Monday, August 8, 2011

Kenyataan Media Pembela : Isu Dream Center

Kenyataan Media Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berhubung isu pemeriksaan Pasukan Penguatkuasaan JAIS ke atas premis Dream Center milik Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011.

8 Ogos 2011M bersamaan 8 Ramadhan 1432H

Pertubuhan-pertubuhan Islam yang bergabung di bawah PEMBELA ingin menzahirkan sokongan terhadap tindakan Pasukan Penguatkuasaan JAIS melakukan pemeriksaan ke atas premis Dream Centre yang dimiliki Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011. Penganjuran “Thanksgiving Dinner” di dewan tersebut dengan melibatkan orang-orang Islam pada waktu berbuka puasa di bulan mulia Ramadhan menimbulkan pelbagai persoalan dan mendedahkan penganut agama Islam kepada upacara keagamaan bukan Islam di tempat bukan Islam.

Peranan JAIS di dalam menjalankan pemeriksaan tersebut adalah mengikut lunas dan ruanglingkup peruntukan undang-undang yang sedia wujud dan telah dijalankan demi menjernihkan sebarang keresahan di kalangan masyarakat Malaysia, khususnya penganut agama Islam sebagai majoriti penganut agama yang mempunyai kedudukan sebagai agama Negara.

Susulan reaksi pelbagai pihak, terutamanya para pemimpin politik daripada kedua-dua pihak kerajaan dan barisan pembangkang, PEMBELA meyakini keperluan untuk membantah kenyataan-kenyataan fitnah terhadap PPA JAIS kononnya telah berlaku “storm”, “raid” dan “barge” serta tindakan seumpamanya sedangkan pada hakikatnya PPA JAIS telah terlebih dahulu berunding dengan penganjur lebih sejam sebelum melaksanakan tujuan pemeriksaan, iaitu untuk memastikan sama ada terdapat orang Islam di kalangan hadirin majlis tersebut serta tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan penghinaan terhadap agama Islam. PEMBELA menegaskan sekali lagi bahawa kedudukan Islam, seperti yang terpahat di dada sejarah dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Negeri, adalah dikawalselia serta berada di bawah naungan Duli-duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di negeri-negeri. Hakikat ini bukan sahaja perlu diterima semua pihak, tetapi batas-batasnya juga perlu sentiasa dicernakan dan dihormati di dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia.

Justeru PEMBELA membantah sekeras-kerasnya campurtangan politik dalam hal ehwal agama Islam oleh para pemimpin politik yang bermotifkan percaturan serta perkiraan kuasa semata-mata. Kenyataan YAB Menteri Besar Selangor yang bersifat “apologetic” amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan. Begitu juga, kenyataan beberapa pemimpin politik yang bukan beragama Islam menghiris hati dan perasaan umat Islam serta menggambarkan seolah-olah agama Islam tidak bertempat di Negara ini. Kenyataan-kenyataan tersebut hanya menambah kekeliruan dan mewujudkan prasangka yang menajam di kalangan umat Islam dan bukan Islam. Adalah lebih baik sekiranya pihak JAIS dan mana-mana pihak berkuasa agama negeri-negeri diberikan kebebasan menjalankan tugas selagi tidak melanggar lunas serta batas undang-undang yang diperuntukkan.

PEMBELA menuntut pihak berkuasa keselamatan untuk menyekat tindakan-tindakan provokasi agama yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara terancang untuk menghakis kedaulatan Islam sebagai agama negara. Ini termasuklah peranan mana-mana media yang menggunakan istilah-istilah yang tidak tepat berkenaan gambaran kejadian yang berlaku, serta komen-komen yang ternyata tidak membantu di dalam mencari keadilan dan menjernihkan suasana harmoni yang sedia wujud di kalangan seluruh masyarakat Malaysia.

Dr. Yusri Mohamad – Pengerusi PEMBELA

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails