Monday, October 25, 2010

Catatan Tentang Hamzah Fansuri

Prof Dr. Naquib Alatas dalam bukunya “The Mysticcism of Hamzah Fansuri” mengatakan bahwa Hamzah Fansuri adalah Pujangga Melayu terbesar dalam abad XVII, penyair Sufi yang tidak ada taranya pada zaman itu. Hamzah Fansuri adalah “Jalaluddin Rumi”-nya kepulauan Nusantara. Bahkan, menurut Naguib, Hamzah Fansuri adalah pencipta bentuk pantun pertama dalam bahasa Melayu.

Hamzah Fansuri, masih menurut Al-Attas, punya jasa besar dalam memajukan bahasa Melayu. Pengaruhnya luar biasa di kalangan cendikiawan Melayu. Bahasa Melayu sebagai linguafranka yang dijadikan bahasa nasional Indonesia, sebenarnya dipelopori pujangga Melayu seperti Hamzah Fansuri. Setidaknya unsure serapan yang kini digunakan. Hal ini karena pengetahuannya yang luas dalam bahasa Arab dan Persia. Dengan sendirinya, ia pun membawa pula pembaharuan di bidang logika atau ilmu mantiq.

Menurut sejarah, pada masa Sulthan Alaiddin Riayat Syah Saidil Mukammil (1589 - 1604 M), terdapat dua orang ulama keturunan Syekh Al Fansuri mendirikan dua Pusat Pendidikan Islam di pantai barat Tanah Kerajaan Aceh Darussalam, wilayah Singkil.

Ali Al Fansuri mendirikan Dayah Lipat Kajang di Simpang Kanan. Adapun adiknya, Hamzah, mendirikan Dayah Oboh di Simpang Kiri Rundeng pada tahun 1592 M. Syekh Ali H Fansuri dikurniai seorang putera dan diberi nama Abdurrauf. Ulama inilah yang kemudian menjadi seorang Ulama Besar yaitu Syekh Abdurrauf Alfansuri Asshingkili atau Teungku Syiahkuala yang kuburannya terdapat di Kecamatan Syiah Kuala saat ini.

Mengenai kelahiran Syeikh Hamzah Fansuri sampai sekarang masih merupakan teka-teki. Demikian juga tahun kapan ia meninggal tak diketahui secara pasti. Namun beliau menjadi ulama yang sangat berpengaruh pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636), Tuduhan Nuruddin Arraniri bahwa Hamzah Fansuri telah menempuh jalan yang sesat (zindiq), ternyata keliru. Dalam sajak-sajaknya sendiri Hamzah Fansuri malah mengecam para sufi palsu atau pengikut-pengikutnya yang telah menyelewengkan ajaran tasawuf yang sebenarnya. Kata Hamzah :

//Segala muda dan sopan/ Segala tuan berhuban/ Uzlatnya berbulan-bulan/ Mencari Tuhan ke dalam hutan/ Segala menjadi “sufi”/ Segala menjadi “shawqi” (=pencinta kepayang)/ Segala menjadi Ruhi (roh)/ Gusar dan masam di atas bumi (menolak dunia)//


Sebagaimana lazimnya “Penyair Sufi”, maka sajak-sajak Hamzah Fansuri penuh dengan rindu-dendam; rindu kepada Mahbubnya, Kekasihnya, Khaliqnya, Allah Yang Maha Esa. Karena itulah, maka “Karya Tulis” Hamzah Fansuri sukar dimengerti dan dipahami oleh orang yang tidak banyak membaca dan mendalami buah pikiran dan filsafat Ulama Tasauwuf/Penyair Sufi. Mungkin termasuk Ar-raniry tak mampu menjangkau Hamzah. Inilah kunci kenapa pemikiran tasawwuf sulit dipahami jika seseorang tidak mengalami pengalaman spiritual.

Karya Hamzah yang terkenal, antara lain pertama, Asraarul Arifiin Fi Bayani Ilmis Suluk wat-Tauhid, yang membahas masalah-masalah ilmu tauhid dan ilmu thariqat. Kedua, Syaraabul Asyiqin, yang membicarakan masalah-masalah thariqat, syariat, haqiqat dan makrifat. Ketiga, Al Muntahi, yang membicarakan masalah-masalah tasauwuf. Keempat, Rubah Hamzah Fansuri, syair sufi yang penuh butir-butir filsafat. Kelima, Syair Burung Unggas, juga sajak sufi yang dalam maksudnya.

Menurut Hamzah Fansuri, bahwa manusia yang telah menjadi “Insan Kamil” tidak ada lagi pembatas antara dia dan Mahbubnya. Ini pemikiran yang juga pernah berkembang di dalam Islam yaitu Mansur al-Hallaj, Ibn ‘Arabi, dan di Indonesia juga pernah digulirkan oleh Syeikh Siti Jenar. Pada akhir pemerintahan Sulthan Iskandar Muda Meukuta meninggal 27 Desember 1636 M. Syekh Hamzah Fansuri tokoh agung nusantara, ulama sangat dikenal di Asia Tenggara ini, walaupun di negerinya sendiri dilupakan, wafat di Singkil, dekat kota kecil Rundeng. Beliau dimakamkan di Kampung Oboh Simpang Kiri Rundeng di Hulu Sungai Singkel Makamnya sangat dimuliakan.

Inilah sepenggal seorang maestro peradaban, ulama Aceh pengawal rantau asia yang telah menjadi milik dunia, namun tercecer dari catatan sejarah bangsa ini akibat hegemoni politik dan fitnah. Masih banyak misteri kehidupan Hamzah Fansuri yang belum terkuak, terutama kampong halamannya dan bagaimana akhir kehidupannya. Padahal pengaruh pemikirannya sedikit banyak telah mewarnai pemikiran keislaman di Nusantara. Akhirnya, saya berharap semangat intelektual Hamzah Fansuri ini perlu dibangkitkan dan dijadikan sebagai sebuah simbol kemegahan dunia Aceh. Karena Hamzah bagaimanapun adalah seorang pujangga yang tidak ada tandingannya.

Sumber: Catatan M Adli Abdullah, yang dipublikasikan melalui serambinews.com

Saturday, October 23, 2010

Oxbridge amal keilmuan Islam

OXBRIDGE merupakan istilah yang merujuk kepada gabungan dua universiti yang tertua dan terkemuka di United Kingdom iaitu Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Kedua-duanya merupakan antara tiga Universiti terulung dunia selain daripada Universiti Harvard di Amerika Syarikat. Status tersebut membuatkan kedua-dua Universiti itu kekal berstatus elit sehingga ke hari ini.

Pengalaman singkat kerana mengikuti kursus pendek musim panas di Universiti Cambridge di samping terlibat dengan beberapa program bersama-sama pelajar Malaysia dan juga pelajar antarabangsa di Universiti Oxford digunakan untuk merasai dan mengkaji tradisi kedua-dua universiti tersebut.

Jika universiti di Malaysia adalah berkonsepkan kampus, namun di Oxford dan Cambridge ia berkonsepkan bandar atau dikenali sebagai ‘bandar universiti’.

Universiti Oxford dibina di bandar Oxford manakala Universiti Cambridge dibina di bandar Cambridge. Malah bangunan-bangunan kolej dan kuliah berada dalam bandar. Jika berada di jalanan pula hampir tidak dapat membezakan antara pelajar dan penduduk bandar tersebut. Begitulah hubungan akrab antara universiti dan masyarakat.

Program-program anjuran universiti pula seperti seminar, syarahan, diskusi, perdebatan, persembahan-persembahan seperti teater adalah begitu bebas dan terbuka disertai bukan sahaja oleh para pelajar dan pensyarah tetapi juga oleh masyarakat awam.

Tajuk-tajuk bagi diskusi dan persembahan juga begitu terbuka merangkumi perkara-perkara yang dianggap sebagai sensitif termasuk yang berkaitan dengan politik dan agama.

Salah satu syarahan yang sempat dihadiri ialah yang bertajuk Pencerobohan ke atas Afghanistan dan Iraq oleh pensyarah Universiti Cambridge, John Jackson.

Tajuk itu amat menarik perhatian kerana kita dapat melihat perspektif Barat terhadap isu berkenaan.

Syarahan akademik tersebut nyata tidak menyebelahi Amerika Syarikat dan Britain apabila kebanyakan mereka yang hadir mengkritik tindakan George W. Bush dan Tony Blair sambil menggelar bekas Perdana Menteri Britain itu sebagai anjing yang dicucuk hidung oleh Bush.

Begitu juga dengan isu berkaitan penindasan rejim zionis terhadap negara dan rakyat Palestin. Kebanyakan mereka melihat isu itu dari sudut kemanusiaan. Pembelaan seharusnya diberikan kepada rakyat palestin yang dicerobohi hak mereka, dan dunia seharusnya menghukum Israel atas jenayah yang telah mereka lakukan.

Selain itu, Oxford dan Cambridge juga terkenal dengan tradisi pengajaran yang berbeza berbanding dengan universiti-universiti lain di dunia.

Contohnya, kaedah pengajaran tutorial ialah secara bersemuka antara pensyarah dan pelajar. Kaedah ini sudah menjadi tradisi di Oxbridge sejak awal penubuhannya 800 tahun dahulu.

Kaedah itu sangat berkesan dalam sistem pengajaran. Para pelajar akan mendapat ilmu secara langsung daripada guru.

Segala masalah dan kelemahan pelajar boleh ditegur dan diperbaiki secara langsung oleh guru serta boleh mengelakkan murid daripada mendapat kefahaman yang salah.

Kaedah ini berasal daripada tradisi Islam yang dikenali sebagai kaedah talaqqi. Talaqqi daripada segi bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Daripada segi istilah ia bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka.

Ini mengingatkan kita kepada peristiwa penurunan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad di Gua Hira.

Nabi diajar al-Quran secara bersemuka oleh Jibril a.s di mana Jibril membaca dahulu dan didengar oleh Nabi. Kemudian dibaca semula oleh nabi dan didengar oleh Jibril dan begitulah seterusnya. Di dalam peristiwa ini Jibril bertindak sebagai guru kepada baginda.

Itulah permulaan kaedah talaqqi dan ia adalah tradisi yang dimulakan oleh Islam. Tradisi ini masih diamalkan di madrasah-madrasah di kebanyakan negara Islam termasuk Malaysia. Namun bagi pengajaran di peringkat universiti, hanya di Oxbridge kaedah ini masih dikekalkan

Oleh MOHD KHAIRUL ANWAR ISMAIL

Sumber : Utusan

Thursday, October 21, 2010

Azmi Sharom: Is My Constitution Dead?


Santa 'Pak Haji': TV3 didenda RM50,000

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2010 - Malaysiakini dipetik, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) telah dikenakan denda maksimum RM50,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyiarkan iklan kontroversinya berhubung sambutan Aidilfitri yang lalu.

Iklan yang disiarkan oleh stesen televisyen swasta pertama itu didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari, siasatan SKMM mendapati iklan berkenaan “menghina dan mengapi-apikan”.

Penjelasan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen bebas yang mewakili Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan ke atas TV3 kerana menyiarkan iklan “Sinari Lebran”.

Zulkifli dalam soalannya mendakwa iklan tersebut “menghina dan menjatuhkan martabat Islam”.

“Sinari Lebaran oleh TV3, disiasat oleh Akta SKMM 1998 mengikut Seksyen 206 (3) yang memperuntukkan kompaun maksimum RM50,000 yang dikenakan kepada TV3,” kata Salang.

TV3 semasa bulan Ramadan lalu menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.

Ia dilihat seperti menyamakan Aidil Fitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memasukkan elemen beca terbang, bunga teratai dan pelita.

Kos penerbitan iklan itu dikatakan mencecah RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Sementara itu, berhubung soalan Zulkifli mengenai usaha pemantauan dan penguatkuasaan berhubung penularan “fitnah perkauman dan agama” menerusi media siber dan elektronik, Salang berkata mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta SKMM ia tidak terhad kepada artikel yang dimuatnaik dalam laman berkenaan tetapi juga membabitkan interaksi serta komen yang dianggap memfitnah mana-mana agama ataupun kaum.

“Bagi kesilapan yang lebih serius, sebagai contoh menghina Islam dan agama lain yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta mengancam keselamatan negara, kita boleh rujuk kepada Akta Hasutan 1948 dan akta Keselamaatn Dalam Negara,” katanya.

Pengambilan Sijil Bengkel Asas Sukarelawan (BEST)

PERHATIAN kepada semua peserta Bengkel Asas Sukarelawan (BEST) yang telah diadakan pada 23-25 Julai 2010 di Kg Seri Tiram Jaya & Kg Parit Serong. Sila dapatkan sijil penghargaan atas komitmen saudara-saudari semasa mengikut BEST. Boleh dapatkan sijil di pejabat Penasihat GPTD Unisel di Bilik Q1, Level 2, Fakulti Industri Teknologi Maklumat. Pihak Kepemimpinan GPTD Unisel mengucapkan syabas dan tahniah kerana berjaya mengharungi cabaran sehingga ke hari akhir. Semoga penganjuran program ini akan memberi manfaat kepada saudara-saudari dan penduduk kampung. Sekian, terima kasih.


menjejak.meneladani.memimpin

Hadith : Sia-sia orang tidak peduli umat

"Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim). (Hadis Riwayat Thabrani)

Wednesday, October 20, 2010

Syair Perahu - Hamzah Fansuri











Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
hasilkan pendapat dengan tali sauh,
anginnya keras ombaknya cabuh,
pulaunya jauh tempat berlabuh.

Lengkapkan pendarat dan tali sauh,
derasmu banyak bertemu musuh,
selebu rencam ombaknya cabuh,
La ilaha illallahu akan tali yang teguh.

Barang siapa bergantung di situ,
teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju,
selamat engkau ke pulau itu.

La ilaha illallahu jua yang engkau ikut,
di laut keras dan topan ribut,
hiu dan paus di belakang menurut,
pertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Silan terlalu dalam,
di sanalah perahu rusak dan karam,
sungguhpun banyak di sana menyelam,
larang mendapat permata nilam.

Laut Silan wahid al kahhar,
riaknya rencam ombaknya besar,
anginnya songsongan membelok sengkar
perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah.

Silan itu ombaknya kisah,
banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu ‘azamah,
perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut Kulzum terlalu dalam,
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam,
perbaiki na’am, siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam,
ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh
selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya,
datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya,
berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya,
“yakin akan Allah” nama pawangnya.

“Taharat dan istinja’” nama lantainya,
“kufur dan masiat” air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubatunya
tauhid itu akan sauhnya.

Salat akan nabi tali bubutannya,
istigfar Allah akan layarnya,
“Allahu Akbar” nama anginnya,
subhan Allah akan lajunya.

“Wallahu a’lam” nama rantaunya,
“iradat Allah” nama bandarnya,
“kudrat Allah” nama labuhannya,
“surga jannat an naim nama negerinya.

Karangan ini suatu madah,
mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam’ah,
di dalam kubur berkhalwat sudah.

Kenali dirimu di dalam kubur,
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur.

Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang.

Tuntuti ilmu jangan kepalang,
di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang,
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.

Tongkatnya lekat tiada terhisab,
badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap,
(baris ini tidak terbaca)

Munkar wa Nakir bukan kepalang,
suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang,
cabuknya banyak tiada terbilang.

Kenali dirimu, hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang,
dengan siapa lawan berbincang?

La ilaha illallahu itulah firman,
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insap,
siang dan malam jangan dilalaikan.

La ilaha illallahu itu terlalu nyata,
tauhid ma’rifat semata-mata,
memandang yang gaib semuanya rata,
lenyapkan ke sana sekalian kita.

La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah,
sekalian makhluk ke sana berpindah,
da’im dan ka’im jangan berubah,
khalak di sana dengan La ilaha illallahu.

La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan,
siang dan malam jangan kau sunyikan,
selama hidup juga engkau pakaikan,
Allah dan rasul juga yang menyampaikan.

La ilaha illallahu itu kata yang teguh,
memadamkan cahaya sekalian rusuh,
jin dan syaitan sekalian musuh,
hendak membawa dia bersungguh-sungguh.

La ilaha illallahu itu kesudahan kata,
tauhid ma’rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara,
hamba dan Tuhan tiada berbeda.

La ilaha illallahu itu tempat mengintai,
medan yang kadim tempat berdamai,
wujud Allah terlalu bitai,
siang dan malam jangan bercerai.

La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,
menyatakan tauhid jangan berubah,
sempurnalah jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah.

~ Hamzah Fansuri

Sumbangan untuk projek XPDC Wali Songo

Sabak Bernam, 20 Oktober 2010 - Grup Wali Songo yang akan melaksanakan XPDC Wali Songo 2010 pada 1-14 November 2010 telah menerima sumbangan ikhlas daripada Ahli Parlimen Malaysia Kawasan Sabak Bernam, YB Abd Rahman Bin Bakri. Ini adalah hasil usaha daripada Sdr Muhammad Izzat Bin Chiairil Anuar selaku Pengarah projek. Selain itu, sebuah kedai buku di Sg Besar, Sabak Bernam telah menyumbang buku al-Mathurat untuk kegunaan para aktivis dan untuk pelajar di Pondok Pesantren Da'wah Bil Hal Desa Putat, Cirebon Indonesia.

Tuesday, October 19, 2010

Hamka : Kerdipan Bintang yang tidak kunjung padam

Pengumuman di corong radio Malaysia awal pagi 24 julai 1981 mengenai pemergiannya menghadap Ilahi disambut dengan cukup pilu oleh seluruh bangsa Melayu-Islam di nusantara Melayu ini. Terasa kosong alam Melayu atas pemergiannya walaupun ada beribu-ribu ulama dan cendekiawan Melayu pada waktu itu yang masih hidup. Namun nama HAMKA sangat besar nilainya dalam dunia ilmu di nusantara Melayu ini.

Setiap kali dia hadir ke pentas ceramah, berpuluh-puluh ribu manusia berhimpun untuk mendengar nasihat dan peringatan yang disampaikannya. Dia menutur katanya dengan bersahaja, lembut dan meresap jauh ke dalam kalbu. Nyata dia sangat memahami jiwa pendengarnya yang gersang dan kekeringan petunjuk.

HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di nusantara Melayu ini. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

HAMKA mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ HAMKA mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. HAMKA juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.

HAMKA mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. HAMKA kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).

HAMKA mendalami berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik mengikut sudut pandang Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. HAMKA juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.

HAMKA juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, HAMKA mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.

Pada tahun 1953, HAMKA dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Julai 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik HAMKA sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.

Kegiatan politik HAMKA bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, HAMKA diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, HAMKA dipenjarakan oleh Presiden Sukarno karena dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah, beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, HAMKA diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majelis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.

Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, HAMKA merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, HAMKA menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. HAMKA juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

HAMKA juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.

HAMKA pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doktor Kehormat , Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Kehormat , Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.

HAMKA telah pulang ke rahmatullah pada 24 Julai 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya dihargai di seluruh nusantara Melayu , termasuk di Malaysia dan Singapura.

Oleh : Hasanuddin Md Isa

JARINGAN AMAL ISLAMI DI ALAM MELAYU: MENELUSURI JEJAK PENGARUH DA`I INDONESIA DI MALAYSIA

Siddiq Fadzil

Presiden

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

(Kertas Kerja di bentangkan di Seminar Pra Silaturrahim Nasional (Silatnas) Dewan Da'wah Islamiyyah Indonesia (DDII) pada 25 September 2010 di Jakarta)



Mukadimah

Meskipun telah terbelah-belah dari segi geo-politiknya, Alam Melayu masih dilihat sebagai sebuah zon kebudayaan Islam dengan ciri-ciri khas yang membezakannya daripada kebudayaan Islam daerah-daerah Dunia Islam lain seperti zon kebudayaan Islam Arab, Indo-Pakistan, Afrika dan lain-lain. Kebudayaan kita adalah kebudayaan kepulauan yang menyerlahkan ciri kepelbagaian dan keberagaman, tetapi tetap berkongsi ciri-ciri khas kesamaan dan keseragaman. Demikianlah hakikatnya, ada diversity kepulauannya, dan ada pula unity keislaman-kemelayuannya.

Jejak Para Perintis

Kesatuan tersebut adalah suatu yang sangat bererti, sehingga pada suatu ketika ia pernah merangsang gagasan politik kesatuan seperti Melayu Raya (Ibrahim Yakob dan Dr.Burhanuddin al-Helmi -- Malaysia) dan Indonesia Raya (Muhamad Yamin - Indonesia). Kesatuan budaya tersebut adalah hasil Islamisasi, suatu proses transformatif yang memesat di rantau ini dari abad 13-16M. Seawal era tersebut telah wujud jaringan amal Islami serantau yang melibatkan pusat-pusat pengembangan Islam seperti Pasai, Melaka, Aceh dan lain-lain yang bererti juga wujudnya jaringan di kalangan para penguasa Islam dan ulama-ulamanya. Di samping pemerataan dakwah, jaringan tersebut telah menghasilkan kesatuan kesatuan tradisi keintelektualan Melayu. Kitab-kitab karangan ulama Melayu yang dikenali dengan sebutan kitab jawi tersebar luas merentasi persempadanan geografis, suku kaum dan dialek bahasa. Dengan menggunakan bahasa Melayu (kekitaban) dalam penulisan mereka, para ulama tersebut telah membina bahasa kesatuan yang kaya dan dapat berfungsi dengan berkesan sebagai bahasa komunikasi dan bahasa tamadun tinggi. Ternyata yang tersebar bukan hanya karya, malah para ulama itu sendiri juga menyebar. Gelar-gelar penisbahan kepada nama tempat asal tidak membatasi daerah mereka berkiprah. Dalam kaitan ini kiranya wajar dicatat bahawa al-Falimbani tidak hanya giat di tanah kelahirannya, tetapi telah ikut berjihad dan gugur syahid mempertahankan kedaulatan Kedah Dar al-Aman dari pencerobohan Siam.

Laut selat Melaka bukan pemisah Sumatera dengan Semenanjung Tanah Melayu. Ramai tokoh yang berulang-alik lalu menjadi milik bersama dua daerah Melayu tersebut. Syeikh Tahir Jalaluddin (Minangkabau) dan Syeikh Junid Tola (Mandailing) adalah contoh ulama milik bersama Malaysia-Indonesia. Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu memang berseberangan lokasi, tetapi tetap berkongsi budaya dan tradisi.

Pada satu ketika, selain Asia Barat, Indonesia menjadi pilihan anak-anak Malaysia untuk melanjutkan pengajian agama. Ada yang ke universitas, ada yang ke pondok/pesantren, dan ada juga yang ke madrasah seperti Diniah Puteri, Padang Panjang yang pernah melahirkan beberapa orang tokoh wanita dalam politik Malaysia. Sementara itu pada pertengahan abad ke-20 terdapat sejumlah insitusi pengajian pondok replika pesantren Jawa di daerah-daerah penempatan masyarakat (asal) Jawa di bahagian selatan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu seperti Johor, Selangor dan Perak.

Partisipasi tokoh-tokoh da`i/agamawan Indonesia dalam amal dakwah dan pendidikan terus berlanjut hingga ke era kontemporer. Ketika Malaysia mula meningkatkan sistem pengajian Islamnya ke tahap universiti sejumlah cendekiawan Indonesia turut menyumbang sebagai tenaga akademik. Mereka termasuklah O.K.Rahmat di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Nilam Puri) yang kemudian menyambung khidmatnya di Universiti Sains Malaysia (Pulau Pinang), Mukhtar Lintang dan Sidi Gazalba di Fakulti Pengajian Islam Universiti kebangsaan Malaysia, dan Dr.Hasan Langgulung di Fakulti Pendidikan (UKM) yang kemudian melanjutkan khidmatnya di Universiti Islam Antarabangsa (Gombak). Bagaimanapun kertas ini hanya akan menumpukan sorotannya pada tiga orang tokoh yang telah memberikan sumbangan istimewa iaitu Muhamad Natsir, Hamka dan Dr. Ir. Imaduddin Abdul Rahim.

Muhamad Natsir

Muhamad Natsir memang tidak dikenal luas di kalangan massa umat, tetapi sangat dikenal dan dihormati di kalangan para aktivis gerakan Islam, juga di kalangan pimpinan politik Islam. Yang jelas beliau termasuk tokoh penyumbang kepada fenomena kebangkitan Islam di Malaysia yang menyemarak pada tahun-tahun 1970'an. Ungkapan the rising tide of Islam yang popular ketika itu sangat terkait dengan Natsir. Hubungan akrabnya dengan Anwar Ibrahim, pimpinan utama gerakan kepemudaan era tersebut, mendekatkan Natsir dengan warga ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), wadah yang mempelopori kebangkitan Islam di Malaysia.

Teras aktiviti atau jawhar al-`amal gerakan Islam, khususnya ABIM tidak lain adalah dakwah, di samping pendidikan. Dakwah adalah amanah yang harus dilaksanakan menepati pesan dakwah bi 'l-hikmah dan dakwah `ala basirah. Semangat untuk berdakwah memang tinggi, tetapi cara, kaedah dan uslubnya belum dikuasai. Dalam konteks situasi dan kondisi seperti itulah buku Fiqh al-Da`wah Muhamad Natsir itu sangat membantu. Ketika itu hanya itulah satu-satunya buku berbahasa Melayu tentang ilmu dakwah. Atas pertimbangan keperluan buku tersebut diterbitkan semula di Malaysia dalam versi bertulisan jawi.

Gerakan Islam pada tahap awalnya berhadapan dengan realiti Islam yang telah direduksi menjadi sekadar ritual peribadi tanpa kaitan apa pun dengan urusan kehidupan yang lebih luas. Antara misi besar kaum da`i ialah untuk mengangkat semula Islam dalam bentuknya yang sempurna, taqdim al-Islam bisuratihi al-kamilah. Dalam rangka mengembalikan shumuliyyat al-Islam itulah tesebarnya ungkapan al-Islam din wa dawlah (Islam adalah agama dan negara). Dalam kaitan ini tulisan Natsir dalam Capita Selecta yang merakamkan polemiknya dengan Soekarno tentang isu agama dan negara telah turut memberikan pencerahan dan memberikan kekuatan argumentatif kepada para da`i.

Selain menjelaskan hakikat Islam, gerakan dakwah juga menghadapi tantangan faham-faham asing, terutama ideologi dan pemikiran Barat moden seperti sekularisme, demokrasi, nasionalisme dan lain-lainnya. Dalam menangani tantangan ini pemikiran Muhamad Natsir selalu menjadi rujukan dan panduan. Para da`i muda Malaysia merasa mendapat bekalan modal pemikiran dari tulisan Natsir tentang demokrasi Islami yang diistilahkan sebagai theistic democracy atau demokrasi berTuhan itu. Demikian juga dalam menghadapi sekularisme kritikan Natsir terhadap faham tersebut dalam Capita Selecta sungguh bermanfaat dari segi mendalami kefahaman dan memperkuat argumentasi. Justeru, sekularisme adalah antara faham yang paling banyak merosak pemikiran dan cara hidup umat, dan Natsir adalah antara tokoh pemikir Islam yang terawal mendebat sekularisme secara ilmiah, sementara ABIM adalah gerakan Islam di Malaysia yang pertama menyerlahkan bahaya sekularisme sebagai faham yang secara diametrikal bertentangan dengan Islam dan akidah tauhidiknya.

Perjuangan dan eksperimen politik Natsir adalah suatu yang sangat inspiring. Terlepas dari soal sejauh mana keberhasilannya, kejayaan Natsir dan parti Masyuminya membentuk kabinet pada zaman seawal itu, yang jauh mendahului organisasi-organisasi Islam di seluruh rantau dunia lain adalah suatu yang membanggakan dan sekaligus menumbuhkan semangat percaya diri di kalangan pemuda-pemuda pergerakan di Malaysia. Meskipun ekperimen tersebut terjadi dalam masa yang relatif singkat, tetapi sesungguhnya ia sangat kaya dengan pengalaman, terutama pengalaman memperjuangkan aspirasi politik Islam dalam konteks pluraliti masyarakat dan demokrasi multiparti, merealisasikan idealisme perjuangan parti di samping harus mengakomodasi kepentingan pihak-pihak lain.

Natsir telah meninggalkan legasi amal Islami, perjuangan islahi, pemikiran tanwiri dan keteladanan misali. Pesan-pesan keramatnya, "ikan biar tertangkap, air jangan keruh", "yang mudah kita kerjakan sekarang, yang susah kita kerjakan nanti, yang mustahil kita kerjakan esok" adalah antara kata-kata pusakanya yang padat dengan wisdom kepemimpinan, dan ia akan abadi dalam ingatan para da`i generasi pelanjut perjuangannya di Malaysia.

Hamka

Hamka adalah ulama-sasterawan yang dikenal luas di Malaysia, kalangan massa dan penguasa, juga khalayak sastera. Hamka dikenali dan diminati ramai kerana novel-novelnya yang mengharukan dan ceramah-ceramahnya yang memukau. Tetapi yang lebih mengesankan adalah karya-karya ilmiahnya seperti tafsir al-Azhar, Sejarah umat Islam dan Tasawuf modennya. Bagi yang tidak dapat memahami kitab-kitab tafsir berbahasa Arab, tafsir al-Azhar selalu menjadi pilihan kerana keistimewaannya dari beberapa segi. Ia adalah tafsir berbahasa Melayu paling besar yang ditulis dengan gaya bahasa ceramah panjang. Selain itu al-Azhar juga mungkin satu-satunya tafsir yang dalam huraian-huraiannya paling banyak merujuk isu-isu lokal kemelayuan. Karyanya Sejarah Umat Islam pula adalah karya sejarah Islam yang paling lengkap liputannya. Ia memuatkan pemerian tentang sejarah Islam hampir di seluruh rantau dunia dari zaman ke zaman, termasuk perkembangan Islam di Alam Melayu. Tidak kurang pentingnya ialak karya tasawufnya, khususnya Tasawuf Moden, suatu usaha untuk memberikan jawapan islam terhadap masalah-masalah kerohanian manusia moden.

Hamka memang ilmuwan unik yang memberikan perhatian berat kepada pelbagai bidang ilmu yang sangat luas, termasuk khazanah kesusasteraan tradisional seperti karya agung Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang. Tampaknya Hamka dapat menghargai karya yang oleh kebanyakan ulama dianggap tahyul melulu itu. Seperti yang dinyatakan oleh pengarangnya bahawa teks klasik tersebut mengandungi al-akhbar dan al-amthal (sejarah dan simbol). Di sinilah terserlahnya ketajaman Hamka yang dapat memilih dan memilah mana yang fakta dan mana yang simbol. Di sebalik simbol itulah tersiratnya mesej wisdom kepujanggaan bangsa. Dalam analisisnya tentang kejatuhan Melaka Hamka cuba menafsirkan simbol-simbol yang termuat dalam karya tersebut.

Hamka adalah tokoh Indonesia yang sangat dekat dengan umat di Malaysia. Sempena kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) beliau menulis buku Kenang-kenanganku di Malaya. Antara kandungan pentingnya ialah keprihatinannya terhadap bahasa Melayu. Memang Hamka adalah agamawan yang memiliki kepedulian yang sangat tinggi terhadap bahasa, khususnya bahasa Melayu. Antara sumbangannya dalam bidang kebahasaan termasuklah perjuangan memurnikan bahasa Melayu dari pencemaran kata-kata asing, dan mempertahankan bunyi-bunyi Melayu yang oleh sesetengah pihak dianggap kearaban.

Umat Malaysia memang mengenali Hamka. Seminar mengenai tokoh ini telah diadakan berkali-kali di pelbagai negeri Malaysia sehingga Pak Rushdi, putera Hamka yang sering hadir mewakili keluarga, pernah mengatakan bahawa beliau lebih banyak mengenal ayahnya di Malaysia berbanding di Indonesia. Mudah-mudahan anak-anak keturunan Minang di Malaysia tidak akan melupakan pesan Buya, "Orang Minang apabila tercabut dari Islam, akan hilang minangnya, yang tinggal hanya kabaunya".

Dr.Ir.Imaduddin Abdul Rahim

Imaduddin Abdul Rahim memiliki keunikan tersendiri. Beliaulah satu-satunya tokoh Indonesia yang mempunyai kader-kader yang ramai di Malaysia. Pada pertengahan tahun-tahun 70'an Ir. dari ITB itu dikirim ke Malaysia dengan tugas rasmi sebagai dosen di Institut Teknologi Kebangsaan (kemudian diangkat menjadi Universiti Teknologi Malaysia). Tetapi sebenarnya beliau dikirim dengan misi istimewa untuk membina kader dakwah. Kepiawaiannya dalam pembinaan kader memang diakui umum. Selama di Malaysia beliau banyak sekali mengadakan pelatihan kader dakwah yang dikenali dengan jenama Latihan Kader Dakwah (LKD) yang kemudian ditukar menjadi Latihan Mujahid Dakwah (LMD). Dalam waktu singkat ramai kalangan mahasiswa yang mengikuti pelatihan tersebut. Kesannya tentu sahaja sangat positif dari segi pengisian femomena kebangkitan Islam dengan kefahaman yang lebih mendalam dan komitmen perjuangan yang lebih kental terutama di kalangan mahasiswa.

Imaduddin banyak menggunakan terapi kejutan yang pada keseluruhannya cukup mengesankan. Bagaimanapun untuk satu ketika timbul juga kesan sampingannya apabila beliau mempromosikan fiqh kaum pembaharu yang sempat menghidupkan semula kontroversi lama "kaum tua-kaum muda". Tetapi hal itu masih dapat dikawal dalam kebijaksaan dasar saling hormat dan saling memaaf ketika berbeza pendapat yang menjadi amalan gerakan Islam khususnya ABIM. Setelah perkhidmatannya di ITK tamat Imaduddin pulang ke Bandung, tetapi dari semasa ke semasa beliau kerap datang ke Malaysia memenuhi undangan pelbagai institusi dan organisasi untuk mengadakan pelatihan dakwah.

Umum mengenali Imaduddin sebagai seorang yang berwatak keras, dan cara berfikirnya seringkali terkesan rasionalis. Citra sedemikian tentu sahaja ada pro-kontranya. Watak dan orientasi pemikiran sedemikian itu tidak pula bererti beliau seorang yang tertutup dan tidak mahu mendengar saran. Justeru sikap rasionalnya menjadikannya bersedia mendengar hujah. Segalanya bergantung kepada kemampuan meyakinkannya dengan hujah yang kuat. Tampaknya latar pendidikan sains-teknik menyebabkan Imad kurang pendedahan kepada bidang-bidang ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti sejarah, kebudayaan, kebahasaan dan kesusasteraan. Kerana itu beliau tidak dapat menghargainya secara saksama. Untungnya, keadaan itu tidak berlarut lama. Ada seseorang yang telah membangkitkan minat beliau terhadap bidang-bidang tersebut. Sejak itu beliau sangat menghargai hakikat betapa kuatnya pengakaran budaya dan bahasa Melayu pada ajaran Islam. Sejak itu juga beliau memasukkan diskusi tentang peranan Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu ke dalam komponen materi pelatihannya.

Khatimah

Demikianlah jaringan amal Islami pada masa lalu telah membentuk satu umat, membangun sebuah tamadun dan menjayakan suatu kebangkitan keagamaan, the rising tide of Islam. Generasi lalu telah berbuat sesuai dengan keperluan dan kemampuan. Kita pula bagaimana?

Kajang: 14 Syawal 1431H / 24 September 2010.


Sumber : Wadah

Friday, October 15, 2010

Kempen #12 : Bahawa Jiwa Bangsa

10 Gangguan Syaitan Ketika Solat



Bismillahirrahmanirrahim,

Semoga ia beroleh manfaat dan sentiasa mempertingkatkan mutu ibadah kepada Allah SWT.

Antara gangguan itu adalah:

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram
Saat membaca takbiratul ihram, 'Allahu Akbar', seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah. Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, "Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat". Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.
Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil 'Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah." Rasulullah menjawab, "Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.

"Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku" (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
Abu Hurairah berkata, "Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.

Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,'Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!' Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat." (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: "Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Tidak ada ketenangan atau thuma'ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya, "Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma'ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma'ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

"Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah". Orang itu bertanya, "Apa yang dilakukannya? "Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. "Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w," kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, "Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat". Rasulullah menjawab, "Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba." (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk
Rasulullah bersabda bermaksud: "Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah." (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, "Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata 'ha...' bererti syaitan tertawa dalam mulutnya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas'ud, "Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan." (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas'ud berkata, "Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara."

10) Terasa ingin buang angin atau buang air
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya" (Hadis Riwayat Muslim).

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.

Disediakan oleh Rabiah Addawiyah

Wednesday, October 13, 2010

Wacana Tokoh : Cheng Ho & Wali Songo

Bestari Jaya , 25 September / 16 Syawal - GPTD UNISEL dengan jayanya telah menganjurkan Wacana Tokoh : Cheng Ho dan Wali Songo dengan pengisian disampaikan oleh Saudara Muhammad Suhail Ahmad, Presiden GPTD dan Saudara Mohd Akmal Md Noor, mentor Grup Wali Songo.


Saudara Lee Shi Wei, Pengarah program tersebut berpuas hati dengan kesungguhan peserta yang hadir pada waktu itu kerana partispasi aktif peserta dalam sesi perbincangan dan persembahan sajak dan multimedia yang diselang seli dengan pembentangan tokoh berjalan lancar.

Program wacana ini tidaklah bertujuan mengupas sejarah kedua-dua tokoh terbabit tetapi mencetuskan semangat kembara bagi meneliti kejayaan mereka. Cetusan dibuat secara percambahan idea yang terbit daripada coretan sejarah lalu dikaitkan dengan situasi hari ini.

Rata-rata peserta kelihatan cukup bersemangat untuk meneladani tokoh-tokoh terbabit yang terbukti kejayaan mereka. Pendekatan GPTD yang mengajak para peserta menjejaki tokoh-tokoh ini untuk diteladani bagi melahirkan kepimpinan berwibawa dilihat mendapat sambutan baik. Adalah diharapkan kesungguhan peserta yang hadir akan berterusan selamanya.

Related Posts with Thumbnails