Wednesday, August 18, 2010

Askar Israel hina tahanan Palestin

Baitulmuqaddis, 18 Ogos 2010 - Kosmo Online melaporkan, gambar-gambar seorang askar wanita Israel yang bergambar bersama sekumpulan tahanan Palestin yang bergari dan mata mereka ditutup dengan kain menimbulkan kecaman hebat di Israel kelmarin.

Stesen televisyen Israel menyiarkan gambar-gambar tersebut manakala pihak tentera mengeluarkan satu kenyataan yang menyifatkan ia sebagai tingkah laku yang tidak tahu malu.

Askar wanita yang bergambar itu, Eden Aberjil sudah menamatkan perkhidmatan ketenteraannya sejak setahun lalu.

Aberjil menghantar gambar-gambar yang dirakamkan pada tahun 2008 itu ke laman Facebook.

Gambar itu menunjukkan dia tersenyum di hadapan tiga orang tahanan Palestin yang digari dan mata mereka ditutup.

Bagi mempertahankan tindakannya itu, Aberjil berkata: "Saya tidak memalukan tahanan-tahanan ini. Saya tidak memukul atau bersikap kurang sopan terhadap mereka. Ia sangat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh askar-askar Amerika di dalam penjara Iraq.

"Tidak ada kenyataan pada gambar itu yang menyebut mengenai keganasan, sikap tidak hormat atau apa sahaja yang menyinggung perasaan mereka (tahanan). Saya cuma merakamkan gambar dengan seseorang.

"Apabila saya mendapati ramai orang yang tersinggung, saya kemudian mengeluarkan gambar tersebut," kata Aberjil kepada Radio Israel. Namun, perbuatan askar Israel itu mendapat kecaman Ketua Jawatankuasa Menentang Penderaan Israel, Yishai Menuchim.

"Tindakan ini menggambarkan sikap yang sudah menjadi kebiasaan dan menjadi bukti bahawa tahanan Palestin dilayan seperti objek bukannya manusia," kata Menuchim dalam satu kenyataan. - Agensi

Sumber : Kosmo

Memo: Naik motor berlainan jantina satu kesalahan

Kuala Lipis, 18 Ogos 2010 - Malaysiakini melaporkan, menaiki kenderaan secara "berdua-duaan" di antara pelatih yang berlainan jantina adalah satu kesalahan jika dilakukan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang.

Menurut memo yang diedarkan oleh institut perguruan itu, larangan berkenaan dikuatkuasa sejak 10 Ogos lalu dengan tujuan bagi mengekang kegiatan maksiat. Pengarahnya, Datuk Mazlan Mohamad ketika dihubungi mengesahkan bahawa larangan itu dikeluarkannya mengikut bahagian II dalam Tatatertib Am, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174). Perbuatan berdua-duaan itu sebagai "kelakuan yang boleh ditafsir sebagai boleh merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada nama baik institusi sama ada di dalam atau di luar kampus," menurut salinan memo yang diperolehi Malaysiakini.

Buang bayi "Pihak keselamatan tidak akan membenarkan kenderaan yang terlibat keluar dari pintu masuk ke IPG jika melakukan kesalahan yang dinyatakan," memo itu dipetik. "Sebab apa, kita buat begitu sebab hendak cegah. Itu lebih baik sebelum berlaku kejadian seperti buang bayi," kata Mazlan ketika ditanya sebab penguatkuasaan seperti itu.


Beliau memberi contoh perbuatan berdua-duaan yang ingin ditegahnya itu seperti "berpegang-pegangan di dalam kereta." Beliau juga menafikan tanggapan bahawa penguatkuasaan itu dibuat dengan melampau, memandangkan tidak ada bantahan daripada para pelajar. Katanya lagi, peraturan itu hanya dikuatkuasakan di kawasan kampus dan ditujukan kepada para pelajar yang secara terang-terangan dan berulang-kali menaiki kenderaan secara berdua-duaan untuk keluar daripada kampus tersebut. "Saya jelaskan kepada pelajar, bukan tidak boleh langsung naik motorsikal bersama. Kalau ada urusan tak apalah. "Cuma kita tidak mahu para pelajar ini sering keluar malam, tambahan pula dengan orang luar."

Berdua-duaan

"Kalau untuk makan saja tidak ada masalah. Tapi kalau sudah habis makan tapi masih berdua-duaan dalam kereta, itu sudah tidak patut," katanya.


Mazlan bagaimanapun menegaskan, tidak ada bentuk hukuman ditetapkan untuk kesalahan seperti itu. Jelasnya, langkah yang akan diambil adalah menasihati pelajar dan staf terbabit apabila timbul banyak aduan berhubung tingkah laku mereka.

Tambahnya, beliau tidak tahu sama ada institut pengajian tinggi lain turut mengambil langkah sama seperti kampus tersebut. Katanya lagi, warga kampus itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada kira-kira 1,400 orang pelajar perlu menyedari keadaan sosial setempat di Kuala Lipis yang menurutnya sukar menerima perbuatan seperti itu. Jelasnya, tahap toleransi masyarakat luar bandar itu adalah berbeza daripada masyarakat seperti Kuala Lumpur.

Sumber : Malaysiakini

Ulasan Timbalan Presiden
Tahniah kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang kerana berani mengeluarkan arahan sedemikian demi kebaikan semua. Lebih-lebih lagi IPG adalah institusi yang akan melahirkan para pendidik dan membangunkan modal insan negara. Usaha ini patut dicontohi oleh IPT yang lain khususnya Unisel. Keadaan yang tidak dibendung akan menjadi kebiasaan akhirnya hilang rasa malu untuk melakukan maksiat. Tahniah juga kepada Hal Ehwal Pelajar yang mengambil inisiatif Kempen Pemantauan Pakaian dan Disiplin Pelajar yang sedang giat dilaksanakan.

Muhammad Anuar Mohamad Ismail, Timb. Presiden GPTD Unisel merupakan pelajar Diploma Multimedia di Fakulti Industri Teknologi Maklumat yang pernah mengikuti XPDC HAMKA II ke Jakarta pada awal tahun 2010.


Musibah Bazaar Ramadhan - Amaran Allah !











Bagi mereka yang berfikir, musibah yang meragut 3 nyawa dan 18 lain yang cedera itu sebenarnya AMARAN dari Allah swt. Mengapa penulis katakan itu satu AMARAN?

Apa tidaknya..cuba tuan-tuan bayangkan seawal tengahari (dari pengalaman penulis memerhati) kelmarin bukankah jumaat, ketika ramai jamaah baru pulang dari mengerjakan solat jumaat, sudah kelihatan ramai pekerja(baca-mungkin peniaga) sudah mula sibuk memacak khemah dan mengatur barang jajaan. Laju benar mereka menyudahkan solat, apakah mereka hanya hadir ke masjid sekadar mendengar khutbahnya sahaja?

Jika pun turut bersolat pasti tidak terjangkau akal untuk jadi sepantas itu. Mustahil secepat itu mereka sudah tegak berdiri ditapak bazaar? Maka disini penulis berani mengatakan adanya orang islam yang disibukkan dengan perniagaan itu TIDAK bersolat.

Baik, teruskan bersangka baik, tetapi melihat akan corak pakaian yang langsung tidak sesuai untuk bersolat jumaat,apakah kita kira mereka itu bersolat jumaat? Dengan seluar jeans yang koyak sana sini, t-shirt yang terpampang wajah2 artis, apakah ia sesuai? Yang perempuannya pulak ramai tidak memperdulikan soal aurat.

Malah dari pengalaman penulis bersama peniaga-peniaga bazaar Ramadhan, ramai yang tidak mengerjakan solat Asar dan Maghrib. Begitu juga yang tidak berpuasa. Enteng saja mereka makan dan minum disitu. Tak percaya? Ambil masa dan perhatikan.

Maka tidak hairan, musibah yang berlaku di Melaka itu, adalah satu AMARAN dari murka Allah swt. Jika ditinjau ke bazaar Ramadhan yang disediakan oleh pihak PBT, tandas boleh pulak mereka sediakan..5 - 6 buah diletakkan, tetapi tidak untuk SURAU? Mungkin tapak surau(kontena yang diubahsuai boleh digunakan apa?) itu tidak penting agaknya.

Dari apa yang penulis baca, dan hadam dari peristiwa petaka itu, wajar semua pihak merenung diri dan muhasabahkan apa yang tidak kena sebenarnya. Kembali kepada Islam, dan jadilah peniaga yang sealim Abu Bakar. Wallahuaklam. Dibawah sebahagian foto yang dipaparkan untuk renungan kita bersama.

Kepada magsa yang terbunuh, sama-sama kita sedekahkan Alfatihah, dan kepada mereka yang terselamat dengan kecederaan, masa masih ada untuk untuk merenung diri dimana silapnya..kerana bala dan murka Allah swt, itu diturunkanNya tidak berpilih-pilih, jika turun bala, semua kena..baik manusia, binatang mahupun tumbuh-tumbuhan habis kena sapu !

Sumber : albanjari online

Tuesday, August 17, 2010

Parti Republikan kecam Obama sokong bina masjid

Washington, 16 Ogos 2010 - Parti Republikan turut mengecam ulasan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang menyokong pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, memberikan gambaran beliau sebagai tidak memahami rakyat, kurang tiga bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal.

Parti Demokrat dan Parti Republikan berbeza pendapat berhubung sama ada patut atau tidak Obama campur tangan dalam ketegangan mengenai pusat kebudayaan Islam itu yang akan dibina dua blok dari tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Dalam majlis berbuka puasa di White House pada Jumaat lalu, Obama berkata 'orang Islam mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka seperti orang lain di negara ini', termasuk membina masjid di Manhattan.

Namun, sehari selepas itu, Obama menarik balik sokongan itu dengan menjelaskan dia mengulas tentang hak-hak di dalam Perlembagaan AS dan bukan 'membuat keputusan untuk membina masjid di situ', lokasi yang diakuinya sebagai 'kawasan yang dihormati'.

Pihak konservatif dengan pantas mengambil kesempatan ke atas ulasan Obama, yang dibuat beberapa minggu selepas White House enggan mengeluarkan kenyataan dan menyifatkan ia sebagai isu tempatan.

Beberapa anggota kanan Parti Republikan menyampaikan mesej parti itu dalam rancangan-rancangan politik, semalam.

"Ia bukan berkaitan kebebasan beragama, kerana kami menghormati hak beribadat menurut keyakinan masing-masing. Namun, saya rasa adalah tidak bijak... untuk membina masjid di tapak yang mana 3,000 rakyat Amerika terkorban dalam serangan pengganas.

"Saya rasa ia menunjukkan Washington, White House, pentadbiran dan Presiden sendiri seperti tidak memahami arus perdana Amerika," kata Senator John Cornyn, anggota Parti Republikan dari Texas.

Tinjauan pendapat oleh CNN bulan ini mendapati 68 peratus rakyat As menentang pembinaan masjid itu, manakala hanya 29 peratus menyokong. Namun, majoriti menyokong hak orang Islam membinanya.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg menyokong pembinaannya.

Senator Jack Reed dan anggota Kongres Maryland, Chris Van Holten dari Parti Demokrat berkata, masjid itu tidak boleh dibina di situ kerana apa juga perkara berkaitan 9/11 tidak patut dijadikan isu politik. - AFP

Pakistan dibelenggu banjir

Sukkur, Pakistan 16 Ogos 2010 – Hujan lebat terus melanda kawasan pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa banjir Pakistan hari ini dan pihak berkuasa memberi amaran lebih banyak banjir akan berlaku minggu ini, yang mana bantuan besar-besaran antarabangsa sangat diperlukan segera.

Banjir terburuk Pakistan bermula lebih dua minggu lalu di kawasan pergunungan di barat laut negara ini yang kemudian berlaku di seluruh negara.

Kira-kira 20 juta orang dan kawasan seluas 160,000 kilometer persegi atau bersamaan dengan satu per lima keluasan negara ini terjejas teruk.

Skala bencana menimbulkan kebimbangan yang ia mungkin menggugat kestabilan negara, elemen penting kepada Amerika Syarikat (AS) yang mahu mengalahkan al-Qaeda dan Taliban, mempunyai kerajaan yang lemah dan kurang popular serta ekonomi lemah yang bergantung kepada bantuan antarabangsa.

“Banjir nampaknya berlaku di mana-mana. Allah menurunkan hukuman disebabkan dosa-dosa kita,” kata seorang mangsa banjir, Ali Bakshs Bhaio, 45, ketika hujan menimpa khemahnya yang terletak di tepi lebuh raya utama di Sukkur, wilayah Sindh.

Menteri Pengairan Sindh, Jam Saifullah Dharejo berkata, empangan di Sukkur berdepan ujian kekuatan ketika air banjir memasuki Sungai Indus dan mengalir ke kawasan pertanian tengah Pakistan yang didiami ramai penduduk.

Banjir terbaru semalam melanda kawasan penduduk miskin di sempadan wilayah Sindh dan Baluchistan.

Pegawai tinggi kerajaan di daerah Nasirabad, Sher Khan Bazai berkata, sebanyak 25,000 keluarga kehilangan tempat tinggal apabila air naik setinggi dua setengah meter di beberapa tempat.

Katanya, kira-kira 4,000 perkampungan kecil terputus hubungan atau ditenggelami air. – AP

Sumber : Utusan

Israel enggan henti bina penempatan haram

Baitulmaqdis, 16 Ogos 2010 - Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erakat hari ini menuduh Israel menolak proses damai yang 'serius' kerana keengganannya untuk menghentikan pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah diduduki.

Beliau membuat kenyataan itu selepas media Israel melaporkan, forum terdiri daripada tujuh menteri kanan Kabinet akan menolak kenyataan yang dijangka dikeluarkan oleh Kuartet Asia Barat bagi menuntut rundingan damai langsung disambung semula dan pembinaan kawasan penempatan Yahudi dibekukan.

"Pengumuman oleh kerajaan Israel untuk menolak kenyataan Kuartet antarabangsa sebelum kenyataan itu dikeluarkan membuktikan Israel terus dengan pendiriannya menolak proses damai yang serius," kata Erakat.

Beliau mendakwa kerajaan Israel mempunyai keutamaan lain selain keamanan dan kestabilan di Asia Barat.

Para pegawai Israel sebelum ini telah menolak sebarang 'prasyarat' untuk mengadakan rundingan damai secara langsung dengan Palestin, termasuk pembekuan seluruh aktiviti pembinaan perumahan haram Yahudi.

Kuartet Asia Barat yang terdiri dari Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia dijangka mengeluarkan kenyataan bagi meminta kedua-dua pihak melancarkan semula rundingan langsung yang digantung pada akhir 2008.

Amerika Syarikat (AS) dipercayai sudah hampir mencapai persetujuan dengan Palestin untuk menghidupkan semula rundingan langsung selepas usaha diplomasi dutanya ke Asia Barat, George Mitchell sejak beberapa bulan lalu gagal meyakinkan pihak Palestin supaya kembali ke meja rundingan tersebut.

Palestin berkata, Kuartet akan mengeluarkan kenyataan serupa seperti yang dikeluarkan di Moscow pada Mac lalu bagi menggesa Israel menghentikan pembinaan kawasan perumahan haram dan supaya rundingan langsung menghasilkan perjanjian damai akhir dalam tempoh dua tahun.

Pemimpin Palestin sebelum ini menolak tekanan AS untuk melancarkan semula rundingan langsung, dengan menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak serius mengenai penubuhan sebuah negara Palestin merdeka.

Pegawai Palestin menemui timbalan Mitchell, David Hale untuk membincangkan draf akhir kenyataan Kuartet, bertujuan memberi sebab untuk Presiden Mahmud Abbas kembali ke meja rundingan.

"Kemajuan sudah dicapai setakat ini, dan pendirian rasmi Palestin akan diumumkan selepas kenyataan Kuartet," kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina selepas rundingan di bandar Ramallah, Tebing Barat lewat semalam. - AFP


Sumber : Utusan

Kes buang bayi meningkat


Kuala Lumpur, 16 Ogos 2010 - Kes buang bayi di negara ini semakin serius apabila ia meningkat mendadak lebih 54 peratus sejak Januari sehingga hari ini berbanding lapan bulan pertama tahun lalu.

Statistik terbaru dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan, terdapat 65 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara sejak awal tahun ini berbanding hanya 42 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya bimbang dengan trend peningkatan kes pembuangan bayi itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan untuk menyiasat kes pembuangan bayi di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.

"Jika kita lihat ada trend peningkatan (kes pembuangan bayi). Saya nampak dalam akhbar-akhbar banyak kes yang dilaporkan, malah Peguam Negara sudah membuat kenyataan berkaitan isu ini.

"Ketua Polis Negara telah kata laksanakan (Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan) kalau itu boleh selesaikan kes-kes pembuangan bayi," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Kabinet mengarahkan mana-mana individu yang terlibat dalam kes buang bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan membunuh.

Mohd. Bakri menjelaskan, sejak tahun 2005 sehingga kini, terdapat 472 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah meninggal dunia.

"Sepanjang tahun lalu, 79 kes pembuangan bayi dilaporkan iaitu 25 kes membabitkan bayi lelaki, 29 bayi perempuan dan 25 kes lagi tidak dapat dipastikan jantinanya kerana dibuang masih janin.

"Jumlah kes meningkat mendadak sejak Januari sehingga hari ini, apabila sudah ada 65 kes dilaporkan iaitu 26 kes membabitkan bayi lelaki, 25 perempuan dan 14 kes janin," katanya.

Dalam tempoh sama, kata Mohd. Bakri, 21 individu terdiri daripada remaja berusia di bawah 18 tahun ditangkap kerana terbabit dalam kes pembuangan bayi.

Beliau berkata, enam daripada mereka sudah didakwa di mahkamah manakala dua lagi dijatuhi hukuman.

Mohd. Bakri berkata, polis menghadapi masalah mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi terbabit kerana masyarakat kurang bekerjasama memberikan maklumat.

"Kita minta orang ramai kalau mengetahui individu tertentu melakukan perbuatan demikian (buang bayi) supaya maklumkan kepada polis," ujarnya.

Ditanya punca peningkatan kes terbabit, Mohd. Bakri berkata, ia mempunyai kaitan dengan teknologi maklumat yang semakin canggih iaitu apabila bahan-bahan lucah di Internet semakin mudah disebar dan diakses oleh orang ramai termasuk golongan remaja.

Selain itu, katanya, kerapuhan institusi keluarga akibat kesibukan ibu bapa bekerja untuk mencari sumber kewangan juga menyumbang kepada masalah tersebut.

Sumber : Utusan

Remaja hamil luar nikah meningkat

Seremban, 16 Ogos 2010 – Utusan Online melaporkan percaya atau tidak, sebuah hospital kerajaan di sini menerima dua hingga tiga kes remaja hamil luar nikah setiap hari.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir, perkara tersebut membimbangkan pihaknya.

“Ini adalah laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. Kes-kes membabitkan remaja hamil luar nikah seperti ini dilihat semakin meningkat dan membimbangkan kita,” katanya di sini hari ini.

Zainab tidak menafikan terdapat kes membabitkan remaja dalam kalangan pelajar termasuk penuntut institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan melaksanakan pelbagai program di bawah Jawatankuasa Gadis/Wanita Hamil Luar Nikah dalam usaha menangani permasalahan seperti itu sejak 2008.

“Pelbagai program dilaksanakan seperti seminar dan bengkel untuk remaja khususnya agar mereka menjauhi perkara-perkara seperti ini,” kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut bagaimana pun tidak akan berkesan tanpa pembabitan daripada akar umbi iaitu semua anggota keluarga.

“Dalam perkara seperti ini saya ingin menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak gadis mereka. Tidak salah kita sedikit mengongkong dalam hal-hal seperti ini.

“Ibu bapa yang mempunyai anak gadis di kolej atau universiti selalulah jenguk mereka, jangan kita tinggalkan mereka pada hari pendaftaran kemudian biarkan begitu saja tanpa bertanya khabar.

“Elok juga jika kita selalu lakukan ‘pemeriksaan mengejut’ di tempat mereka belajar,” jelasnya.

Katanya, remaja yang hidup jauh daripada keluarga dan tanpa bimbingan ibu bapa akan mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik akibat pengaruh rakan-rakan.

“Di sinilah institusi keluarga memainkan peranan, walau sebaik manapun program yang kerajaan buat, akhirnya anggota keluarga jugalah yang utama dalam memberi didikan,” katanya.

Mengenai kes buang bayi di negeri ini, katanya, sebanyak 24 kes dilaporkan sejak 2007 termasuk empat kes pada tahun lepas dan dua kes sehingga Ogos tahun ini.

“Kerajaan negeri sangat menyokong cadangan kerajaan agar mereka yang terbabit dengan kes pembuangan bayi disabitkan dengan hukuman mati.

“Sekurang-kurangnya hukuman ini akan menggerunkan mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu,” tegasnya.


Sumber : Utusan

Sunday, August 15, 2010

Hadith : Wajib berjamaah


"Sesiapa yang mengasingkan atau memisahkan diri daripada Jamaah, ia mati seperti kematian orang jahiliyyah."

Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan an-Nasaie

Friday, August 13, 2010

Jemputan : Kemahiran Intrapersonal & Interpersonal

Terbuka kepada semua mahasiswa Unisel. Keutamaan akan diberikan kepada aktivis Grup Wali Songo yang akan ke Pulau Jawa pada November 2010.

Hadith : Malam Lailatulqadar

“Sungguh, telah datang padamu bulan yang penuh berkah, dimana Allah mewajibkan kamu berpuasa, di saat dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan, dan dimana dijumpai suatu malam yang nilainya lebih berharga dari seribu malam.Maka barangsiapa yang tidak berhasil beroleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu buat selama-lamanya.”

(Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Baihaqi)

- Unit Pembina

Related Posts with Thumbnails