahan) 1940.
  18. Tuan Direktur 1939.
  19. Dijemput mamaknya,1939.
  20. Keadilan Ilahy 1939.
  21. Tashawwuf Modern 1939.
  22. Falsafah Hidup 1939.
  23. Lembaga Hidup 1940.
  24. Lembaga Budi 1940.
  25. Majallah 'SEMANGAT ISLAM' (Zaman Jepang 1943).
  26. Majallah 'MENARA' (Terbit di Padang Panjang), sesudah revolusi 1946.
  27. Negara Islam (1946).
  28. Islam dan Demokrasi,1946.
  29. Revolusi Pikiran,1946.
  30. Revolusi Agama,1946.
  31. Adat Minangkabau menghadapi Revolusi,1946.
  32. Dibantingkan ombak masyarakat,1946.
  33. Didalam Lembah cita-cita,1946.
  34. Sesudah naskah Renville,1947.
  35. Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
  36. Menunggu Beduk berbunyi,1949 di Bukittinggi,Sedang Konperansi Meja Bundar.
  37. Ayahku,1950 di Jakarta.
  38. Mandi Cahaya di Tanah Suci. 1950.
  39. Mengembara Dilembah Nyl. 1950.
  40. Ditepi Sungai Dajlah. 1950.
  41. Kenangan-kenangan hidup 1,autobiografi sejak lahir 1908 sampai pd tahun 1950.
  42. Kenangan-kenangan hidup 2.
  43. Kenangan-kenangan hidup 3.
  44. Kenangan-kenangan hidup 4.
  45. Sejarah Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun 1938 diangsur sampai 1950.
  46. Sejarah Ummat Islam Jilid 2.
  47. Sejarah Ummat Islam Jilid 3.
  48. Sejarah Ummat Islam Jilid 4.
  49. Pedoman Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ; Cetakan ke 2 tahun 1950.
  50. Pribadi,1950.
  51. Agama dan perempuan,1939.
  52. Muhammadiyah melalui 3 zaman,1946,di Padang Panjang.
  53. 1001 Soal Hidup (Kumpulan karangan dr Pedoman Masyarakat, dibukukan 1950).
  54. Pelajaran Agama Islam,1956.
  55. Perkembangan Tashawwuf dr abad ke abad,1952.
  56. Empat bulan di Amerika,1953 Jilid 1.
  57. Empat bulan di Amerika Jilid 2.
  58. Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato di Kairo 1958), utk Doktor Honoris Causa.
  59. Soal jawab 1960, disalin dari karangan-karangan Majalah GEMA ISLAM.
  60. Dari Perbendaharaan Lama, 1963 dicetak oleh M. Arbie, Medan; dan 1982 oleh Pustaka Panjimas, Jakarta.
  61. Lembaga Hikmat,1953 oleh Bulan Bintang, Jakarta.
  62. Islam dan Kebatinan,1972; Bulan Bintang.
  63. Fakta dan Khayal Tuanku Rao, 1970.
  64. Sayid Jamaluddin Al-Afhany 1965, Bulan Bintang.
  65. Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri), 1963, Bulan Bintang.
  66. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
  67. Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
  68. Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
  69. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
  70. Studi Islam 1973, diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
  71. Himpunan Khutbah-khutbah.
  72. Urat Tunggang Pancasila.
  73. Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
  74. Sejarah Islam di Sumatera.
  75. Bohong di Dunia.
  76. Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
  77. Pandangan Hidup Muslim,1960.
  78. Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.
  79. [Tafsir Al-Azhar] Juzu' 1-30, ditulis pada masa beliau dipenjara oleh Sukarno.

Tuesday, July 28, 2009

Gagasan 1 Malaysia


Dato' Sri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang membawa makna rakyat berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia yang punya sejarah dan tradisi tersendiri tanpa menafikan setiap kaum. Dasar untuk menolong kaum bumiputera tidak juga dinafikan asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Ungkapan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” adalah tagline kepada gagasan ini. Dalam menghayati makna sebenar 1 Malaysia rakyat perlu kepada teras yang sudah pastinya adalah perpaduan.

Di mana-mana organisasi, institusi atau negara perpaduan adalah pokok utama dalam mengakar dan merimbun kejayaan. Usaha ini sangat bertepatan dengan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Wawasan 2020 hanya dapat dicapai dengan kesepaduan pemikiran, hati dan budaya kerja di kalangan semua masyarakat. 1 Malaysia insya Allah mampu untuk memacu matlamat Malaysia sebagai Negara Maju tanpa menafikan elemen agama dan sejarah bangsa. Dikalangan masyarakat wajib pula mendukungi teras 1 Malaysia dengan menghayati amalan hormat menghormati, rendah hati, kesederhanaan dan kebijaksanaan.

Pakej yang wujud dalam Gagasan 1 Malaysia dapat bergerak membentuk satu “unity” yang mengandungi Nilai-nilai Aspirasi. Ada lapan nilai-nilai aspirasi ini iaitu; budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, keberanian, meritokrasi, kesetiaan, ketabahan, integriti dan cintakan ilmu. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia usaha memahami dan menghayati gagasan ini harus diratakan keseluruh lapisan masyarakat dengan faham yang jelas tidak berbeda-beda mengikut ikut. Jika tidak gagal juga akhirnya sebagaimana dasar dan gagasan idea negara sebelum yang tidak kurang baiknya tetapi disebabkan kefahaman berbeda dalam melihat sesuatu kemudiannya timbul usaha-usaha meruntuhkan asas-asas penting ini.


Tuesday, July 21, 2009

Let's Go to ICE 09


Venue :

Dewan Raja Muda Musa,
Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor
Seksyen 7, Shah Alam.

Date :
31st July - 1st August 2009
(Friday – Saturday)

Time :
9.00am – 6.00pm

Admission :


Free Admission


Monday, July 20, 2009

Jemputan ke Kongres Pelajar

Objektif Kongres Pelajar

1. Memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang.

2. Merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.

3. Mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’.

4. Menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Pendaftaran Peserta

Untuk penyertaan, sila daftarkan diri kepada;

En. Abu Qasim Nor Azmi : 019-356 5805

En. Ahmad Fahmi Samsudin : 013-222 6925

Cik Sakinah Budiman : 013-212 4590

Sila rujuk blog Kongres Pelajar

Sunday, July 19, 2009

PPSMI satu kesilapan

Setelah enam tahun menjalani “tempoh percubaan” akhirnya dasar Pengajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan baru-baru ini. Selepas Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani itu, masih ada lagi pihak yang mahu mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan di negara ini.

Selepas kajian secara ilmiah telah dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (pembina) menunjukkan lebih banyak kesan buruk daripada baiknya PPSMI, kerajaan diminta supaya jangan berpatah balik sekalipun ada desakan daripada pihak tertentu.

Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keputusan memansuhkan PPSMI adalah suatu yang sangat tepat dan memuaskan hati semua pihak. Malah langkah ini juga ke arah mewujudkan perpaduan menerusi penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai hubungan antara kaum.

“PPSMI sebenarnya adalah satu kesilapan kerana kita mampu mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang dengan menggunakan bahasa Melayu,” tegas Ungku Aziz ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID di kediamannya di Petaling Jaya Jumaat lalu.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini juga membayangkan sekiranya PPSMI diteruskan pelajar-pelajar Melayu di desa akan terpinggir dan berhenti sekolah.

“Kalau PPSMI tidak dimansuhkan, pelajar-pelajar Melayu terutama di desa akhirnya menjadi pekerja kelas bawahan, itu pun mungkin susah,” kata Ungku Aziz lagi.

MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku mengenai keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar?

UNGKU AZIZ: Bagi saya ini adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini. Sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat. Sebelum ini saya telah memberikan beberapa ceramah tentang perkara ini dan paling terbaru di Bankers Club. Apa kesan dan implikasinya terhadap sosial politik negara ini. Pada pandangan saya bagi mengukuhkan perpaduan kita perlu kembali pada satu bahasa yang boleh digunakan semua warganegara.

Selepas ceramah saya di Bankers Club di Bukit Bintang, saya keluar dari bangunan itu kita boleh dengar pelbagai bahasa yang diucapkan termasuklah bahasa Hokkien, Mandarin dan sebagainya termasuklah bahasa Melayu. Tapi kalau kita perhatikan di kawasan Bukit Bintang, mereka yang bercakap dalam bahasa Melayu ini tidak ramai, belum lagi di Jalan Petaling.

Mereka ini menggunakan bahasa Mandarin tetapi dalam banyak dialek dan kalau cakap Melayu pun dalam bentuk rojak dan bercampur-campur. Jadi bagi saya perkara utama yang saya ingin tekankan ialah perpaduan negara ini masih belum wujud dengan memuaskan. Maka definisi perpaduan negara ini cukup susah. Saya sendiri rasa kurang jelas. Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan negara?

Kalau semua orang boleh bercakap bahasa Melayu, itu akan membantu usaha mewujudkan perpaduan negara. Tapi setakat ini ia belum menuju ke arah itu. Secara asasnya perpaduan negara ini hanya sekitar kita, misalnya tidak melihat pergaduhan antara kaum dan hidup dalam aman damai. Setakat ini toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu tinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun sama ada ia baik untuk orang Melayu menunjukkan toleransi sebegini ia masih menjadi persoalan. Jika tahap toleransi itu naik terlalu tinggi ia akan meletup. Kita kena ingat perkara ini sebagai orang Melayu dan ini yang berlaku ketika peristiwa 13 Mei.

Namun Alhamdulillah, toleransi orang Melayu sangat tinggi jika tidak ada banyak masalah. Kalau ada masalah terutama membabitkan politik orang akan menuding kepada pihak tertentu seperti MCA dan PKR. Orang kata kita tidak boleh cakap tentang kaum-kaum tetapi jika kita lihat senario sebenar kita akan nampak. Saya berpandangan Malaysia merupakan satu contoh baik negara yang wujud toleransi tetapi toleransi ini perlu wujud dalam bentuk yang kuat dan tidak hanya membabitkan satu kaum sahaja.

Kita ambil contoh di sekolah-sekolah matapelajaran diajar dalam bahasa Mandarin seperti yang diterima oleh Menteri Pelajaran. Namun mereka juga perlu bertutur dan bertukar-tukar fikiran dalam bahasa Melayu tanpa ada pilihan lain untuk asas perpaduan. Namun untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu banyak yang kita boleh pelajari dengan menggunakan bahasa Melayu.

Universiti Malaya pernah melakukannya pada tahun 1974-1975 para pelajar boleh belajar dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar jurusan kejuruteraan dan kedoktoran. Semua ini dilakukan dalam bahasa Melayu dan contoh lain kita boleh ambil Pusat Asasi Sains dan ia terbukti berjaya. Namun datang pula kelompok lain 10 tahun kemudian menukar sistem pembelajaran kepada bahasa Inggeris.

Setelah kita memberi masa enam tahun PPSMI berjalan, kepada Pak Ungku apa kelemahan ketara dasar ini?

UNGKU AZIZ: Sebenarnya semua ini bermula apabila arahan dikeluarkan supaya matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris oleh kepimpinan sebelum ini. Bagi saya ini seolah-olah ada satu magic untuk membolehkan pelajar-pelajar berbahasa Inggeris dengan lebih lancar dan mudah. Ketika itu semua orang akur dengan arahan dan tidak ada sesiapapun yang berani menolaknya termasuklah para menteri. Ramai yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini tetapi tidak ada yang berani melawan.

Saya telah diberikan satu kajian yang dijalankan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) mengenai PPSMI. Tujuh universiti terlibat dalam kajian ini dan kajian ini telah diberikan kepada Menteri Pelajaran sendiri. Segala butiran yang dikeluarkan adalah berdasarkan fakta. Kajian ini mendedahkan semua kelemahan yang berlaku akibat dari pelaksanaan PPSMI selama enam tahun termasuklah kekurangan guru, serta kelemahan pelajar di desa.

Kita ambil contoh matapelajaran Matematik, ia merupakan satu bahasa simbolik. Ia hanya membabitkan simbol sahaja dan tidak banyak menggunakan perkataan. Kita tidak gunakan perkataan tambah tapi simbol seperti juga simbol bahagi, Algebra dan sebagainya. Orang boleh membuat penilaian hanya berdasarkan simbol namun bagi mereka yang tidak tahu tentang simbol ini mereka tidak boleh membuat perkiraan Matematik. Oleh itu pelajar kena belajar tentang simbol dan bukan belajar bahasa dalam matapelajaran Matematik.

Bagaimana pelajar yang menggunakan bahasa simbol dalam Matematik boleh pandai bahasa Inggeris? Kita lihat orang Cina mahir dalam Matematik, ini kerana dalam penggunaan bahasa dan tulisan mereka banyak simbol daripada huruf. Maka jika para pelajar Melayu dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris mereka ini akan lebih terbeban. Mereka perlu belajar Matematik misalnya tetapi pada masa yang sama mereka perlu belajar bahasa Inggeris.

Semasa saya menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dahulu saya pilih budak kampung untuk ambil kursus Asasi Sains kerana tidak ramai yang hendak mengambil kursus ini. Mereka diajar selama dua tahun dalam bahasa Melayu dan selepas itu masuk ke fakulti. Dan terbukti mereka ini boleh belajar kursus seperti kejuruteraan dan sebagainya. Tidak ada masalah malah ramai kalangan mereka kini menjadi profesor dan mengajar anak-anak Melayu kita.

Apa pula masalah yang perlu ditangani segera selepas pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu?

UNGKU AZIZ: Dari segi kelengkapan tidak banyak masalah. Ini kerana banyak buku telah diterbit dan diterjemah ke bahasa Melayu. Ini termasuklah kamus-kamus seperti kamus biologi, kejuruteraan dan sebagainya. Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains.

Kita ambil contoh kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah, penguasaan kosa kata mereka tidak banyak. Tetapi mereka akan belajar lebih banyak dan mampu menulis ayat setelah bersekolah untuk beberapa tahun. Selepas itu mereka ini sudah berkeupayaan untuk bercakap dan selepas masuk sekolah menengah mereka sudah boleh bercakap tentang perkara- perkara yang abstrak. Ini kerana mereka telah belajar perkara-perkara ini secara beransur-ansur dan keupayaan mereka semakin berkembang setelah belajar. Pelajar ini perlu didedahkan dari awal penggunaan bahasa Melayu tidak kira mereka ini orang Cina, Melayu atau kaum lain.

Kita perlu faham bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah dua bahasa yang sangat berlainan. Tatabahasa Inggeris banyak diceduk dari bahasa Perancis, Jerman dan bahasa Scandinavia. Dan kemudiannya ia banyak diperbetulkan oleh pujangga agung mereka William Shakespeare kemudiannya barulah ada bahasa Inggeris yang sebenar. Shakespeare merupakan bapa kepada bahasa Inggeris moden dan ia berlaku sekitar kurun ke-17. Tetapi bahasa Melayu sudah ada pada masa itu. Bahasa Melayu sudah digunakan oleh orang Melayu di rantau ini serta di Fiji dan Madagascar. Saya sudah melawat tempat-tempat ini serta melihat buku mengenai nahu mereka dan banyak perkataan Melayu digunakan. Mengikut kajian saya bahasa Melayu sudah wujud lebih dari 1,000 tahun.

Jika kita lihat Angkor Wat di Kemboja, penduduk mereka telah menggunakan bahasa Melayu yang kebanyakannya diambil dari bahasa Sanskrit. Jadi, saya tidak nampak kenapa dengan menggunakan bahasa Melayu kita tidak boleh maju. Saya hairan kenapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama pendidikan.

Apa akan jadi jika PPSMI ini diteruskan? Adakah sekadar pelajar kita bijak berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu mereka teruk atau pelajar Melayu sendiri yang akan hancur?

UNGKU AZIZ: Jika diteruskan orang Melayu akan hancur. Dalam kajian yang dilakukan oleh Pembina, kumpulan anak Melayu di kawasan desa (luar bandar) akan terus terpinggir dan ramai mereka akan berhenti sekolah dan mungkin berakhir hanya sebagai pemandu dan pekerja kelas bawahan. Itu pun mungkin susah. Ini kerana mereka tidak mampu untuk mengikut rentak perubahan yang ingin dilakukan melalui PPSMI. Mereka ini tidak berupaya untuk belajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cepat seperti pelajar di kota apatah lagi dengan masalah-masalah lain seperti kekurangan guru dan peralatan. Maka bagi saya keputusan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu keputusan yang berani dan tepat. Para pelajar akan tetap menggunakan kedua-dua bahasa cumanya ia akan diperbaharui.

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian yang mendalam tapi ini tidak bermakna kita berundur ke belakang. Keputusan itu menunjukkan ada keseimbangan iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa Inggeris. Bagi saya PPSMI banyak merugikan anak-anak Melayu terutama yang tinggal di desa.

Kalau begitu, benarlah PPSMI adalah satu kesilapan besar yang pernah kita lakukan?

UNGKU AZIZ: PPSMI adalah satu kesilapan. Kita sebenarnya mampu dan boleh mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang yang kemudiannya mengajar di universiti lain dalam bahasa Melayu. Tidak ada masalah pun. Pengajaran PPSMI sebelum ini dilakukan dalam pelbagai masalah seperti kurang guru, peralatan dan sebagainya. Masalah juga berlaku akibat dari penambahan pelajar yang ketara berbanding guru yang berkemampuan mengajar dalam bahasa Inggeris. Maka dengan itu kualiti pelajaran dan pengajaran pastinya menurun.

Pelaksanaan bahasa Melayu ini tidak menyeluruh kerana di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina, pengajaran Sains dan Matematik digunakan dalam bahasa ibunda. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Kita kena faham tentang dialek dari orang Cina dan India tentang perkara ini. Pelajar Cina yang belajar di sekolah rendah mengikut sistem yang sedia ada sekarang belajar mengikut bahasa ibunda. Tapi saya ingin bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “bahasa ibunda”? Bagi orang Cina bahasa mereka ialah Mandarin. Apakah bahasa Mandarin itu bahasa Cina? Sebenarnya tidak. Ia (istilah ‘Mandarin’) berasal dari bahasa Melayu.

Saya telah membuat kajian tentang perkara ini. Asalnya bila orang Portugis mahu ke China mereka mahu berjumpa dengan pegawai tinggi dan bertanya apakah status mereka. Jadi orang Portugis di Melaka menyatakan “menteri”. Tapi orang Portugis ketika itu tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik.

Jadi perkataan menteri itu disebut kepada “menterin” dan apabila mereka pergi ke negeri China untuk berjumpa dengan pegawai tinggi akhirnya perkataan “menterin” tadi bertukar kepada “Mandarin”. Saya telah menulis tentang perkara ini di dalam majalah Economist di London jadi tidak ada sebarang masalah tentang perkara ini.

Tetapi carilah dalam kamus Cina atau kamus apa sekalipun tentang maksud perkataan Mandarin. Maksud yang tertulis adalah limau mandarin, tidak ada makna lain. Oleh itu tidak ada bahasa Mandarin yang ada hanya bahasa Cina. Para pelajar Cina ini hanya belajar bahasa Mandarin di sekolah tetapi apabila balik ke rumah mereka akan bercakap dalam dialek lain dengan keluarga mereka seperti dialek Kantonis, Hokkien, Teochew.

Cuba kita tanya orang Cina apa bahasa ibunda mereka? Mungkin ada yang kata Kantonis dan sebagainya. Sekarang ini tidak ramai orang muda Cina yang boleh berbahasa Cina dialek Beijing. Begitu juga orang India ada pelbagai dialek seperti Tamil, Urdu, Punjab dan sebagainya. Jadi di mana bahasa ibundanya?

Yang bercakap bahasa ibunda yang betul ialah orang Melayu kerana mereka bercakap Melayu. Ini kerana ibu bapa, nenek dan ahli keluarga mereka semua bercakap bahasa Melayu.

Kalau begitu apa perlunya sekolah jenis kebangsaan kalau mereka juga bukan diajar dalam bahasa ibunda?

UNGKU AZIZ: Jawapannya mudah, ini kerana politik. Tetapi bagi saya untuk mengukuhkan perpaduan, yang perlu ada ialah satu bahasa. Ini kerana hanya dengan cara inilah akan menggalakkan lagi persefahaman dan memudahkan pergaulan antara semua kaum. Kerana itu untuk mengajar dan mencampuri bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Bagaimana pula sikap sesetengah pihak yang terus mendesak supaya PPSMI dikembalikan? Adakah kemungkinan PPSMI dikembalikan?

UNGKU AZIZ: Saya sangat berharap tidak akan berlaku dolak dalih bagi memungkinkan pelaksanaan PPSMI dikembalikan. Maksudnya setelah keputusan ini diambil kerajaan tidak akan berundur ke belakang. Saya faham kerajaan mungkin menerima banyak tekanan dari pelbagai pihak supaya PPSMI ini dilaksanakan semula termasuklah dari orang Melayu sendiri. Saya tidak kata kita menolak penggunaan bahasa Inggeris sebab bahasa itu perlu untuk menjadikan negara ini maju. Tetapi saya mahu bahasa Melayu terus unggul di negara sendiri. Kita tidak perlu pinggirkan bahasa Melayu sebaliknya kedua-dua bahasa ini sama-sama naik.

Namun cabaran ini pastinya sangat hebat kerana ada di kalangan kaum lain dan juga sesetengah orang Melayu sendiri yang hanya mahukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kalau kita lihat contoh seperti mereka di Jamaica dan negara-negara di kepulauan Caribbean, mereka tidak ada bahasa kebangsaan. Adakah kita mahu jadi seperti itu? Orang Melayu mesti menghidupkan bahasa Melayu dan berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama demi kemajuan negara kita mesti mampu berbahasa Inggeris.

Sumber : Utusan

Wednesday, July 15, 2009

Taaruf Bersama Penggerak Baru


Bestari Jaya, 15hb Julai 2009 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel berjaya melaksanakan program Taaruf GPTD UNISEL di Perpustakaan Unisel. Acara yang bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam telah dikendalikan oleh Penasihat GPTD, Sdr. Izwan Suhadak Ishak atau lebih mesra dengan panggilan Abang Su. Taaruf ini merupakan susulan selepas Mesyuarat Agung Pertama dan Promosi Keahlian di Pusat Khidmat Pelajar. Seramai 15 orang hadir untuk beramah mesra dan mengenali GPTD UNISEL dengan lebih dekat. Ahli yang hadir diserapkan kepada grup berdasarkan tokoh kajian. GPTD UNISEL akan melancarkan projek pertama iaitu Misi Menjejak Pemikiran Buya Hamka di Maninjau, Indonesia. Projek ini akan dijayakan pada hujung tahun ketika cuti semester. Sementara grup lain masih dalam kajian awal dan perbincangan asas sebelum melaksanakan misi mereka. Mereka akan mengikuti Latihan Sukarelawan Tahap 1 yang dijangkakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada pertengahan bulan Ogos sebagai persiapan spiritual, inteletual dan fizikal sebelum menjalankan misi yang lebih mencabar.

Nasib Umat Islam di Xinjiang dinafikan

Masyarakat dunia digemparkan dengan keganasan yang berlaku di Wilayah Urumchi, Ibu negeri Xinjiang pada 5 Julai 2009. Rusuhan meletus di antara etnik Uighur (majoritinya masyarakat Islam keturunan Turkik) dan etnik Han. Ini menggusarkan kerana dilaporkan jumlah yang terlibat di antara 1000 hingga 3000 dikalangan orang Uighu. Akhbar The daily Telegraph pula melaporkan pertembungan pada Ahad lalu tercetus selepas etnik Uighur mengadakan demonstrasi menentang pemerintah yang dikatakan tidak adil dalam mengendalikan pertikaian industri di mana berlaku kematian dua orang pekerja Uighur di sebuah kilang alat permainan dalam perkelahian dengan kakitangan etnik Han pada bulan lalu. Rentetan itu, ratusan Han menggunakan kayu sebagai senjata bertempur dengan etnik Uighur.

Berdasarkan sejarah, etnik Han berhijrah ke Urumchi dan kini telah menjadi majoriti mengalahkan bilangan etnik Uighur. Ini menyebabkan berlaku ketidakseimbangan sosial di wilayah itu yang mana suatu ketika dulu adalah majoriti masyarakat muslim. Akibat kebanjiran etnik Han, rumah-rumah etnik Uighur telah dimusnah bagi memberi laluan kepada kemasukan etnik Han malah budaya mereka di kesampingkan dan kini menjadi minoriti di wilayah sendiri. Malah pekerjaan telah dikuasai etnik Han. Maka bermulalah gerakan memperjuangkan nasib bangsa yang dikategorikan pihak berkuasa China sebagai pengganas.

Kumpulan-kumpulan Uighur mengatakan dasar-dasar kerajaan yang menindas demi memberikan tempat kepada penghijrahan etnik terbesar China, kaum Han Cina ke wilayah Xinjiang telah menimbulkan ketegangan etnik dan menaburkan benih-benih keganasan. Kejadian yang berlaku ini tidak mendapat liputan luas media antarabangsa. Umat Islam juga tidak mempedulikan penindasan yang dialami etnik Uighur Muslim ini. Berbanding isu yang berlaku di Gaza, Palestin tetapi mungkin juga disebabkan hampir 6 dekad telah berlangsung barulah ummat mengambil perhatian. Ini tidak berlaku di Urumchi.

Etnik Uighur yang merupakan penduduk asal Xinjiang pernah menikmati kebebasan dalam pentadbiran dan pemerintahan China. Tetapi sejak 20 tahun lalu dasar-dasar China telah melahirkan ketidakpuasan kepada mereka terutamanya berkaitan dengan penempatan semula jutaan etnik Han Cina ke wilayah mereka.

China patut sedar bahawa sikap dan dasar yang menindas ini akan diketahui masyarakat antarabangsa dan China mesti memohon maaf kepada masyarakat Islam seluruh dunia dan masyarakat antarabangsa di atas ketidakadilan terhadap etnik minoriti dan strategi penyusunan etnik yang bias. Jika dilihat pada zaman atau pemerintaha dinasti Ming, tokoh Islam juga ada menjadi pembesar negara Tanah Besar China. Kepakaran dan keilmuan mereka diakui tanda ada sangka buruk. Contohnya Cheng Ho, seorang pelayar muslim yang tersohor di seluruh dunia yang mengemudi kapal untuk membina jaringan diplomatik tanpa agenda penjajahan.

Rujukan : Wikipedia

Pertemuan Pertama : Taaruf GPTD

Makluman kepada semua ahli GPTD UNISEL dan pelajar yang berminat, satu program khas iaitu Pertemuan Pertama : Taaruf GPTD akan diadakan bagi memperkenalkan pimpinan & program GPTD UNISEL pada masa terdekat. Oleh yang demikian maklumat berkaitan adalah seperti berikut :
  • Masa: 8.30 mlm hingga 10.30 mlm
  • Tarikh: 15 Julai 2009 (Rabu)
  • Tempat: Bilik Mesyuarat, Perpustakaan UNISEL
  • Agenda: Taaruf, Intro GPTD, Pelancaran Grup Hamka
*Sila bertanya pustakwaan di kaunter untuk kepastian

Datanglah beramai-ramai, jangan lepaskan peluang keemasan ini!

Friday, July 10, 2009

MPAT GPTD UNISEL Pertama Berjaya



Bestari Jaya, 10hb Julai 2009
- Pengerusi GPTD Saudara Jufitri telah merasmikan Mesyuarat Agung Pertama serta penubuhan cawangan GPTD UNISEL Bestari Jaya. Ini adalah cawangan yang kedua selepas GPTD Cosmopoint Kelantan. Alhamdulillah GPTD UNISEL telah membuat pengambilan ahli baru lebih kurang 50 orang pada promosi yang diadakan beberapa hari sebelum majlis berlangsung. GPTD mensasarkan membuat kajian sejarah ke Maninjau di mana tempat lahirnya Buya Hamka. Insyallah kami akan laksanakan pada hujung tahun ini.

Wednesday, July 8, 2009

Dari Istanbul ke Legasi Meiji

“Pesawat MH88 ke Tokyo Narita sudah bersedia untuk berlepas dari pintu C27″, saya mendengar pengumuman dibuat dari corong suara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam itu.

Kaki melangkah perlahan.

Antara letih, bersemangat, gementar, dan pelbagai perasaan yang bercampur aduk ketika itu.

JEMPUTAN

Jimi dan ‘Boss’ menghulurkan jemputan kepada saya untuk datang ke Jepun, lebih setahun lalu. Pertemuan kami di Masjid al-Syakirin, menghasilkan keputusan bahawa saya akan ke Jepun pada Ogos 2008.

Jemputan yang diterima ini, mengingatkan saya kepada apa yang pernah dibaca dari buku Modernist Islam, 1840 – 1940: A Sourcebook oleh Charles Kurzman. Di dalam buku tersebut, ada dicatatkan sesuatu yang menarik… sesuatu yang entah bagaimana, boleh berkait dengan saya.

MUTSUHITO MEIJI

Lebih 100 tahun yang lalu, tatkala Jepun diperintah di bawah kepimpinan Maharaja Mutsuhito Meiji (1867 – 1912), beliau pernah menghantar surat kepada ‘khalifah terakhir umat Islam’, Sultan Othmaniyyah iaitu Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1909) di Istanbul. Surat itu merupakan perutusan dari seorang Maharaja ‘Timur’ kepada seorang Maharaja ‘Timur’ yang lain, menyatakan keinginan Maharaja Mutsuhito untuk mengangkat persamaan ketimuran itu ke tahap yang lebih tinggi.


Maharaja Meiji

“Kita berdua adalah Maharaja Timur, dan sudah tentu menjadi tuntutan keperluan sesama kita dan rakyat kita, untuk bersahabat dan saling berhubung, sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat sesama mereka, tatkala Barat itu juga melihat kita sebagai ’satu’ iaitu ‘orang Timur’. Beta melihat orang Barat menghantar misionari mereka ke negara ini untuk menyebarkan agama mereka kerana kebebasan beragama yang ada di sini…

Beta melihat tuan tidak melakukan perkara yang sama. Beta mahu tuan menghantar pendakwah-pendakwah ke negeri ini untuk mengajar dan menyebarkan agama tuan, yang boleh menjadi asas ikatan moral antara kita!”, titah Maharaja Mutsuhito Meiji di dalam perutusannya kepada Sultan Abdul Hamid II di ibu kota Ummah, Istanbul.

REAKSI KHALIFAH

Kapal terbang Boeing 777-200 meluncur laju meninggalkan landasan. Jauh di bawah kelihatan kerlipan-kerlipan lampu Lembah Kelang. Semoga Allah melapangkan jiwa isteri dan anak-anak saya yang terpaksa ditinggalkan seketika demi suatu misi.

Fikiran saya terbang mencari fakta-fakta yang pernah dibaca itu…

Tatkala tamadun Islam di ambang keruntuhan dek serangan luar dan dalam, ketika itulah suatu negeri baru ditawarkan sebagai tapak menyuburkan Islam… bumi Jepun.


Sultan Abdul Hamid II

Surat Maharaja Meiji itu sangat menarik perhatian Sultan Abdul Hamid II. Di Istana Yildiz, sebuah komiti telah ditubuhkan untuk mengkaji akan hal ini. Komiti itu dibentuk bersama Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan, kedua-duanya sangat mengambil berat akan pelawaan luar biasa ini. Ketika itu, kedua orang penting Istana ini telah berpakat bersama Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, reformis Muslim terkemuka di zaman itu yang bermastautin di Istanbul, untuk menyediakan perancangan berkaitan hal ini. Mereka pergi mengadap Sultan dan diskusi bermula.

“Kami mencadangkan agar sebuah rombongan deligasi dibentuk dari kalangan ilmuan Madrasah Istanbul untuk dihantar ke Jepun”, kata Sheikh al-Islam dan Menteri Pendidikan.

Sayyid Jamal al-Din al-Afghani hanya mendiamkan diri.

Sultan Abdul Hamid II merenung ke arahnya dan meminta pandangan al-Afghani.


Sayyid Jamal al-Din al-Afghani

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”, tegas Sayyid Jamal al-Din al-Afghani.

Sultan terdiam.

“Buat masa ini, cukuplah dihantar surat perutusan bersama hadiah-hadiah yang sesuai untuk memaklumkan kepada Maharaja Meiji bahawa jemputannya sudah diterima dan diberikan perhatian yang serius. Nyatakan yang tuanku akan menunaikan jemputan itu dengan sebaik mungkin”, simpul Sayyid Jamal al-Din al-Afghani kepada Sultan Abdul Hamid II.

Cadangan itu diterima.

Perutusan dihantar, namun agenda pendidikan khas untuk pendakwah Islam ke Jepun itu tidak terlaksana. Jemputan itu ditelan masa dan hilang dari ingatan…

PAN ISLAMISMA

Malam semakin larut.

Di dalam kepekatan malam, pesawat terus menyeberangi Laut China Selatan menuju ke negeri Matahari Terbit. Saya terus melayan fikiran, meraba-raba ingatan terhadap kehidupan ummah yang pernah gemilang ini. Catatan yang hilang dari keutamaan, kerana apa yang didambakan arus perdana hanya nilai material yang tidak berkesudahan tatkala semuanya tidak kekal.

Sultan Abdul Hamid II menggerakkan Agenda Pan Islamisma beliau dengan begitu agresif. Sayyid Jamal al-Din al-Afghani yang sering berkonflik bersama beliau, adalah ideologue yang tidak boleh dikesampingkan. Pan Islamisma adalah ibarat Islam sebagai ideologi politik, bertujuan membina ikatan emosi dan rasa antara umat Islam seantero dunia, agar bersatu padu mendepani imperialisma Barat yang semakin dominan.

Perutusan Pan Islamisma dihantar ke seluruh dunia.

Dan saya merenung ke luar, melihat pekat malam yang menyelubungi Laut Cina Selatan, menjejaki perjalanan kapal Ertugrul yang belajar atas titah Sultan Abdul Hamid II menuju Jepun.

PELAYARAN ERTUGRUL

607 anak kapal bersama 57 pegawai telah memulakan pelayaran jauh menuju Jepun pada 14 Julai 1889, bersama Kapten Ali Bey sebagai ketuanya. Perjalanan membelah lautan itu sungguh dramatik. Persinggahannya ke India, dan Semenanjung Tanah Melayu sarat dengan pelbagai catatan yang berharga. Masakan tidak, kapal utusan khalifah bangsa Islam itu belayar dengan misi besar, mengajak kaum Muslimin bersatu dari Istanbul ke hujung terbitnya mentari harapan.

Selepas 11 bulan belayar, Ertugrul tiba di Yokohama pada 7 Jun 1890.


Krew kapal Ertugrul disambut meriah

Rombongan yang dipimpin oleh Kapten Ali Bey itu disambut meriah oleh Maharaja Meiji dan penduduk Jepun. Mereka saling bertukar hadiah dan meriam ditembak ke udara sebagai mengalu-alukan ketibaan rombongan yang dinanti-nanti ini. Masyarakat Jepun keluar beramai-ramai berpesta dan berebut-rebut melihat bendera dan kapal Othmaniyyah.

Selama beberapa hari, pelbagai majlis diadakan. Ketibaan kaum Muslimin Othmaniyyah itu amat dialu-alukan.

TRAGEDI


Kapal Ertugrul sebelum pelayaran akhirnya pada tahun 1890

“Tangguhkan sebentar. Ini musim taufan!”, pesan watan kepada tetamu.

Namun Ertugrul tidak bertangguh. 15 September 1890, Ertugrul berlayar meninggalkan Yokohama.

Hari pertama cerah menyinar. Kapal itu ceria dengan 1001 berita yang ingin disampaikan kepada Sultan di Istanbul. Namun segala-galanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila taufan 16 September datang seperti yang dipesan. Ertugrul terperangkap di dalam bencana.

Sehingga lewat malam, kapal dan kira-kira 600 anak buahnya dalam keadaan genting. Pelbagai kerosakan berlaku dan tatkala pekat malam mengundang pagi, Ertugrul terhempas berkecai merempuh terumbu di Pulau Oshima, tidak jauh dari pantai Wakayama yang berbatu.

Dalam jerit pekik warga utusan khalifah, Ertugrul tenggelam ditelan ombak. Lebih 500 anak kapal terbunuh. Maharaja Meiji menyambut berita itu dengan kesedihan.


Tugu peringatan Tragedi Kapal Ertugrul di Pulau Oshima hari ini

Terasa basah air mata saya mengenangkan kemalangan itu. Ia bukan sekadar kemalangan yang menenggelamkan kapal utusan Khalifah, ia juga menenggelamkan harapan ramai umat Islam di Kepulauan Melayu yang turut sama mengirimkan mesej ke kapal Ertugrul agar Khalifah mengusahakan bantuan membebaskan tanah air kita dari penjajahan Britain dan Belanda.

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Bukan itu sahaja, ia turut sama menjadi siri bencana yang akhirnya menyaksikan tenggelamnya legasi Ummah apabila Sultan Abdul Hamid II sendiri digulingkan oleh Parti Ittihad ve Terakki pada 1909 dan Khilafah Othmaniyyah dengan rasminya dikebumikan pada tahun 1924… tiada lagi Islam dan Ummah sebagai satu. Turki menjadi Turki, Jepun sebagai Jepun, Tanah Melayu bergelar Malaysia, dan semangat persaudaraan Islam hilang ditelan masa.

MENDARAT

Di dalam pekat malam, saya menunaikan Solat Subuh di dalam pesawat. Boeing 777-200 yang semakin hampir mencecah kepulauan Okinawa di selatan Jepun dinyalakan lampu untuk sarapan pagi.

Maharaja Meiji telah menjemput Islam dan Muslim… seakan semangat penduduk Madinah yang membuka ruang baru selepas kesempitan Mekah yang menekan dakwah.

Namun kelemahan umat, menjadikan jemputan itu tidak terisi. Biar pun Muslim sudah sekian lama bertapak di Bumi Sakura, namun peranan mereka masih berada di dalam tandatanya. Saya teringat kepada komentar Sayyid Jamal al-Din al-Afghani:

“Tuanku, ilmuan-ilmuan yang dicadangkan itu telah menjauhkan Muslim dari Islam, bagaimanakah mereka boleh dipertanggungjawabkan untuk mengajak masyarakat Jepun kepada agama kita? Saya berpendapat, adalah penting untuk kita mengkaderkan golongan bijak pandai, memberikan mereka pendidikan khas untuk melayakkan diri mereka memikul tugas ini mengikut keadaan semasa”

Tersebarkah Islam, jika Muslim yang bertindak melumpuhkannya?

Sesungguhnya telah ada sekumpulan bijak pandai yang dihantar dari watanku Malaysia ke bumi Jepun. Apa yang diperlukan adalah untuk mereka itu diberikan sentuhan khas bagi melayakkan diri memikul tugas yang besar dan mulia ini. Jepun di tahun 2008 tidak mungkin memandang Islam retorik dan idea basi. Ia harus datang sebagai Islam sebenar yang penuh kualiti dan nilai tinggi.

Di atas misi itulah, saya terbang ke bumi Jepun.

Semoga Summer Camp 2008 mampu mencetuskan kualiti yang dicari, agar anak Ummah di bumi Sakura itu mampu menyampaikan mesej Islam yang telah dipelawa lebih sekurun lalu. Itu cita-citaku.

Pesawat MH88 mendarat sempurna di Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo-Narita tepat jam 7:40 pagi. Saya menarik nafas sambil menggenggam erat kedua tangan.

Urusan imigresen berjalan lancar. Tatkala menjalani pemeriksaan kastam, pegawai bertugas memberikan tanda sokongan, memuji saya kerana menulis buku. 40 buah buku Aku Terima Nikahnya saya bawa, sebagai memenuhi permintaan sebahagian peserta yang berhubung sebelum ini. Terkenang kepada sebuah pepatah Cina yang menyebut bahawa, “belumlah seorang itu menjadi lelaki sehingga dia menulis sebuah buku!”.

Ketibaan saya disambut oleh saudara Norhuzaimi dengan penuh kemesraan… Nihon e Youkoso!

Tatkala kaki melangkah naik ke bas menuju ke Mito untuk Summer Camp 2008, fikiran saya melayang melihat kehijauan bumi Jepun yang buat pertama kalinya dijejak diri.

“Think big, act small“, slogan saya kali ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Tokyo, Jepun

Sumber : http://saifulislam.com/?p=2556

Tuesday, July 7, 2009

Menghindari Selsema A (H1N1) dengan berwuduk

Apabila membaca berita malaysiakini tentang selesema A (H1N1) agak mengejutkan dan menakutkan kerana angka kini meningkat mencecah ke 468 orang pesakit. Menteri kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 34 lagi kes baru wabak selesema A (H1N1) disahkan hari ini, termasuk 12 kes penularan tempatan. Kementerian Kesihatan Malaysia menasihat kepada seluruh rakyat agar menjaya kebersihan diri dan mengikut etika batuk atau bersin yang betul dengan membasuh anggota tangan, muka dan lain-lain.

Cuma di sini ingin ditegaskan bahawa Islam sudah pun menyarankan agar umatnya sentiasa dalam keadaan bersih yakni suci kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Malah tuntutan berwuduk diwajibkan jika ingin menunaikan solat. Jika tidak solat pun sunat hukumnya apabila sentiasa dalam keadaan berwuduk. Sebagaimana kisah Bilal yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagai ahli syurga dek kerana rutin beliau yang sentiasa suci berwuduk.

Maka inilah hikmahnya, apabila amalan sunnah Rasulullah SAW diamalkan. Dapatlah kita menghindari diri daripada musibah gejala penyakit selsema H1N1. Dalam konteks menikmati makanan juga Islam menyarankan agar umatnya untuk membasuh tangan terlebih dahulu sebelum makan. Begitu juga larangan menyentuh apatah lagi berpeluk dan bercium dengan pesakit yang boleh menyebabkan penyakit merbahaya ini boleh berjangkit di mana Islam telah lama mengajar agar kita jangan menyentuh antara lelaki dan perempuan bukan mahram bagi mengelak penyakit sosial. Dulu ramai yang mempetikaikan apa bahayanya bersentuhan tetapi kini dunia mengiktiraf bahawa adanya sentuhan yang merbahaya kepada kesihatan.

Nah inilah natijahnya jika kita menuruti sunnah Rasulullah SAW, maka terpancarlah keindahannya Islam. Oleh yang demikian, mesej yang ingin disampaikan adalah janganlah kita meninggalkan solat kerana apabila kita ingin memenuhi kewajipan solat kenalah kita berwuduk. Apabila kita mengambil wuduk insya Allah terhindarlah kita daripada gejala selsema A (H1N1).

Monday, July 6, 2009

Promosi Keahlian GPTD UNISEL

Dengan segala hormatnya menjemput mahasiswa Universiti Industri Selangor untuk ziarah ke kaunter GPTD UNISEL & sertai kami. Oleh itu jangan lepaskan peluang, KITA JUMPA DI SANA.
  • Tempat: Pusat Khidmat Pelajar (PKP)
  • Tarikh: 7 - 8 Julai 2009
  • Masa: 8.00 malam - 11.00 malam
Bagi mahasiswa yang mendaftar sebagai ahli, diskaun akan diberikan sebanyak 10% untuk penyertaan program & aktiviti yang akan datang. Sekian terima kasih!


WAN RITINI WAN ISMAIL
Jawatankuasa Promosi Keahlian

Ringkasan Pelayaran Cheng Ho

Cheng Ho adalah seorang sida-sida di zaman Dinasti Ming bawah pimpinan Maharaja Yung-lo dan merupakan ketua komandan ekspedisi armada China pada awal abad ke 15.

Lahir dalam keluarga yang bernama Ma, mungkin berasal dari keturunan Mongol-Arab, di Wilayah Yunnan, Cheng Ho telah dipilih untuk dikasi oleh pemerintah yang berkuasa yang sedang merekrut sida-sida pada tahun 1381, ketika dia berumur sekitar 10 tahun.

Cheng Ho telah ditugaskan menjadi pendamping kepada Panglima Besar bernama Chu Ti (yang kemudiannya menjadi Maharaja) dalam kempen peperangannya untuk merebut kuasa menakluki takhta dinasti pada tahun 1402.

Maharaja Hui Ti yang telah melarikan diri ke luar negara (ada yang berpendapat dia ke luar negara untuk tujuan perdagangan)telah memberi inspirasi kepada Maharaja Yung Lo untuk menjalinkan hubungan luar dengan negara-negara lain dengan mengirim ekspedisi Cheng Ho.

Dalam tempoh 28 tahun, iaitu dari tahun 1405 hingga 1433, Cheng Ho telah mengarahkan tujuh ekspedisi dan telah mengunjungi lebih 37 buah negara bermula dari Champa di sebelah pantai timur hingga ke Afrika di sebelah barat.

Sebanyak 1,180 kapal pelbagai jenis dan ukuran telah dibina untuk tujuan itu. Saiz-saiznya berbeza dari satu armada ke armada yang lain.

Ekspedisi pertamanya terdiri daripada 27,800 pelayar dan 62 kapal armada dan 255 kapal kecil yang membawa barangan sutera, perhiasan, dan produk-produk berharga lain.

Semua pelayaran adalah di bawah perintah peribadi Cheng Ho. Namun, dia memberi kepercayaan penuh kepada laksaman-laksamana lain untuk melakukan pelayaran kecil yang bukan dalam laluan utama ekspedisinya.

Negara-negara yang dikunjungi adalah dari negara-negara terdekat, seperti Champa, Sumatera, Jawa,dan Tanah Melayu hingga ke negara-negara jauh di Timur, termasuk Arab dan tempat-tempat di sebelah timur pesisir Afrika, seperti Mogadishu dan Brawa.

Tujuan dari pelayaran ini adalah untuk meyakinkan orang asing dari tentang keterbukaan Cina, memperluas pengaruh dengan pemberian hadiah dan perkenalan kepada pemimpin-pemimpin dari luar kerajaan, dan melaporkan keadaan luar negara kepada Maharaja.

Dalam masa yang sama, armada Cheng Ho juga berjaya menghapuskan lanun laut Cina yang kuat, campur tangan dalam perang Jawa, dan membantu mengembalikan penguasa yang sah di Sri Lanka.

Armada yang dipenuhi banyak produk eksotik asli telah menarik perhatian ekspedisi-ekspedisi lain yang sering mengikutinya untuk memberi perutusan penghargaan dari pelbagai negara.

Setelah kematian Maharaja Yung Lo pada tahun 1424, ekspedisi ini dihentikan kerana didakwa tidak bermanfaat dan merugikan negara.Cheng Ho kemudiannya dilantik menjadi Komandan di Nanking. Pelayaran terakhirnya (1432-1433) adalah di sewaktu pemerintahan Maharaja Hsüan-te. Cheng Ho dipercayai meninggal dunia pada usia sekitar 63 - 65 (tahun 1433 - 1436).

Ekspedisi Cheng Ho ini dilakukan hampir satu abad sebelum Christopher Columbus dan Vasco de Gama, tidak hanya memperkuat pengaruh Cina di dunia tetapi juga prestasi uniknya dalam sejarah perusahaan maritim harus diakui.

Related Posts with Thumbnails