Thursday, July 19, 2012

Abim cadang semua hantar surat kepada duta Syria

Abim menyatakan kekesalan dengan ‘perang saudara’ yang masih berterusan berlaku di bumi Syria selepas 17 bulan yang mengakibatkan lebih 14 000 nyawa yang tidak berdosa terbunuh.

Regim Bashar al-Assad masih gagal mengawal keadaan dan ternyata suara rakyat Syria mahukan Assad berundur dan menyerahkan rakyat Syria menentukan masa depan mereka sendiri melalui sistem pemilihan dan pemerintahan yang lebih adil dan maju.

Perjuangan rakyat Syria juga turut dikuatkan dengan sokongan tidak berbelah bahagi oleh Ikatan Ulama Syria yang dipengerusikan oleh ulama tafsir terkenal kelahiran bumi Syria iaitu Sheikh Muhammad Ali Sobuni.

Melalui Muktamar atau Persidangan Umat Islam bagi Membela Rakyat Syria yang dianjurkan oleh Ikatan Ulama Syria ini di Istanbul pada 1-3 Julai 2012 / 11-13 Syaaban 1433 H antara lain mengeluarkan resolusi sokongan seperti berikut :

“Muktamar menegaskan bahawa revolusi rakyat Syria dari segenap sudutnya adalah revolusi yang haq (benar) menentang kezaliman, revolusi yang adil menentang kejahatan dan permusuhan, revolusi untuk kebebasan melawan pelampau, diktator, kerosakan, pembunuhan dan
pencerobohan, serta revolusi tuntutan yang bebas, adil dan terhormat yang berkait dengan asas ummah dan identitinya serta memelihara kesatuan bumi Syria serta rakyatnya dan mengekalkan kemerdekaannya yang total”.

Muktamar yang turut disokong Persatuan Ulama Antarabangsa yang dipengerusikan oleh Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi ini menegaskan bahawa rakyat Syria harus menjatuhkan Bashar dan menolak sebarang rundingan kerana rejim ini telah membunuh sekalian rakyatnya, memusnahkan tanah airnya, menyebarkan buminya dengan kerosakan dan kemusnahan sambil muktamar menegaskan semua kehendak rakyat Syria ini adalah ‘syarie’ (mengikut hukum syarak).


ABIM juga ingin menyokong tindakan bijak Duta Syria ke Iraq Nawaf al-Fares meletak jawatan dan menyokong perjuangan rakyat Syria menuntut keadilan.

Nawaf menegaskan "Every Syrian man has to join the revolution to remove this nightmare and this gang,"

Justeru ABIM ingin menyeru dengan serius agar Duta Syria di Malaysia dan rakan diplomat Syria yang lain di seluruh dunia menyahut segera gesaan rakan sejawatan beliau ini sebelum terlambat.

Bagi memberikan dorongan dan desakan kepada Duta Syria di Malaysia, ABIM ingin melancarkan kempen kepada rakyat Malaysia supaya beramai-ramai menghantar surat kepada Duta Syria yang telah disediakan oleh pihak ABIM.

Ia sebagai usaha berterusan rakyat Malaysia untuk menghentikan keganasan yang berlaku di Syria dan rakyat Syria mendapatkan semula impian mereka untuk hidup secara aman, bebas dan adil seperti mana yang dikecapi rakyat Malaysia amnya.

ABIM menerusi Save Syria Campaign akan terus komited membantu perjuangan rakyat Syria sehingga nasib mereka terbela dan mendapat keadilan hakiki.


-----------------------------------------
Penulis adalah Naib Presiden Antarabangsa ABIM.
 
Muatturun Contoh Surat : Klik

Sumber : Harakah Daily

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails