Tuesday, March 29, 2011

Surat Sahaya Tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa Al-Fathani

Sahabat-Sahabat GPTD yang dikasihi. Semoga dalam naungan rahmat Allah SWT hendaknya.

Dalam surat sahaya pada kali ini ingin dirakamkan sebuah biografi Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa Al-Fathani, Ulama Melayu yang berasal dari Fatani Darul Salam (Sekarang di bawah naungan Kerajaan Thailand). Semoga mendapat manfaat para relawan dan pengkaji sejarah umat Islam nusantara. Sahaya terpanggil untuk berkongsikan latarbelakang ulama besar ini disebabkan dua perkara. Pertama : Bacaan terhadap karya dan catatan Tuan Guru Hj Wan Mohd. Shaghir Abdullah tentang ulama nusantara. Kedua : Sahaya pernah ziarah ke kediaman (juga sebagai Sekretariat Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (PENGKAJI), Stor menyimpan koleksi penerbitan PENGKAJI) beliau di Gombak bersama Sdr Raimi Mohamed ketika itu sebagai Presiden PKPIM. Banyak sejarah ulama & nusantara yang sahaya ketahui berdasarkan penulisan beliau. Lebih signifikan beliau adalah cucu kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Ahmad Al-Fathani.

Ada juga yang memanggil Syeikh Ahmad Al-Fathani dengan nama Tuan Guru Wan Ahmad. Beliau adalah ulama besar dan namanya termasyur bukan sahaja di Tanah Suci Mekah tetapi sampai ke negeri-negeri bawah angin. Dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada malam Jumaat 5 Syaaban 1272H bersamaan 10 April 1856 dan wafat pada 11 Zulhijjah 1325H bersamaan 14 Januari 1908 dimakamkan di Mekah. Kelahiran beliau jika mengikut tahun Siam adalah tahun ular besar. Pada tahun yang sama juga Sultan Muhammad Raja Fathani mangkat. Syeikh Ahmad al-Fathani disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek keilmuan merangkumi duniawi dan ukhrawi. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, bahasa, sejarah, budaya, pentadbiran dan lain-lain lagi. Sistem Pendidikan Pondok Kelantan di Kota Bharu menggunakan kitab karangan beliau. Beliau menanamkan semangat dinamis kepada umat dan merupakan tokoh penting pembina Intelektual Islamiyyah di Dunia Melayu pada akhir abad ke-19 dan abad ke-20.

Semasa kecil ketika berusia dua tahun beliau telah dilatih oleh orang tuanya menghafal pelbagai matan. Kebiasaannya kanak-kanak berusia enam atau tujuh tahun barulah diajarkan sedemikian. Sejak kecil beliau sering bersendirian untuk mengingati hafalan matan yang diberikan oleh orang tuanya. Pada usia enam tahun beliau telah mengikuti ibu bapanya berhijrah ke Mekah. Ketika di Mekah beliau tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar tetapi beliau sebenarnya sering belajar secara sembunyi-sembunyi. Sikapnya itu menyebabkan orang tuanya mulai khuatir jika hal demikian berlaku terus menerus. Itu pastikan akan menggagalkan cita-cita besar orang tuanya untuk melihat beliau sebagai seorang ilmuan termasyhur. Namun orang tuanya lega serta hairan kerana apabila ditanyakan kepada anaknya pasti dapat menjawab dengan baik dan hafalannya luar biasa. Beliau menghafal pelbagai matan melebihi teman-temannya yang lain. Di kalangan masyarakat Fathani dan Kelantan di Mekah ketika itu mempercayai beliau dikurniakan dengan ilmu ladunni.

Di Mekah beliau bersahabat dengan Ahmad Dahlan[i] yang berasal dari Jawa. Ahmad Dahlan adalah seorang anak yang sangat rajin belajar & menghafal. Pada suatu hari bapa beliau Syeikh Muhammad Zain terlepas kata dengan lafaz “Ahmad, mu malas belajar nanti mu aku beri air kencing sahabatmu Ahmad Dahlan”. Kata-kata itu sangat terkesan kepada beliau[ii]. Maka beliau bertekad meninggalkan Mekah untuk mencari ilmu pengetahuan. Destinasi pertama beliau adalah Baitulmaqdis. Diberitakan dalam perjalanan itu beliau keputusan bekalan air, maka terpaksalah beliau meminum air kencingnya sendiri. Di Baitulmaqdis beliau belajar ilmu perubatan dan ilmu agama hampir dua tahun. Beliau bersahabat dengan Sayid Yusuf an-Nabhani pengarang kitab Al Anwarul Muhammadiyah. Sekembali ke Mekah beliau mahir dalam membuat berjenis-jenis ubat semacam makjun dan itu menjadi rutin harian beliau[iii]. Melihat kegiatannya begitu orang tuanya memaksa beliau meneladani ulama-ulama tua Fathani Darussalam seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.[iv]

Mulai saat itu beliau berazam ke Masjid Jami’ Al Azhar (kini dikenali sebagai Universiti Al-Azhar) Mesir. Sewaktu mula berangkat meniggalkan Mekah, beliau berkata kepada orang tuanya, “aku tidak akan berpakaian lebih dari sehelai dan tidak akan memakai serban yang berekor panjang sebelum menjadi seorang ulama besar yang mahir dalam perlbagai bidang ilmu”. Diriwayatkan beliau ke Mesir dengan berjalan kaki dan berenang di Sungai Nil dengan membawa sebuah Al-Quran[v]. Ketika belajar di Mesir, beliau hanya punya sehelai baju putih, sehelai serban dan sehelai kain untuk bersalin. Beliau mencuci bajunya setiap dua hari sekali. Keadaannya begitu sehingga beliau kembali ke Mekah dengan bajunya telah banyak tampal disebabkan koyak. Selama belajar beliau tidak makan lebih daripada sebuku roti yang dibelah empat. Satu perempat untuk makan siang, satu perempat makan malam. Manakala separuh lagi disedekahkan kepada pelajar-pelajar yang tidak punya apa-apa seperti beliau.

Beliau memperolehi roti daripada sedekah anak muridnya. Beliau mengajar walaupun masih belajar[vi]. Sekali sekala beliau mendapat sedekah pisang daripada hartawan. Beliau tidak pernah dikirimkan berupa wang dari orang tuanya. Ini adalah atas permintaan beliau yang tidak mahu membebankan sesuatu kepada orang tuanya[vii]. Ketika masih belajar di Mesir, beliau telah mula menyusun kitab yang semuanya berbahasa Arab. Antaranya Manzhumatul ‘Awamil yang merupakan pembaharuan bahasa dari kitab Matan ‘Awamil susunan Syeikh Abdul Qahir al-Jurjani. Beliau pernah tinggal di Mesir selama tujuh tahun sebagai pentashhih kitab-kitab.

Dalam tahun kembali ke Mekah Syarif Husein Raja Mekah mengadakan pertandingan dakwah/pidato di Masjidil Haram. Ketika itu beliau digelar Syeikh Ahmad Az Zaki Mesir oleh masyarakat Melayu Mekah. Oleh kerana ramai masyarakat Melayu di sana menyebabkan Bahasa Melayu adalah bahasa kedua sebagai pengantar selepas bahasa Arab. Diriwayatkan beliau menjadi juara dalam pertandingan tersebut dan digelar sebagai Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al Fathani sehingga menjadi terkenal di kalangan orang Arab dan dilantik sebagai ahli bahasa kerajaan. Antara anak murid Syeikh Ahmad Al-Fathani adalah Tok Kenali, Haji Ibrahim (Mufti Kelantan), syeikh Abdul Ghani Aceh, Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi. Syeikh Thahir Jalaluddin al Minangkabawi, Haji Wan Musa bin Haji Abdush Shamad Tabal (Intektual Kelantan), Prof. Dr. C. Snouck Hurgronje[viii] dan lain-lain lagi. Diriwayatkan Sultan Deli (kini di Medan, Indonesia) adalah anak murid beliau.

Syeikh Ahmad al-Fathani pernah bertemu dengan Sultan Abu Bakar (Sultan Johor) semasa di Istanbul, Turki pada tahun 1296H bersamaan 1879M. Ketika itu Sultan Abu Bakar[ix] berkunjung ke Pusat Daulah Islamiyyah sedunia pada zaman itu. Beliau ditawarkan oleh Sultan Abu Bakar sebagai Syeikhul Islam di Johor tetapi menolaknya. Syeikh Ahmad al-Fathani dilantik oleh Sultan ‘Abdul Hamid II, Khalifah Turki Othmaniyyah sebagai pentashhih kitab. Pada tahun 1302 H bersamaan 1884 M beliau dilantik sebagai ketua kilang percetakan al-amiriyyah di Mekah bagi mencetak kitab-kitab Melayu dengan arahan Sultan ‘Abdul Hamid II. Pada tahun 1303 H bersamaan 1885 M beliau menghadiri Perhimpunan Ulama Islam Uthmaniyyah yang diadakan di Istanbul sebagai wakil Syarif Mekah. Di dalam persidangan ini isu-isu ummat Islam dibincangkan. Beliau membentangkan kitab sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh li fi Amr al-Din yang merupakan kitab pertama dicetak di Kilang Percetakan al-Amiriyyah di Mekah dan dihadiahkan kepada Sultan ‘Abdul Hamid II. Di dalam muqaddimah kita tersebut menyebut tentang hubungan Daulah Turki Othmaniyyah dengan alam Melayu iaitu Aceh. Menurut beliau bendera Daulah Turki Othmaniyyah pernah berkibar di kerajaan Aceh dan pernah menerima sebuah meriam tembaga merah bernama Meriam Lada Sicupak dan nafiri (terompet perang) perak dari Sultan Salim[x]. Sultan ‘Abdul Hamid II yang gembira dengan pengkisahan tersebut menghadiahkan beliau Globe Dunia supaya dapatlah diterangkan kepada penduduk Mekah tentang kedudukan dan peranan Daulah Turki Othmaniyyah serta mengenal musuh-musuh politiknya. Manakala pada tahun 1312 H bersamaan 1894 beliau dilantik sebagai ketua kilang percetakan al-Amiriyyah di Mekah bagi mencetak kitab-kitab Melayu.

Semoga penulisan surat atau catatan akan terus istiqomah kerana ini menjadi satu nilai sejarah buat generasi hadapan. Sebagaimana telah dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang berutusan surat kepada anak muridnya. Maaf atas kelewatan surat pada kali ini. Doakan ziarah sahaya ke Patani pada 1 April 2011 mendapat manfaat harapnya.

Yang benar,


IZWAN SUHADAK ISHAK

28 Mac 2011


[i] Ahmad Dahlan adalah pengasas Muhammadiyah di Indonesia pada 8 November 1912 dan merupakan keturunan ke-11 Makhdum Ibrahim As-Samarqandy atau Syeikh Maulana Malik Ibrahim. Syeikh Maulana Malik Ibrahim adalah ketua Wali Songo angkatan pertama yang dihantar oleh Sultan Muhammad I, Khalifah Turki Othmaniyyah pada tahun 1404M. Untuk mengenali riwayat hidup Ahmad Dahlan disarankan membaca novel atau menonton filem Sang Pencerah.

[ii] Peristiwa ini mengingatkan sahaya kepada kata-kata yang terlepas diungkap oleh Haji Abdul Karim Amrullah juga dikenali Syeikh Haji Rasul ayah Buya Hamka dengan lafaz, “Kau anak yang tak berguna” , setelah mendapat aduan dari orang kampung atas kenakalannya. Ungkapan tersebut sangat terkesan pada dirinya sehingga beliau mula berubah sehingga membawa dirinya ke Mekah.

[iii] Sahaya terfikir ada baiknya relawan GPTD menguasai asas teknik rawatan kecemasan serta mempelajari ilmu herba yang boleh diaplikasi dalam kehidupan seharian dan untuk kegunaan dilapangan. Mungkin habatus sauda adalah bekalan wajib untuk membina ketahanan fizikal bagi relawan yang menjalankan sesuatu misi.

[iv] Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur. Makam Maulana Malik Ibrahim dimakamkan di Gresik, Jawa Timur Indonesia. Mungkin nama Gresik diambil sempenan nama Kerisek, Patani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

[v] Diceritakan oleh Hjh Wan Zainab anak beliau pada 1963 di Pulau Midai, Riau. Juga dari Tuan Guru Hj Abdul Qadir Sena di Patani, Yala dan Bangkok pada 1971.

[vi] Salah satu Budaya 7 Pelajar Islam (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) adalah Sedia Belajar, Mengajar & Diajar yang sejajar dengan apa yang telah ulama dulu lakukan.

[vii] Sahaya ketika belajar juga tidak pernah minta kiriman wang kerana ditaja dengan biasiswa JPA namun tidak pernah berjaya untuk menolak pemberian wang oleh ibu. Mungkin ingin mengambil sedikit barokah daripada wang yang ibu kirimkan. Selepas tamat belajar tiada sedikit pun sahaya simpan wang biasiswa tersebut. Ini disindir oleh ibu dan dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Seingat sahaya kebanyakan wang dihabiskan untuk membeli buku dan perjuangan di alam kampus.

[viii] Pada awalnya Syeikh Ahmad al-Fathani meragukan kehadiran Snouck Hurgronje ke Mekah pada tahun 1884 kerana mencari kelemahan Islam. Tetapi beberapa masa terakhir sebelum Snouck Hurgronje meninggalkan Mekah, beliau setuju mengajar ilmu bahasa Arab. Itu pun selepas meminta Snouck Hurgronje melafazkan syahadah didepannya. Snouck Hurgronje dalam catatannya mengelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai seorang sarjana ulung.

[ix] Pernah diceritakan di dalam karya Faisal Tehrani, Surat-Surat Perempuan Johor bahawa Sultan Abu Bakar pernah ke Eropah dan mendapat penghormatan dan meninjau kemodenan kerajaan di sana.

[x] Pada tahun 1564 M, Sultan Alauddin Al Kahar, Aceh Darussalam mengirimkan utusan Daulah Turki Othmaniyyah yang pada masa itu diperintah oleh Sultan Salim I. Tujuan Sultan Alauddin Al Kahar adalah meminta bantuan peperangan dalam rangka menghadapi kolonial Portugis di Melaka. Utusan yang dipimpin oleh panglima Husein Efendi membawa lada (ketika komoditi yang sangat bernilai) dalam jumlah yang banyak. Tapi sayangnya kerana jauhnya perjalanan yang ditempuh banyak lada yang menjadi busuk. Sehingga yang tinggal hanyalah secupak lada. Lada itulah yang kemudian dipersembahkan kepada Sultan Salim II ketika itu selepas Sultan Salim I mangkat pada tahun 1966. Sultan Salim II kemudian mengirimkan 300 orang pakar pembuat senjata dari Turki di bawah pimpinan Laksamana Turki yang bernama laksamana Kurt Oglu Hizir. Selain itu Sultan Salim II juga memberikan sebuah meriam yang sangat bagus untuk kerajaan Aceh Darussalam. Meriam tersebut kemudian diberi nama “ Lada Secupak”. Kapal-kapal Aceh dibenarkan mengibarkan bendera Daulah Turki Othmaniyyah.

Monday, March 14, 2011

Tinta terakhir bergelar pembantu Presiden!


Semalam adalah hari penyerahan tugas dari setiausaha kepada setiausaha yang baru. Tidak terasa rupanya sudah setahun berlalu aku bergelar setiausaha, seperti biasa memegang tugas itu tidak mudah, seperti roda, seperti maggi (eh?), seperti kain lap kaki, seperti jam loceng dan banyak lagi. Kadang-kadang sedih, kadang syok sendiri, kadang-kadang gumbira, semuanya aku rasa ketika memegang takhta setiausaha merangkap PA presiden.

Diakui penerimaan sebagai setiausaha pertama kali membuatkan aku cuak,kelam kabut dan segala macam yang membuatkan jantungku selalu berdegup. Menerima tugas seperti ini memerlukan daya tahan yang kuat samaada fizikal mahupun mental,tidak kuat maka gila jawabnya ataupun meninggalkan amanah itu serta merta.Alhamdulillah, Allah memberikan aku kekuatan (walaupun masa kecil mak aku selalu cakap aku ni lembik) dalam segala hal dan jadilah aku setiausaha.:)

Bulan pertama sebagai setiausaha, banyak perkara yang aku belajar, bermula sebagai penulis surat, menulis laporan, mengetahui makna MUKTAMAR, mengetahui apa itu blog, mengetahui apa itu tafsir-tafsir yang ada di dalam ayat Al-Quran dan menahan hati ketika dimarah.Aduh, bahagian yang dimarah itu aku tidak tahan, kadang-kadang keluar juga cecair di sudut mata ini tetapi sabar sajalah seperti nama Ijlah Sabirah!:)

Bulan kedua, aku mulai mengikuti banyak program-program yang dianjurkan, mengetahui bagaimana menguruskan sesuatu ketika berprogram, berkenalan dengan kenalan dari pelbagai IPTA dan IPTS, membuatkan aku terkenal seketika. Pergi HEP, berjumpa dengan uncle yang membawa bas Unisel, berjumpa dengan pengurus aktiviti di Perpustakaan Unisel, dan berjumpa dengan orang-orang yang BESAR. Semua ini membuatkan aku semakin kerdil dan kecil dan tersentak bahawa di DUNIA ini ELDA kau kena ingat bahawa ada ramai lagi orang BESAR dan kalau dibandingkan dengan KAU maka seperti semut dan gajah.Oleh itu, carilah ILMU sebanyak yang mungkin untuk menjadi ORANG BESAR bukan ORANG YANG MEMBESARKAN DIRI.:)

Maka, berbulan-bulan aku memegang jawatan ini sehingga la menjadi bulan terakhir, aku tidak pernah menyesal memegang jawatan ini walaupun pada awalnya aku berhasrat untuk meletak jawatan(opss,)namun berkat doa Rabitah yang dibacakan sewaktu Diskusi Al Amin daripada rakan-rakan membuatkan hati aku dekat dan tempel pada ORGANISASI ini.oh,aku jatuh cinta, i'm fall in love...Pertama kali aku menjadi setiausaha dan pertama kali aku jatuh cinta yang sebenar-benarnya pada organisasi pulak tu, mesti orang akan ingat aku gila."jatuh cinta pada organisasi?,gila kali si ELda ni"Aku jawab"hanya yang memasuki organisasi ini akan memahami aku dan kalau kamu faham tujuan aku meski kamu juga akan menjadi gila seperti aku,cewah!"keh keh keh.

Kepada sahabat-sahabatku yang pernah berjuang bersama aku di organisasi ini, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak.MERCI! kata orang French. Pahit Mahit kita mendaki bukit yang paling tinggi, berenang dan lemas kita bersama-sama ketika merenangi samudera terdalam di Dunia, jalan yang berlekok tajam kita lalui sehingga termuntah-muntah membuatkan aku terfikir bahawa kamu adalah yang setia. Paling setia.Seperti kata-kata dariku, jangan pernah takut menongkah arus, tinggal angkat saja kaki dan arus akan berhenti berarus.hehe.:P

"Pemimpin itu tidak lahir di bilik kuliah, ia lahir dikemelut masyarakat"Pak Natsir.

*Aku ingin menjadi pemimpin seperti itu.InsyaAllah.


Ulasan Penasihat

Semoga istiqamah & ikhlas dalam perjuangan. Patut dicontohi oleh relawan GPTD yang lain. Sedia belajar, mengajar dan diajar.

Sunday, March 13, 2011

Inspirasi Tokoh Siri 1

Insyallah. Sabtu depan 19hb Mac 2011 akan diadakan Kuliah Inspirasi Tokoh Siri 1 dengan tajuk Keislaman Laksaana Cheng Ho bersempena Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i (GKKI) yang akan melibatkan peserta dari pelajar sekolah menengah dan awam. Slot perkongsian kembara akan diadakan untuk peserta (terutama pelajar sekolah) yang berminat utk mengembara bersama GPTD. Penceramah jemputan ialah Ann Wan Seng yang akan mengupas cerita disebalik keislaman Laksamana Cheng Ho.

GPTD telah terlibat secara langsung dalam penganjuran Kuliah Inspirasi Tokoh & Baca@LRT.

Semua dijemput hadir. Penyertaan adalah terhad. Sila daftar sekarang SMS [Nama] [No K/P] & [emel] ke 0179203116..

Saturday, March 12, 2011

Jom Baca@LRT

GPTD dengan kerjasama Grup Baca@LRT & PKPIM sempena Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i (GKKI) akan mengajurkan program Baca@LRT pada 20 Mac 2011. Program yang akan bermula di Masjid Salahudin Al-Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur seawal jam 9.30 pagi.

Sasaran peserta melebihi 80 orang akan menyertai program ini. Peserta akan diberikan taklimat pada pagi itu sebelum bergerak menaiki LRT. Mereka akan dibahagikan beberapa kumpulan dan bergerak secara berasingan supaya tidak berlaku kesesakan.

Semua dijemput hadir. Lagi ramai lagi meriah.

Untuk mendaftar, sms [NAMA] [NO K/P] [EMEL] ke 0139733202

Thursday, March 10, 2011

Simbolik Penyerahan Tugas Setiausaha

Bestari Jaya, 10 Mac 2011 - Satu sesi penyerahan tugas setiausaha Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel (GPTD UNISEL) telah diadakan di bilik Penasihat,Encik Izwan Suhadak Bin Ishak. Saudari Hdariyani selaku mantan Setiausaha yang telah berkhidmat selama satu tahun telah menyerahkan dokumen dan fail penting kepada Penolong Setiausaha, Saudari Aimi Nur Shahirah Binti Abdullah sebagai satu simbolik penyerahan tugas secara rasmi. Ini adalah kali pertama Saudari Aimi menerima jawatan yang berat di kampus selain pelajar semester pertama. "Insya Allah saya akan melakukan kerja dengan sebaik mungkin dan meminta tunjuk ajar daripada semua pimpinan", kata Saudari Aimi. "saya yakin Saudari Aimi boleh melakukan tugasan dengan baik dalam mahupun diluar organisasi dan mengambil ini sebagai satu cabaran", kata Penasihat.  Ini adalah sesi kepimpinan bagi sesi 2011/2012 yang baru diputuskan dalam Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-3.

- Unit Media

SAKTI V melatih relawan lasak





6 Mac 2011, Sg. Congkak - Kem asas sukarelawan dan jatidiri SAKTI buat kali ke 5 berjalan dengan penuh jayanya. Walaupun sebelum ini menghadapi pelbagai rintangan dari aspek tarikh dan tempat, akhirnya kem SAKTI 5 ini menghimpunkan hampir 25 peserta baru dan lama dalam menjayakan misi GPTD untuk masa depan.

Pelbagai pengisian menarik juga disusun sebaiknya agar peserta mendapat manfaat yang secukupnya dalam masa yang singkat ini. Hakikatnya 3 hari 2 malam bukanlah tempoh masa yang sesuai untuk memberi pendedahan yang sematangnya dalam aspek sukarelawan, tetapi pendedahan awal dan cara berfikir yang didedahkan menjadikan peserta faham misi dan matlamat untuk melakukan kerja-kerja untuk ummat khususnya.


Tuan Haji Ahmad Azam, yang juga pengasas GPTD turut serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam gerak kerja di arena antarabangsa. Tidak ketinggalan, slot pengisian rohani oleh Ustaz Badrul Amin memantapkan lagi jiwa-jiwa peserta dalam melaksanakan misi Rahmatan lil Alamin.


Terima kasih dan tahniah diucapkan buat semua ahli jawatankuasa dan peserta yang terlibat untuk SAKTI kali ini. SAKTI 5 kali ini bersedia menguatkan lagi gerak kerja perjuangan GPTD untuk masa hadapan. Semoga apa yang dirancang dirahmati dan dipermudahkan olehNya.

Tahniah Semua.

Tuesday, March 1, 2011

MPAT Ke-3 GPTD Unisel : Relawan Berjiwa AIR

Sukacita dijemput semua ahli GPTD Unisel hadir ke Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-3 bagi tahun 2011 bertempat di Bilik Seminar 3, Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Unisel Kampus Bestari Jaya. Dua Anugerah Tokoh akan diumumkan atas khidmat & jasa kepada organisasi dan masyarakat yang merentas sempadan.

Kempen #16 : Utamakan Yang Lebih Utama



Wednesday, February 23, 2011

Surat Awal


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Kehadapan sahabat-sahabat GPTD,

Semoga dalam naungan rahmat Allah hendaknya. Surat ini ditulis atas dasar menyahut saranan Gurulatih penulisan, Sdr Yusni Yusoff semasa Bengkel Penulisan GPTD pada 20 Februari 2011 (Ahad). Sahaya (saya atau hamba) tersentuh ketika Grulatih menyebut imbasan lalu tentang perdebatan tentang kerelevanan antara surat dan emel. Perdebatan antara beliau dan sahaya. Sahaya tidak menyangka peristiwa itu menjadi satu ingatan buat Gurulatih. Sahaya hampir tidak ingat langsung. Tetapi selepas beberapa ketika kenangan itu terbit kembali di lintasan minda. Sahaya kembali terbayang suasana perdebatan yang panjang di ruang pejabat GPTD di hujung belakang Anjung Rahmat, Gombak.

Kini ketika sahaya menulis, memang dapat dirasai keseronokan & kepuasan menulis huruf demi huruf, perkataan demi perkataan. Terkenang pengalaman menulis karangan tingkatan lima di sekolah dahulu. Antara bacaan yang terkesan kepada sahaya adalah Surat-Surat Perempuan Johor karya Faisal Tehrani. Ini menambah motivasi sahaya untuk kembali menulis dengan jiwa (hati & akal). Lebih terkesan apabila minda sahaya mengimbas kembali firman Allah dalam Surah An Nuur (Cahaya) ayat pertama yang bermaksud :

“Ini adalah satu surat yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas agar kamu selalu mengingati”

Maka istilah surat lebih maknawi dan mendasar ertinya kepada kehidupan insani jika merujuk kepada ayat tadi. Surat juga sama erti dengan Surah yang menerangkan pesan-pesan besar dalam Al-Quran kepada umat manusia yang membacanya. Barangkali budaya dan etika persuratan mengajak penulis untuk mencatatkan aksara yang punya mesej benar, jelas dan penting. Bukan untuk fitnah atau gosip. Ini harus dicermati dan diteladani berdasarkan tadabur ayat di atas. Mesej yang yang disampaikan oleh seorang penulis kepada pembaca sama ada ibu kepada anak, majikan kepada staf, rakyata kepada pemerintah atau sebaliknya harus diamati dan responsif (tindakan) selepas kandungan surat dibaca dan difahami.

Persuratan sebenarnya mengajak kepada budaya fikir & amal. Tiada makna jika mesej, pesanan atau persoalan yang terkandung di dalam surat tidak diambil endah. Ini bercanggah dengan pesan dan perintah Allah dalam wahyu pertama dalam Surah Al Alaq. Kalimah pertama mengajak manusia IQRA = BACA. Perbahasan baca tidak semata-mata perbuatan membaca tulisan. Tetapi sewajarnya membaca suasana, keadaan, jangkaan, ramalan, sikap, fenomena dan alam. Mungkin rangkuman yang lebuh tepat adalah membaca ayat-ayat Allah. Ayat merujuk juga kepada makna tanda. Maka yang kena dibaca adalah tanda-tanda kebesaran Allah.

Sahaya rasa cukup untuk surat awal sebagai permulaan momentum penulisan.


Asam rumbia dibelah-belah,

Buah Separah dalam raga,

Dunia ikut firman Allah,

Akhirat juga mendapat syurga.

Yang ikhlas,


IZWAN SUHADAK ISHAK

23 Februari 2001/17 Rabiulawwal 1432

Friday, February 18, 2011

Perbarisan Maulidur Rasul : GPTD dapat tempat ke-3

Bestari Jaya, 18 Februari 2011 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Perbarisan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1432H Peringkat Universiti Selangor (Unisel). Ini adalah penglibatan kali kedua buat GPTD dalam perbarisan yang bermula dari Masjid Umar Abd. Aziz ke Dewan Utama. Program anjuran Pusat Islam dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar turut disertai oleh kontinjen dari fakulti, jabatan dan persatuan pelajar. Kontinjen GPTD diketuai sendiri Presiden, Sdr Muhammad Izzat Muhammad Anwar. "Terima kasih kepada pihak penganjur dan syabas kepada aktivis GPTD yang bersemangat wajar semasa perbarisan. Ini adalah sebahagian daripada manifestasi cintai Rasulullah saw. Insya Allah GPTD Unisel akan lebih serius untuk meneladani Rasulullah saw dalam misi rahmatan lil alamin".

-Unit Media

Wednesday, February 16, 2011

Sebuah catatan al-Amin


“Apabila hati hilang cahaya iman, langkahnya hidup bagai hilang pedoman”itu kata Opick.

Saya ingin menulis sesuatu tentang Nabi sempena hari kelahiran baginda.

Semalam kawan bukan islam bertanya “ Esok cuti sempena apa?”Katanya. ”Sempena kelahiran Nabi Muhammad”kata saya. “Cuti ni seluruh Malaysia ke?”Soalnya lagi. “Iya”kataku pendek. Dalam minda bermain-main dengan soalan sebentar tadi. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan cuti sempena kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Kalau dulu pengertian bila menyambut cuti sempena Maulidul Rasul ialah ke masjid dan mendengar ceramah berkenaan Nabi Muhammad dan akan diberikan pulut dan telur. Berarak seluruh pekan itu sambil berselawat kepada Nabi Muhammad dan banyak lagi aktiviti lainnya. Aktiviti sebegitu mejadi rutin setiap tahun bagi menyambut kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Bukan ingin mengatakan menyambut maulidul rasul adalah salah, tidak sama sekali bahkan itu lebih baik daripada hanya bercuti di rumah. Namun yang ingin ditekankan adalah sejauh mana cinta dan sayang kita kepada Nabi Muhammad selepas menyambutnya. Adakah rindu kita semakin menebal ingin bertemu dengan beliau? Adakah cinta dan sayang kita semakin tinggi dan menjadikan beliau sebagai idola sepanjang zaman? Adakah mendengar ceramah di masjid dan berselawat akan berlarutan?

Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang sungguh indah . Beliau tidak sekali-kali mengaku kalah dalam menegakkan perjuangan. Berapa ramai hari ini seperti beliau yang berani menegakkan perjuangan apalagi ketika seorang diri ? Mungkin ada tetapi boleh dibilang dengan jari, hanya sebilangan sahaja. Memang perjuangan itu memerlukan jemaah kerana jika sebatang lidi tidak mungkin dapat membersihkan halaman rumah tetapi perlu kita ingat Nabi dahulunya mula berdakwah seorang diri. Ini kerana itu adalah tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada beliau bukan kerana nama maka berdakwah itu wajib baginya walaupun pelbagai kendala perlu dilalui.

Pelbagai penderaan fizikal, emosi yang beliau lalui jika dibandingkan dengan kita umat beliau dalam berdakwah . Liku-liku berdakwah itu sememangnya wajib bagi setiap orang yang beriman kerana tidak ada jalan lurus dan senang bagi orang yang ingin mendapat keredhaan Allah. Semuanya perlu dilalui samada pahit ataupun manis. Berbeza pada hari ini, liku-liku perjuangan itu tetap ada tetapi semangat untuk menghadapi liku-liku itu kurang. Diakui kita tidak dapat menandingi perjuangan Nabi namun serapkan sedikit lebih baik jika tidak ada langsung.

Lebih parah lagi anak muda di dalam kampus masa kini mewujudkan “aku aku kau kau” kerana tidak ingin turut serta di dalam berdakwah. Banyak kerja katanya, takut pointer turun katanya, terlalu aktif menyebabkan tiada masa dengan kawan katanya, dan bermacam alasan lagi. Sebenarnya ketika kita berkata sedemikian untuk mengelak Allah akan mengabulkan setiap perkataan yang keluar daripada mulut kita. Menyedihkan kerana semua yang berkata sedemikian yang mengaku adalah islam dan lebih menyedihkan pelajar pengajian islam. Memahami apa ertinya aku sebagai islam sangat-sangat penting bagi mengetahui tujuan sebenar kamu di muka bumi ini.

Ada yang berjuang tetapi perjuangan kadang-kadang bersifat untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Ingin menjadi pemimpin kerana pada nama. Kemungkinan orang seperti ini lupa bahawa jika dia naik ke atas mana sekalipun akan ada yang lebih di atas daripadanya. Makanya penting memahami maksud kepimpinan itu sebelum memimpin kerana apabila sudah menjadi pemimpin kelak ditakuti tidak akan dapat belajar lagi makna pemimpin itu.

Alangkah lucu orang-orang ini.

Bagaimana agaknya perasaan Rasulullah ketika Abu Talib, bapa saudara beliau sendiri menolak ajaran yang dibawa baginda. Apa reaksi kita agaknya jika keluarga melakukan hal yang sedemikian, adakah kita lebih memilih keputusan keluarga daripada kewajipan kita ? Keluarga menyuruh kita jangan terlalu aktif di kampus di dalam persatuan dikhuatiri pointer akan turun. Adakah dengan tidak melakukan apa-apa kegiatan di kampus akan menyebabkan keputusan kita lebih tinggi sebelumnya. Dengan yakin saya mengatakan tidak. Semua itu terpulang bagaimana kita menguruskan masa dengan lebih baik. Bimbang dan takut bila pada hari ini tiada lagi sifat mengambil berat sesama saudara islam itu apalagi dikalangan anak muda. Bagaimana pula akan generasi akan datang?

Bukannya tajuk utama artikel ini untuk menggalakkan menyertai ataupun aktif bagi anak muda di dalam kampus tetapi penekanan bahawa kewajipan kita di dalam berdakwah. Menyertai apa-apa persatuan itu tidak ada masalah selagi persatuan itu tidak lari daripada panduan AL-Quran dan As-Sunnah. Kewajipan yang seperti Nabi Muhammad lakukan dahulu ketika berdakwah seorang diri, ditolak ajarannya oleh saudara sendiri ,disiksa dan bermacam lagi kerana rasa kewajipan sebagai hamba Allah yang wajib untuk dipatuhi yang harus dicontohi. Jika dunia ini dipenuhi seperti akhlak dan sifat rasulullah alangkah indahnya dunia namun jika dipenuhi dengan pemuda pemudi yang “aku aku kau kau” maka tunggulah azab Allah ini.

Hdariyani Kampun adalah Setiausaha GPTD Unisel dan merupakan pelajar di Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Unisel.

Tuesday, February 15, 2011

GPTD UNISEL: Selepas 2 tahun

Seorang manusia sudah mampu berjalan dengan baik, bercakap, dan sebagainya apabila mencecah usia 2 tahun. Sebuah bangunan juga mampu disiapkan dengan baik dalam tempoh 2 tahun seandainya tenaga kerja dalam pembinaannya bersungguh-sungguh menyiapkan dan kelengkapan materialnya mencukupi.

Pastinya, usia 2 tahun bukanlah suatu jangka masa yang panjang. Begitulah juga dalam sesebuah organisasi. Dalam tempoh 2 tahun, SWOT ANALYSIS organisasi ini sewajarnya dihadam dengan sebaik-baiknya bagi panduan para pimpinan hari ini dan yang akan datang.

Manifestasi daripada tarikh penubuhan GPTD UNISEL , marilah kita sama-sama merenung kembali kewujudan awal GPTD UNISEL. Bagaimana GPTD UNISEL mula menapak di tengah-tengah kemelut hedonisme dalam diri mahasiswa? Merenung sejarah bukanlah bertujuan untuk menjadikan hati kita riak dengan segala apa yang kita raih pada hari ini, tetapi untuk kita muhasabah diri tentang perjalanan GPTD UNISEL yang masih jauh dalam mengimarahkan bumi UNISEL yang kita cintai.

Ada 3 perkara penting yang dilihat sangat kritikal dan penting dalam melahirkan sukarelawan yang benar-benar mantap dan ideal untuk dipersembahkan kepada masyarakat dunia iaitu:

1. Sukarelawan sebagai agen perubah
2. Penerapan konsep budaya ilmu
3. Sukarelawan bukan mereka yang manja

Tarikh 12 Rabiul Awwal 1432H ini seharusnya menjadi suatu tanda kesyukuran dan kerendahan hati kita kerana GPTD UNISEL sudah makin dikenali dalam melahirkan generasi yang aktif melakukan kajian tokoh dan khidmat sosial di pentas antarabangsa.

Kita adalah kelompok mahasiswa yang diamanahkan sebagai pengemban amanah misi transformasi sosial. Istilah ini bermaksud kita sewajarnya sudah tidak bisu dan pekak lagi apabila mendengar dan melihat kemungkaran yang kian berleluasa. Para sukarelawan seharusnya responsif kepada ayat perubahan:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga kaum itu merubah apa yang ada pada dirinya” –Al Ra’d:11

Kita tidak mampu untuk merubah segalanya sekaligus, tetapi kita sangat berkemampuan untuk merubah sedikit demi sedikit apa sudah sebati dalam masyarakat sedangkan hal tersebut bertentangan dengan agama. Contohnya, dalam mendepani politik kampus yang kelihatan agak kebudak-budakkan. Sebagai seorang mahasiswa dan sukarelawan, seharusnya kita mengambil prinsip non partisan sebagai suatu langkah yang baik kerana mahasiswa perlu menyokong yang benar yang membangkang yang batil.

Ambillah iktibar daripada kisah Rasulullah sewaktu mendamaikan pertelingkahan antara ketua-ketua kabilah ketika mereka berebut mahu meletakkan hajaratul aswad di tempat asalnya. Penuh berhikmah dan toleransi.

Konsep budaya ilmu atau istilah memugar budaya ilmu dalam diri setiap mahasiswa sewajarnya sudah dihadam oleh setiap sukarelawan selepas 2 tahun kelahiran GPTD UNISEL. Bagaimana mahu memugar sedangkan kita masih ‘suam-suam kuku’ dalam mencari ilmu?

Seorang Imam Besar ketika dijemput ke istana Khalifah Harun Al-Rasyid untuk mengajar putera-puteranya, beliau menjawab dengan kata-kata yang sarat dengan makna, “Ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi”

Dalam buku Pendidikan Al-Hikmah & Misi Pencerahan, Dr. Siddiq Fadzil mengulas kata-kata Imam Besar ini dengan “Ilmu bukan hanya harus didatangi, malah cara datangnya juga harus dengan semangat dan sikap (merendah) yang sesuai dengan ketinggian martabat ilmu, dan sesuai pula dengan sikap tahu diri bahawa dia memerlukan ilmu, bukan sebaliknya”

Berhentilah menjadi generasi yang hanya tahu ‘menadah’ tanpa usaha. Ilmu itu harus digali dan dicari dengan sebaiknya. Ilmu hidup dan kehidupan.

Seringkali kita berdepan dengan teman-teman yang futur (gugur) di tengah medan perjuangan. Saat itu, mungkin ada yang turut sama futur, ada juga yang mula mengangkat kaki perlahan-lahan meninggalkan legasi kesukarelawanan ini, kehadiran ke diskusi mula ada tenggelam timbulnya, dan segala macam kerenah yang ada kalanya tidak terjangkau dek fikiran untuk diambil kira.

Tidak mahu berpenat, mudah patah hati, kecewa, rendah diri, dan pelbagai reaksi negatif terpamer di wajah-wajah mereka yang mahu berundur. GPTD UNISEL tidak mudah melatah dalam mendepani isu seperti ini. Yang hadir, kita raikan. Yang berundur, kita tidak memaksa. Mungkin jalan yang dipilih berlainan dengan kaedah yang dibawa oleh GPTD UNISEL. Sikap tidak terhegeh-hegeh dalam mengejar ahli menjadikan GPTD UNISEL sebagai sebuah badan yang disegani.

Lantaran itulah, kita cuba bersikap positif dan menganggap itu semua adalah lumrah dalam organisasi. Dalam melahirkan seorang sukarelawan, kita mahukan mereka yang berjiwa besar, bukan mereka yang mudah kecil hati apabila hadirnya krisis atau menjauhkan diri apabila kecewa.

Kerja sukarela banyak menuntut pengorbanan fizikal dan mental. Mana mungkin dunia boleh kita takluk seandainya hati masih seperti anak-anak kecil. Sensitif itu perlu, tapi bertempat.
Jika dikira soal terguris atau kecewa, Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling banyak diuji dengan dugaan sebegini. Andai benar kita mengaku sebagai umat Rasulullah s.a.w., bukakanlah sedikit hati kita untuk menjadi lebih kuat & mantap.

Lahirnya GPTD UNISEL pada 12 Rabiul Awwal 1430H signifikan dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah suatu kebetulan yang direka-reka. Ia adalah hikmah yang padat dengan makna, sarat dengan nilai.

Tiada guna jika kita hanya mengenang kelahiran Junjungan besar ini, tetapi ketokohannya tidak kita contohi dan teladani. Jika benar kita sayangkan Baginda, tunjukkan. GPTD UNISEL adalah medan untuk kita mengeksperimen dan mentadabbur akhlak Rasulullah s.a.w.

“Tidak aku diutuskan ke dunia, kecuali untuk menyebarkan rahmat ke sekelian alam” Rasulullah s.a.w.

Ayuh teman, tidak guna hanya berpangku tangan membaca ayat-ayat ini sedangkan diri masih dibuai lena yang asyik, tidak bererti perjuangan Rasulullah s.a.w. kepada kita seandainya kita masih seronok menganyam angan-angan hedonisme yang tak berkesudahan.
Salam Maulidur Rasul!


Wan Ritini Wan Ismail
Mantan Setiausaha GPTD Unisel

Friday, February 11, 2011

Dialog Nabi Hud dengan kaum 'Ad


NABI Hud menggunakan pelbagai cara untuk berdakwah kepada kaumnya. Antara cara yang digunakan ialah berdialog. Nabi Hud selalu mengajak kaum 'Ad untuk berdialog kerana baginda boleh membuat andaian dan penyampaian secara terus kepada mereka.

Tujuan Nabi Hud berdialog juga adalah mendorong mereka ke jalan yang benar dengan menyebutkan segala nikmat yang diberikan Allah selama ini.

"Apakah kamu berasa hairan apabila timbul nasihat dan peringatan daripada Tuhanmu yang disampaikan oleh seseorang daripada kaummu? Orang itu memperingatkan kamu tentang akibat buruk yang disebabkan oleh kesesatan-kesesatan yang kamu lakukan?

"Apakah kamu semua tidak terasa dan lupa sama sekali bahawa Allah menjadikan kalian pewaris-pewaris dunia ini selepas kaum Nuh yang dimusnahkan oleh Allah? Allah telah memberikan kelebihan, kekuatan dan kekuasaan kamu kepada mereka.

"Itu semua adalah nikmat yang Allah berikan kepada kamu supaya kamu beriman dan bersyukur. Namun begitu, kamu tetap tidak mahu bersyukur dan bersikap sombong diri".

Mereka masih ragu-ragu untuk menerima dakwah Nabi Hud. Mereka berasa berat hati untuk menerima perubahan dalam kehidupan dan agama.

Kemudian mereka berkata, "Wahai Hud, engkau belum mengemukakan hujah yang terang kepada kami, bagaimana kami mahu beriman denganmu? Kami sekali-kali tidak akan meninggalkan penyembahan kepada tuhan-tuhan kami. Kami juga tidak akan mengikut ajaran kamu itu. Kami tahu tuhan kami telah menimpakan penyakit gila ke atasmu."

Kata-kata mereka telah disangkal oleh Nabi Hud. Kata baginda, "Aku bersaksi kepada Allah tentang kebenaran ucapanku. Dan sesungguhnya aku bebas daripada kemusyrikan yang kamu amalkan." Kaum 'Ad tetap berdegil dan tidak mahu menurut kata-kata Nabi Hud.

"Kamu semua pasti akan menerima azab Allah. Tunggulah azab Allah itu nanti," kata Nabi Hud lagi.


Sumber : Utusan

Saturday, February 5, 2011

Harun Al-Rasyid

KHALIFAH kelima abbasiyah ialah Harun al-Rasyid (786-809). Di bawah pemerintahannya, Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan dalam bidang ekonomi, perdagangan, wilayah, ilmu dan peradaban Islam. Wilayah kekuasaan Harun terbentang dari daerah Laut Mediterranean di barat hingga India di timur.

Harun juga menghadapi banyak pemberontakan seperti pemberontakan kaum Khawarij. Selain seorang yang dermawan, Harun juga meminati bidang seni sebagai penyair.

Sebagai anggota keluarga istana, sejak zaman mudanya baginda banyak terlibat dalam pelbagai urusan pemerintahan yang menjadi bekalannya kelak semasa menjadi khalifah.

Pergaulannya luas, daripada kalangan ulama, pakar undang-undang, penulis, seniman, hingga kalangan bukan Islam. Baginda kerap kali mengundang mereka ke istana untuk membincangkan pelbagai masalah.

Baginda sangat menghormati setiap orang dan tidak hairanlah jika baginda dikagumi sebagai tokoh legenda.

Al-Amin dan Al-Makmun

Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan ketika dipimpin oleh Harun al-Rasyid, dan selepas itu oleh anaknya al-Amin dan al-Makmun. Pada masa itu Islam berada pada zaman keemasan. Masyarakat Islam hidup makmur. Ekonominya maju, terutama dalam sektor perdagangan dan pertanian.

Ketika itu ibu kota Baghdad menjadi pusat perdagangan terbesar dan paling sibuk di dunia. Pemerintah juga melengkapkan Baghdad dengan bangunan besar sebagai tempat beribadat, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.

Baitul Hikmah

Harun al-Rashid memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam. baginda mendirikan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan pelbagai bidang ilmu.

Pada zaman al-Makmun, fungsi institusi ini dikembangkan lagi menjadi institusi perguruan tinggi, perpustakaan dan badan penyelidikan. Harun juga menubuhkan majlis penyelidikan agama yang diselenggarakan di rumah, di masjid dan di istana. Baginda juga sangat mengambil berat tentang ilmu perubatan, farmasi, kebudayaan, dan kesusasteraan.

Ahli Ibadat

Harun al-Rasyid juga tergolong sebagai seorang pemimpin yang kuat beribadat. Baginda dikatakan mendirikan solat sunat 100 rakaat setiap hari. Baginda juga pergi menunaikan haji atau umrah sebanyak dua kali setahun dengan berjalan kaki dari Baghdad ke Mekah bersama-sama keluarganya dan ulama.

Jika tidak pergi menunaikan haji, baginda menghantar kira-kira 300 orang menunaikan haji dengan biaya penuh dari istana.

Putera Mahkota

Harun al-Rasyid lahir di Rayy (Iran) pada 149 H/766 M. Ayahnya ialah al-Mahdi bin Abu Jaafar al-Mansur, khalifah ketiga Abbasiyah (755-785). Ibunya bernama Khaizuran yang berasal dari Yaman.

Beliau mendapat pendidikan agama dan ilmu pemerintahan di istana atas bimbingan Yahya bin Khalid. Pada 779-780 dan 781-782 baginda pernah memimpin pasukan tentera untuk menyerang Byzantium.

Pada 163 H/779 M baginda menjadi gabenor al-Saifah dan setahun kemudian (164 H/780 M) menjadi gabenor Maghribi. Pada 166 H/782 M baginda disahkan sebagai putera mahkota yang akan menjadi khalifah.

Pada 786 M baginda menjadi khalifah Abbasiyah kelima. Baginda meninggal dunia di Khurasan pada 193 H/809 M.

Tuesday, February 1, 2011

Kempen #15 : Jadilah Pendengar Yang Baik


GPTD Unisel Berbakti di Perkampungan Orang Asli

Sg Siput, 30 Januari 2011 - Yayasan Al-Khalifah dengan kerjasama GPTD Unisel telah turun ke Perkampungan Orang Asli di Landap bagi mendekati masyarakat di sana. Seramai 20 orang relawan GPTD Unisel berbakti menyumbang tenaga bersama pelajar-pelajar UiTM serta KLMU. Ekspedisi ke Pos Landap/Asap diketuai oleh En. Ahmad relawan dari Yayasan Al-Khalifah manakala Sdr Muhammad Izzat mengetuai relawan GPTD Unisel.

Relawan bertemu dengan Tok Batin, Abdul Latif Muda untuk menyampaikan hasrat program dan bersama Imam Hussin Latif membantu urusan gerak kerja di sana. Pada sebelah malam masyarakat orang asli menyambut para relawan dengan Tarian Sewang sebagai meraikan kehadiran tetamu. Relawan mengambil kesempatan untuk turut serta meraikan acara tersebut bagi tujuan pembinaan silaturahim.

Pada hari kedua, relawan keliling kampung dari satu rumah ke rumah berziarah bagi menjemput warga kampung bergotong royong waktu tengah hari. Relawan dan masyarakat orang asli berkerjasama menyediakan masakan tengah hari dengan cara rutin mereka yang mengunakan buluh untuk memasak lauk. Penggunaan kayu api untuk memasakan sangat unik malah menambah kelazatan menu masakan.

Sebelah petang, relawan ziarah ke rumah yang dikenalpasti untuk disalurkan sedikit sumbangan dapur buat menampung kehidupan mereka yang memerlukan. Relawan juga menghadiahkan pakaian terpakai kepada anak-anak orang asli mengikut saiz badan mereka. Pembahagian gula-gula kepada anak-anak orang asli sangat mengujakan serta terpancar kegembiraan di wajah mereka.

Misi selepas pada lewat petang Ahad diakhiri dengan sesi bacaan doa oleh Imam Hussin Latif yang berpengalaman 10 tahun di perkampungan orang asli dengan penuh sayu. Ibu bapa angkat relawan memberikan ole-ole seperti kayu tas dan tongkat ali kepada para relawan sebagai tanda terima kasih mereka.

- Unit Media


Related Posts with Thumbnails