Alhamdulilah Syukur ke hadrat ilahi
dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih dapat merasa nikmat kehidupan dan yang
paling utama adalah nikmat berada di dalam Universiti Ramadhan. Jika menurut
pandangan umum tafsiran terhadap Universiti ialah sebuah tempat yang menjadi pusat
pengumpulan ilmu pembelajaran dan peradaban maka yang ingin ditekankan ialah
berada dibulan Ramadhan ini merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai dan
antara bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan
menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran,
waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk
menambah ibadat dan amalan. Merenung kembali peristiwa bersejarah Al Quran
diturunkan yang menjadi rujukan Serta panduan Umat Islam.
Firman Allah dalam surah Al Baqarah;
2:185
: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu
ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu,
sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit
atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa)
sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan
yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan
puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Penekanan yang perlu diambil berat
oleh semua Masyarakat Islam dan pembentukan belia remaja yang berkualiti
khususnya ialah soal mendidik jiwa yang bersih dari segala anasir-anasir yang
tidak sihat dalam kontek pembangunan diri seseorang. Beberapa perkara yang boleh diambil
sebagai tip memasuki Universiti Ramadhan iaitu :-
Ramadhan jalan menuju ketaqwaan
Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan
atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kamu, agar kamu
bertaqwa”. (Al Baqarah: 183). Ayat di atas menerangkan bahawa puasa adalah
sebab yang boleh menimbulkan kesedaran terhadap pelakunya menuju ketaqwaan,
kerana puasa mampu meredam syahwat. Ini sesuai dengan salah satu penafsiran
yang disebutkan Imam Al Qurthubi, yang berpadukan kepada hadits riwayat Imam
Ahmad yang menyebutkan bahawa puasa adalah perisai.
Berpuasa menumbuhkan sifat amanah
Wahbah Zuhaili dalam bukunya Al Fiqh Al Islami berpendapat
bahawa puasa mengajarkan rasa amanat dan muraqabah di hadapan Allah Ta’ala,
baik dengan amalan yang nampak mahupun yang tersembunyi. Maka tidak ada yang
mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam
berpuasa kecuali Allah Ta’ala
Puasa Ramadhan melatih diri berdisiplin
Puasa juga melatih diri berdisiplin , Wahbah
Zuhaili menjelaskan bahawa seorang yang berpuasa harus makan dan minum dalam
waktu yang terbatas. Bahkan dalam berbuka puasa pun harus disegerakan. Displin
masa juga dipertekankan dalam soal mengerjakan ibadah solat, bangun sahur,
berbuka dan sebagainya. Sejajar dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar
seharusnya mempunyai displin ilmu yang mantap serta waktu pembelajarannya harus
kolektif dan tersusun.
Bulan Ramadhan menumbuhkan rasa solidariti sesama muslim
Wahbah Zuhali juga menjelaskan bahawa puasa Ramadhan
menumbuhkan rasa solidariti di antara sesama muslim. Pada bulan ini semua umat
Islam, dari timur hingga barat diwajibkan untuk menjalankan puasa. Mereka
berpuasa dan berbuka dalam waktu yang sama, kerana mereka memiliki tuhan yang
satu. Seorang yang merasa lapar dan dahaga akhirnya juga boleh turut merasakan
kesengsaraan saudara-saudaranya yang kekurangan atau tertimpa bencana. Sehingga
tumbuh perasaan kasih sayang terhadap umat Islam yang lain.
Puasa Ramadhan melatih kesabaran
Bulan Ramadhan adalah bulan puasa di mana pada siang hari
kita diperintahkan meninggalkan makanan yang asalnya halal. Begitu pula di saat
ada seseorang itu mengganggu kita. Rasulullah Saw. bersabda: “Bila seseorang
menghina atau mencacinya, hendaknya ia berkata 'Sesungguhnya aku sedang
puasa." (HR. Bukhari). Sifat sabar ini merupakan sifat yang jarang
dipraktikan dalam kehidupan seharian, malah kita lebih kerap menggunakan hawa
nafsu untuk membuat sesuatu keputusan.
Ramadhan bulan ampunan
Bulan Ramadhan adalah
bulan ampunan, Rasulullah Saw. bersabda: “Dan siapa yang berpuasa Ramadhan
dengan dasar keimanan dan pengharapan redha Allah, diampunkan untuknya dosa
yang telah lalu.”(HR. Bukhari). Masa yang terbaik bermunajat kepada Allah s.w.t
ialah berada di dalam bulan Ramadhan. Seharusnya kita merebut peluang ini tanpa
meninggalkan sedikit ruang sekali pun sebagaimana kita menonton perlawanan bola
sepak, pemain penyerangnya sentiasa menggunakan segala peluang yang ada
walaupun masa yang tinggal hanya berbaki satu minit. Seterusnya menyedari
bahawa kita mungkin tidak dapat merasai nikmat berada di dalam bualn Ramadhan
yang akan datang maka jangan pernah tinggalkan peluang dan anugerah yang diberi
Allah s.w.t kepada kita.
Keutamaan memberi minum
orang yang berpuasa
Allah
akan memberi minum kelak di akhirat Rasulullah Saw. bersabda: “Dan barang siapa
memberi minuman orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya dari telaga
minuman yang tidak menghauskan hingga ia masuk ke dalam syurga”. (HR. Ibnu
Huzaimah dalam Shahihnya). Dan
sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan. Rasulullah
bersabda: “Sebaik-baik sedekah iaitu sedekah di bulan Ramadhan.”
(HR.Tirmidzi)
Doa
mustajab di bulan Ramadhan
Diriwatkan
dari Abu Umamah R.A, bahawa Rasulullah Saw. bersabda:”, Dan untuk setiap muslim
di setiap hari dan petang (dalam bulan Ramadhan) doa yang mustajab (HR. Bazar).
Rasulullah juga bersabda:” Tiga golongan yang tidak ditolak doanya iaitu orang
yang berpuasa hingga berbuka, imam adil, dan doa orang yang dizalimi”. (HR.
Tirmidzi).
Al-Quran
diturunkan pada bulan Ramadhan
Allah
Ta’ala berfirman: “Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran, sebagai
petunjuk bagi manusia dan penjelasan atas petunjuk itu, serta pemisah antara
haq dan batil”. (Al Baqarah: 185). Ibnu Katsir mengatakan bahawa Allah Ta’ala
menyanjung bulan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain, iaitu dengan memilihnya
sebagai bulan dimana Al-Quran diturunkan di dalamnya.
Dengan
itu, penghayatan terhadap bulan Ramadhan ini bukan hanya menahan lapar semata
tetapi penekanan dan memaknai tujuan sebenar iaitu melatih jiwa sebagai hamba
dan khalifah dimuka bumi seterusnya dapat membina perwatakan peribadi muslim
sejati pada diri dalam meraih ketaqwaan kepada Allah s.w.t di bulan yang penuh
barakah ini. Dalam sisi padang sebagai seorang pelajar dan mahasiswa, pemaknaan
terhadap Universiti Ramadhan ini perlu dipraktikkan dalam pembudayaan ilmu yang
dipelajari disamping melihat dalam kontek yang realiti penekanan terhadap nilai
sebenar Bulan Ramadhan. Mudah-mudahan ramadhan kali ini lebih bermakna dalam
meningkatkan ketaqwaan diri serta perubahan secara konsisten. Semoga menjadi
insan adabi yang bergraduasi dengan cemerlang dalam Universiti Ramadhan kali
ini.
Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL
AMIRUDDIN BIN HAMDAN
Presiden Grup Pengkaji Tamadun
Dunia (GPTD Unisel)